07 Januari 2022

Jual sijil vaksinasi haram RM2,500 seorang?

 

PETALING JAYA: Berita tentang 17 jemaah yang baru pulang dari umrah positif Covid-19 dengan varian Omicron tidak mendapat sebarang suntikan vaksin tular di media sosial, semalam.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, terdapat 17 jemaah yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi memastikan mereka terlibat itu tidak menerima vaksinasi disebabkan faktor kesihatan atau memang tidak mahu divaksinasi.

Sehubungan dengan itu, satu ciapan tular di media sosial Twitter, memaparkan gambar screenshot perbualan daripada aplikasi WhatsApp dipercayai menjual sijil vaksinasi secara haram pada harga RM2,500 seorang.

Rata-rata warganet menimbulkan tanda tanya tentang penjualan sijil, namun segelintir orang ramai tidak puas hati dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab serta pembeli sijil vaksin tersebut.

“Mahal betul nak tukar status vaksinasi. Ini semua agenda illuminati. Saya ada tahu satu cara untuk menukarkan status vaksinasi secara percuma dalam aplikasi MySejahtera. Pergi sahaja ke pusat pemberian vaksin (PPV) dan membuat temu janji atau walk-in terus bagi dapatkan dos pertama. Semoga bermanfaat, rakan-rakan yang belum vaksin lagi, sekian,” katanya @EVILdimsun.

“Buang duit sahaja, teringat cerita mak saya tentang nenek saudara, tentang vaksin, nenek saudara cakap barang percuma buat apa mahu bayar, bukan senang kerajaan mahu kasi secara percuma,” katanya @HAWA_abdulah.

“Pergi umrah itu memang bagus, tetapi tipu sijil vaksin tetap haram,” kata @muhaimin26_.

“Perbualan WhatsApp ini perlu disiat oleh Kementerian Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” jelas @whiteGreyF. – UTUSAN ONLINE.

Tiada ulasan: