10 Disember 2021

Prestasi, kemewahan secukup rasa

 BMW M340i xDrive bukan sekadar sinonim dengan kuasa dan prestasi, malah luar biasa dari segi dinamik pemanduan dan tarikan sukan permotoran.

BMW M340i xDrive bukan sekadar sinonim dengan kuasa dan prestasi, malah luar biasa dari segi dinamik pemanduan dan tarikan sukan permotoran.

Menjadi kenderaan M Performance pertama pemasangan tempatan (CKD), BMW M340i xDrive bukan sekadar sinonim dengan kuasa dan prestasi, malah luar biasa dari segi dinamik pemanduan dan tarikan sukan permotoran.

BMW M340i xDrive baharu hadir dengan reka bentuk serba atletiknya yang memadankan rangkaian pemacu (drivetrain) berkuasa tinggi dengan teknologi casis dibangunkan menerusi unsur kepakaran litar lumba yang disumbang oleh M GmBh, lengkap dengan sentuhan rekaan yang tersendiri, serta kokpit yang dirumus untuk Kenikmatan Pemanduan Sempurna.

Dilengkapi dengan enjin sebaris enam silinder yang berkuasa tinggi, jentera BMW M340i xDrive baharu memiliki 387 kuasa kuda (hp) yang mampu memecut dari kelajuan sifar sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 4.4 saat.

Lebih menarik, teknologi casis yang diperbaharui secara konsisten serta sistem pacuan semua roda yang julung kali diperkenalkan dalam BMW 3 Series pada tahun 1985 juga menaik taraf pengalaman pemanduan yang dijanjikan.


Memandu uji model 3 Series paling progresif ini bukan sekadar memberi kepuasan dalam aspek gaya mewah tetapi tahap responsif yang ditawarkan membuatkan penulis merasa sangat berjiwa muda.

Apa tidaknya, dengan teknologi BMW M TwinPower Turbo, diferensial M Sport, suspensi Adaptive M Sport, termasuk stering sport boleh ubah, brek M Sport, serta ciri luaran 'M' yang khusus bersama fungsi aerodinamik yang teroptimum, ia membekalkan sebuah pakej yang sempurna buat yang dirumus untuk prestasi maksimum.

Dari aspek luaran BMW M340i xDrive didatangkan dengan M Aerodynamics Package, BMW Laser Light dengan bantuan lampu puncak, serta trim BMW Individual High-gloss Shadowline.

Kemasan metalik Cerium Grey dapat dilihat pada elemen luaran seperti rongga udara kiri dan kanan di bampar hadapan, gril 'kidney' BMW dan sekelilingnya, serta pelitup cermin sisi.

Jentera ini juga hadir dengan set roda aloi ringan 19 inci dalam penggayaan Double Spoke 792 M Bicolour, berserta tayar 'runflat' sebagai standard.

Brek M Sport dengan angkup brek berwarna biru yang memaparkan designasi 'M' turut menghiasi kenderaan ini.

Di belakang, BMW M340i xDrive baharu dilengkapi dengan kemasan paip ekzos berkembar dalam bentuk trapezium, serta spoiler belakang M untuk membuahkan penampilan yang sporty.

Sebelum memasuki ruang kabin, pasti kuasa enjin perlu telaah terlebih dahulu. BMW M340i xDrive baharu dilengkapi dengan enjin yang paling berkuasa tinggi dalam barisan kenderaan BMW 3 Series, dirumus untuk prestasi yang luar biasa dan dipadankan dengan kelincahan maksimum.

Prestasi mengujakan

Enjin petrol enam silinder BMW TwinPower Turbo ini mampu menjana 387 hp dan tork puncak 500 Nm.

Kelajuan tertinggi BMW M340i xDrive baharu ialah 250 km/j, manakala penggunaan bahan apinya pula merekodkan 7.7 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km, cukup menjimatkan untuk sebuah sedan mewah dan berkuasa.

Kuasa disalurkan melalui transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan yang menawarkan sensasi penukaran gear yang sporty – biar dalam mod automatik mahupun manual.

Dalam mod SPORT dan dengan menetapkan tuil gear di posisi S/M sebelah kiri, keupayaan penukaran gear akan dikonfigurasikan untuk prestasi yang terbaik.

Aspek dalaman model ini diperakui cukup mewah meskipun ia 'hanya' 3 Series.

Kokpit BMW M340i xDrive baharu mempersembahkan reka bentuk 'M-specific' yang memelihara tarikan sporty ruang dalaman jentera ini.

Kelengkapan standard meliputi kerusi sport bagi pemandu, dan kerusi penumpang hadapan yang disulam dengan material Leather Vernasca, stereng kulit M, kemasan ambang pintu hadapan dengan iluminasi, serta bumbung BMW Individual yang bermaterialkan Anthracite. Pedal 'M-specific', hamparan lantai 'M-specific', dan kemasan trim interior bermaterialkan Aluminium Tetragon dengan kemasan trim dalam Pearl Chrome juga menyempurnakan sedan baharu ini.

Karpet aluan bercahaya dan cahaya ambien yang membawakan 11 gubahan pencahayaan juga turut memperkayakan bahasa reka bentuk dalaman jentera ini, di samping penyaman udara automatik tiga zon yang menawarkan keselesaan.

Enjin sebaris enam silinder yang berkuasa tinggi dengan transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan menawarkan kuasa 387 hp dan tork maksimum 500 Nm.
Enjin sebaris enam silinder yang berkuasa tinggi dengan transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan menawarkan kuasa 387 hp dan tork maksimum 500 Nm.

Menyempurnakan pemandu dan penumpang pastinya sistem Comfort Access dengan fungsi pembukaan pintu but tanpa sentuh dan hiburan pemanduan melalui Sistem Bunyi Keliling Harman Kardon yang terdiri daripada 16 pembesar suara.

Bukan itu sahaja, BMW M340i xDrive baharu turut membawakan BMW Live Cockpit Professional dengan paparan instrumen digital bersaiz 12.3 inci, serta BMW Navigation System Professional dengan paparan skrin sentuh 10.25 inci.

Juga ditawarkan sebagai standard bagi sedan baharu ini ialah ciri Papar Pandu (Head Up Display) serta bumbung kaca elektrik yang menawan.

Kemewahan jentera BMW pastinya tidak lengkap tanpa sistem keselamatan termaju. Bagi model ini, ia dilengkapi dengan Bantuan Memandu (Driving Assistant) dan Bantuan Parkir (Parking Assistant), BMW M340i xDrive baharu membolehkan pengguna berlapang dada ketika memandu.

Sistem Bantuan Memandu ini merangkumi Amaran Penukaran Laluan (Lane Change Warning), Amaran Perentasan Trafik (Crossing Traffic Warning) di belakang, Amaran Perlanggaran Belakang (Rear Collision Warning), dan Bantuan Had Kelajuan (Speed Limit Assist).

Ia juga meliputi Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning) dengan intervensi stering aktif, serta Amaran Perlanggaran Hadapan (Forward Collision Warning) dengan fungsi intervensi brek. Bantuan Parkir dan kamera pandang belakang juga disediakan sebagai standard untuk sedan baharu ini.

Info:

BMW M340i xDrive

* Harga jualan atas jalan, tanpa insurans dengan pengecualian SST RM402,354.13

* Warna pilihan Alpine White, Black Sapphire, Sunset Orange, dan Portimao Blue

* Ruang dalaman dipadankan dengan upholsteri Black Leather Vernasca atau Cognac Leather Vernasca, dengan sulaman dekor berwarna hitam

* Enjin sebaris enam silinder yang berkuasa tinggi

* Transmisi Steptronic Sport 8-kelajuan

* 387 hp, tork puncak 500 Nm

* Kelajuan tertinggi 250 km/j

* Penggunaan bahan api 7.7L/100km

BHARIAN.

Tiada ulasan: