07 Januari 2022

Kes jangkitan COVID-19 seluruh dunia melebihi 300 juta

 Gerakan anti vaksin dan bantahan terhadap langkah kawalan COVID-19 dikatakan menjadi punca Amerika Syarikat terjejas teruk akibat ancaman coronavirus. - Foto AFP

Gerakan anti vaksin dan bantahan terhadap langkah kawalan COVID-19 dikatakan menjadi punca Amerika Syarikat terjejas teruk akibat ancaman coronavirus. - Foto AFP

NEW YORK: Pusat Sistem Sains dan Kejuruteraan di Universiti Johns Hopkins mengesahkan kes COVID-19 di seluruh dunia sudah melebihi 300 juta jangkitan setakat ini.

Berdasarkan laporan Xinhua, Amerika Syarikat (AS) saja melaporkan 58,449,898 kes dengan 833,957 kematian, yang mana kedua-duanta adalah angka tertinggi di dunia.

Jumlah itu sekali gus menyumbang 19 peratus daripada kes global dan 15 peratus kematian global, yang kini semakin menghampiri 5.5 juta mangsa.

Jumlah kes di seluruh dunia mencapai 100 juta pada 26 Januari 2021 sebelum meningkat kepada 200 juta pada Ogos lalu.

Ketua Teknikal Program Kecemasan Kesihatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Maria van Kerkhove, berkata program vaksinasi berhasil membantu menentang semua varian yang ada.

Selain itu, katanya, vaksin juga disifatkan sangat berkesan bagi menentang jangkitan serius dan kematian.

"Saya fikir adalah penting bagi masyarakat untuk mengetahui bahawa apabila sudah sampai masanya, sila ambil vaksin kerana ia sangat penting," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Peru mengesahkan hampir 100,000 kanak-kanak di negara itu kehilangan ibu bapa atau penjaga mereka kerana maut akibat dijangkiti COVID-19.

Perkara itu diberitahu Menteri Wanita Peru, Anahi Durand, yang memetik angka terbabit dalam jurnal perubatan, The Lancet.

"Malangnya, kira-kira 98,000 kanak-kanak di negara kita kehilangan bapa, ibu atau penjaga sepanjang pandemik," katanya.

Berdasarkan analisis AFP mengikut data rasmi, Peru berada di tempat teratas membabitkan kematian per kapita akibat COVID-19 dengan lebih 6,000 rakyat negara itu bagi setiap sejuta maut akibat virus terbabit.

Negara dengan 33 juta penduduk itu kini berdepan gelombang ketiga COVID-19 dengan merekodkan lebih dua juta kes.

Lebih daripada 202,900 penduduk di Peru terkorban sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada awal 2020. - AGENSI

Tiada ulasan: