JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo semalam berjanji untuk mempertingkatkan usaha pemindahan dan membaiki kediaman rosak selepas melawat zon bencana Gunung Semeru susulan letusan gunung berapi yang dahsyat.
Gunung berapi setinggi 3,676 meter (m) itu meletus pada Sabtu mengakibatkan hujan dan banjir di sekitar Kampung Sumberwuluh, menyebabkan penduduk bertempiaran lari menyelamatkan diri.
Sekurang-kurangnya 34 orang maut, manakala 17 masih hilang, kata jurucakap agensi bencana Abdul Muhari kepada AFP.
Hampir 3,700 orang telah dipindahkan dari kawasan yang terjejas, tambahnya.
Selepas melawat pusat pemindahan dan meninjau kawasan yang terjejas melalui helikopter - pemandangan dari udara menyaksikan perkampungan tenggelam dalam abu cair yang tebal - presiden berkata usaha pemulihan akan diperkukuh kini dan beberapa bulan akan datang.
"Saya datang ke tapak lokasi untuk memastikan kami mempunyai kekuatan pasukan untuk mengesan mangsa," kata presiden, bercakap dari Sumberwuluh, antara kawasan yang paling teruk terjejas.
"Kami berharap selepas segala-galanya reda, segala-galanya boleh bermula: Memperbaiki infrastruktur atau malah memindahkan mereka dari tempat yang kami jangkakan terlalu berbahaya untuk kembali."
Sekurang-kurangnya 2,000 keluarga perlu dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat, katanya.
Usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan tetapi terhalang disebabkan angin kencang dan hujan serta peralatan yang terhad di beberapa kawasan.
Lawatan presiden dibuat ketika Gunung Semeru meletus tiga kali semalam di tengah-tengah amaran daripada agensi geologi negara itu bahawa aktiviti seismik boleh berterusan.
Ketua Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia (PVMBG), Andiani, dalam taklimat media pada Isnin dilaporkan berkata terdapat potensi untuk aliran piroklastik selanjutnya atau longsoran gas panas, abu dan batu yang bergerak pantas.
Gunung Semeru antara lebih 100 gunung berapi aktif di Indonesia, sebuah negara yang berada di Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan