12 November 2010

Kelantan lantik wakil pasarkan Dinar di China

04 Zulhijjah 1431 H

KOTA BHARU, 10 Nov: Kerajaan Kelantan bercadang melantik wakil (wakalah) bagi memasarkan mata wang syariah di China, kata Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat, Datuk Husam Musa.

Beliau berkata, usaha itu dilakukan bagi memperluaskan penggunaan Dinar dan Dirham ke seluruh dunia.

Kata beliau Dinar dan Dirham digunakan secara meluas di Indonesia yang lebih dikenali sebagai logam mulia.

Begitu juga katanya Dinar digunakan di Granada, Sepanyol dan Amerika Syarikat dalam bentuk syiling emas.

”Di Amerika Syarikat gold coin sama berat dengan standard emas 22 karat yang telah digunakan dalam sistem perdagangan antarabangsa.

”Standard yang digunakan itu sama dengan Dinar yang digunakan oleh pemerintah Islam di zaman Khalifah Othamiah,” katanya menjawab soalan Hanifa Ahmad (PAS-Pengkalan Pasir) pada persidangan Dun hari ini.

Beliau juga mencadangkan bayaran deposit pembantu rumah dari Indonesia digunakan menggunakan Dinar berbanding Rupiah yang digunakan sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, sehingga sekarang lebih 2,000 wanita dilatih dalam pelbagai bidang kemahiran di Pusat Pengembangan Wanita Kelantan (PPWK).

Bidang kemahiran yang diajar termasuk jahitan, sulaman dan masakan.

”Sebelum ini seramai lapan wanita mendalami bidang sulaman di Bukit Tinggi, Indonesia dan sekarang mereka mengajar kemahiran itu kepada wanita di sini,” katanya menjawab soalan Zulkefli Mamat (PAS-Pulai Chondong).

Harakahdaily/-

Bandar Satelit Islam dijangka siap 2012

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 11 Nov: Kemajuan Projek Bandar Stalite Islam, Pasir Tumboh kini telah sampai ke tahap 40 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2012 atau pun awal 2013.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Datuk Takiyuddin Hassan berkata, projek itu sebagai penambahbaikan kepada Pondok Pasir Tumboh, dengan mengekalkan struktur asalnya.

“Dijadikan sebagai tempat ibadat, pusat pengajian agama Islam, dilengkapkan dengan hotel serta kedai,” katanya pada persidangan Dun, kelmarin.

Beliau berkata, Projek Bandar Satelit Islam satu projek usahasama antara Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dengan sebuah syarikat swasta, MSO Corporation Sdn Bhd.

Sementara Produk Pelancongan Kandis, Bachok seluas tujuh ekar dalam kawasan Pondok Moden (Pusat Pengajian Pondok), Bachok pula dibangunkan dengan kos RM18 juta.

Dibangunkan hotel apartmen yang ketinggiannya 16 tingkat, mempunyai 107 unit bilik apartmen, sama ada berbentuk satu bilik, dua bilik dan juga tiga bilik bagi satu-satu unit, terletak di dalam kawasan Pondok yang berkonsepkan berkonsepkan ‘Bakti Katil’ dan ‘Perkongsian Masa’ (times sharing syarie) di samping disediakan untuk pesara-pesara dan pelajar IPTA.

“Dengan konsep ‘Bakti Katil’ di mana sasarannya ialah untuk jutawan anak-anak Kelantan yang berada di perantauan, mereka boleh menempatkan keluarga mereka, manakala konsep ‘Perkongsian Masa’ pula membolehkan pembeli memberi sewa kepada orang lain atau menetap sendiri dalam tempoh beberapa hari atau waktu.

“Sementara ‘Hotel Untuk Pesara’ pula membolehkan sama ada pesara berkenaan menetap di situ atau menetap ketika pulang dari perantauan.

“Dan pembinaan hotel itu ‘mengadunkan’ suasana antara masjid dan pondok serta antara laut dan kawasan rekreasi untuk percutian,” katanya.

Mengenai pelancongan kesihatan, Takiyuddin menjelaskan bahawa pihak kerajaan negeri tidak bermasalah dalam membangunkan sektor itu.

“Setakat ini kerjasama dengan pihak Kementerian Pelancongan tidak timbul masalah,” katanya.

Kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini pada 2009 ialah seramai 4.8 juta orang yang terdiri daripada 4.2 juta pelancong domestik, manakala pelancong antarabangsa ialah 0.6 juta.

Sementara itu, jumlah kemasukan pelancong bagi 2010 ialah 78.76 peratus.

Harakahdaily/-

JAKIM diarah siasat agama bapa murid

04 Zulhijjah 1431 H

Kerajaan telah mengarahkan bahagian penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata selepas mengenal pasti status Beginda Anak Minda atau Noor Azman Abdullah, siasatan boleh dijalankan terhadap dakwaan anaknya Basil Anak Beginda dirotan guru akibat kejadian itu.

Katanya status agama Beginda perlu disiasat kerana mengikut keputusan muzakarah Fatwa Kebangsaan apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

"Selepas itu (baru) boleh sampai kepada kesimpulan apa juga keputusan tentang itu boleh tentukan kepada kenapa budak ini dirotan," katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Akhbar pada 5 November lepas melaporkan seorang ibu, Angela anak Jabing membuat aduan bersama sayap wanita PKR kepada Jabatan Pelajaran Sarawak dengan mendakwa anaknya berusia 10 tahun dirotan penolong kanan sebuah sekolah di Sarawak kerana membawa nasi goreng berlaukkan sosej babi ke sekolah.

Sehubungan itu, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datin Fatimah Abdullah berkata Jabatan Pelajaran Negeri itu akan meneliti kes berkenaan selain mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah.

Terdahulu, persidangan dewan hari ini hangat apabila Zulkifli Nordin (BEBAS-Kulim-Bandar Baharu) yang berbahas membangkitkan isu berkenaan dan mempersoal pendirian PAS berhubung perkara terbabit.

Kekecohan itu berlarutan sehingga mengakibatkan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) diarah keluar dewan sehingga Timbalan Speaker Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyambung persidangan dewan pada sebelah petang, kerana berterusan mencelah ketika Zulkifli berbahas, walaupun diarah untuk tidak berbuat demikian beberapa kali.

Dzulkefly berterusan menyalahkan Zulkifli kerana membawa isu itu ke dalam dewan, dan menyatakan ia tidak sesuai dibincangkan berikutan masa yang diperuntukkan kepada anggota parlimen untuk berbahas sangat singkat iaitu 10 minit.

Rentetan daripada itu, Zulkifli kemudian membalas dengan bertanya: "Adakah kamu (Dzulkefly) sokong anak seorang Islam bawa babi ke sekolah?"

Pada sebelah petang, Chong Chien Jen (DAP-Bandar Kuching) memberitahu pemberita bahawa Basil bukan orang Islam berdasarkan status agama bapanya dalam sijil kelahiran kanak-kanak itu dan sijil perkahwinan ibu bapanya yang dihantar melalui e-mel kepadanya oleh ibu kanak-kanak itu hari ini.

"Menurut sijil itu, bapa kanak-kanak itu, Beginda Anak Minda tidak mempunyai agama manakala ibunya, Angela anak Jabing adalah Kristian. Jadi berdasarkan ini, kanak-kanak itu dibesarkan sebagai seorang penganut Kristian menurut agama ibunya," katanya.

Katanya persoalan yang berbangkit sekarang ialah kenapa Basil dirotan penolong kanan sekolah itu kerana membawa sosej babi ke sekolah.

Beliau mendakwa bahawa menjadi kebiasaan bagi kedai kopi di Sarawak menjual makanan hahal dan tidak halal di tempat yang sama dan bagi orang Islam dan bukan Islam untuk makan di meja yang sama.

Malaysiakini/-

1,000 banjiri pelancaran kempen BERSIH 2.0

04 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Kuek Ser Kuang Keng

Hampir 1,000 orang membanjiri Dewan Sivik Petaling Jaya bagi menyaksikan pelancaran kempen baru untuk pilihan raya bersih dan adil yang dinamakan BERSIH 2.0.

Pelbagai pemimpin politik dan NGO hadir dalam majlis tersebut, termasuklah bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin, exco kerajaan Selangor Teresa Kok serta beberapa anggota parlimen Pakatan Rakyat seperti Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja), Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) dan Loh Gwo Burne (PKR-Kelana Jaya).

Majlis itu dimulakan dengan persembahan bertenaga daripada kumpulan Orang Asli Jerai dan standup comedy daripada aktivis, kolumnis dan pengarah filem Hishammudin Rais.

BERSIH - gabungan parti politik dan puluhaan NGO - sebelum ini menggegarkan politik negara apabila berjaya menganjurkan demonstrasi besar melibatkan 40,00 orang di Kuala Lumpur bagi menyampaikan tuntutan mereka kepada Yang Di-Pertuan Agung.

Pada 9 Julai lalu, BERSIH 2.0 kembali semula selepas dua tahun melakukan pembersihan dirinya daripada parti politik, dengan ikrar untuk tidak lagi turun ke jalanan untuk mencapai matlamatnya.

Dan langkah pertama BERSIH ialah menyerahkan memorandum yang menyenaraikan 15 cadangan pembaharuan pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan mengisytiharkan BERSIH 2.0 sebagai murni apolitis, tidak berniat menganjur unjuk rasa besar seperti sebelumnya, sebaliknya mahu memfokus pada pendidikan awam.

Malaysiakini/-

11 November 2010

Mufti Perak : Maka Halallah tindakan Zambry

3 Zulhijjah 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim.

Berikut ini adalah petikan edisi [BH] online hari ini yang jelas membuktikan kepada kita sekali lagi siapakah sebenarnya Harussani Zakaria. Adakah dia Mufti Perak ataupun mufti UMNO ?

Sebagai pelengkap kepada apa yang dikatakan pertemuan Harussani dengan Zambry, maka saya paparkan sekali lagi apa yang dilakukan oleh Zambry dalam gambar-gambar dibawah.

Sesudah ini siapapun boleh hadir dalam apa sahaja yang bercanggah dengan hukum Islam, asalkan tidak mempunyai niat melakukan perkara itu. Perlu diingat rakaman video dan gambar-gambar membuktikan apakah kenyataan hasil pertemuan mereka berdua benar atau tidak .

Sebenarnya Harussani belum menjawab apa yang dipersoalkan oleh pemuda PAS Perak, mengenai upucara itu bercanggah dengan Islam atau tidak. Jawapannya juga saya lihat untuk menyelamatkan Zambry. Namun bagaimana mereka yang hadir pada hari itu.

Selain itu saya lihat Harussani tidak menggunakan saluran yang sebenarnya bila sering memberikan pandangan peribadi tampa merujuk Jawatankuasa Fatwa Perak yang telah ditauliahkan oleh DYMM Sultan Perak.

Disebabkan perkara ini besar dan menyangkut akidah umat sepatutnya Jawatankuasa Fatwa yang mengeluarkan fatwanya.

Anehnya Zambry beria-ia sangat mempertahankan tindakannya dengan mengungkitkan perbuatan saya dan Dato" Seri Nizar yang memegang lilin selepas Sidang Akhbar berkaitan kematian Teoh beng Hock. Saya menafikan dengan kers bahawa kami melakukan upucara sembahyang. Seingat saya ianya sebagai tanda protes kepada kezaliman sehingga menyebabkan kematian seorang warganegara Malaysia yang sepatutnya tidak berlaku.

Namun dalam soal ini Harussani ternyata tidak adil dengan berpandukan kepada gambar semata-mata dan soalan yang dikemukan oleh wartawan dia terus mengatakan tindakan kami itu haram. Menurut Harussani tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah satu perbuatan haram di sisi agama.

Harussani Zakaria berkata, perbuatan itu menyalahi hukum Islam kerana seolah-olah menggambarkan ajaran kristian.

Kalau begitulah kenapakah tindakan Zambry tidak dikatakann oleh Harusssani adalah ajaran dari agama Hindu dan juga hukumnya haram.

Sebenarnya memegang lilin dalam masyarakat cina tidak sekadar merujuk kepada pemujaan, atau berkabung. Sebaliknya, dalam masyarakat cina, memegang lilin tidak sekadar dilakukan dikala berlaku kematian, bahkan ia digunakan sebagai satu symbol dalam melakukan sesuatu protes.

Sebelum ini pun, banyak program-program berbentuk protes terhadap kezaliman ISA disertakan dengan acara membawa lilin kecil. Saya juga pernah bersama Gerakan mansuhkan ISA berarak ke Kem Tahanan Kamunting sebagai tanda protes. Ia merujuk kepada kezaliman telah bermaharajalela.

Berita Harian Online.10/11/2110...IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak melakukan syirik dan khurafat ketika menyertai majlis ancak iaitu menaikkan tiang seri rumah di Kampung Guar, Manong, Kuala Kangsar, bulan lalu.

Mengesahkan perkara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata ia susulan pertemuan beliau dengan Menteri Besar kelmarin bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai majlis berkenaan.

Katanya, selepas mendapat maklumat daripada Zambry, jelas menunjukkan beliau tidak melakukan syirik dan khurafat kerana Menteri Besar tidak mempunyai niat melakukan perkara itu, malah tidak mengetahui majlis berkenaan yang diatur penduduk boleh membawa kepada unsur syirik.

"Menteri Besar memaklumkan beliau hanya memegang tiang dan menolaknya bersama-sama orang ramai. Tiada jampi mentera, sebaliknya hanya membaca doa selamat.

"Beliau cuma melakukan itu (menaikkan tiang seri) atas permintaan orang ramai, malah dia pun tak tahu ancak dan mengatakan tak ada niat pun. Jika begitu, itu bukan melakukan syirik dan khurafat," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini, semalam.

Dewan Pemuda PAS baru-baru ini menghantar memorandum kepada Harussani mendakwa Zambry melanggar ajaran Islam dengan menghadiri upacara meletakkan ancak pada tiang seri rumah.

Bagaimanapun Zambry menjelaskan, beliau hanya menyempurnakan majlis berkenaan yang diatur penduduk dan menempelak Pemuda PAS Perak kerana mengambil kesempatan menggunakan agama untuk kepentingan politik, walaupun program dihadirinya begitu murni iaitu membabitkan pembinaan rumah kepada pasangan orang kurang upaya (OKU).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Ramly Zahari pada sidang medianya kelmarin turut menjelaskan majlis berkenaan bermula dengan doa dan diikuti tepung tawar seperti adat Melayu sejak zaman berzaman. /Tamat.

Saya serahkan kepada seluruh pembaca menilai gambar-gambar dibawah.










Michelle Obama mengenakan tudung kepala

3 Zulhijjah 1431H.
Photobucket
2010/11/10/JAKARTA: Wanita Pertama Amerika Syarikat, Michelle Obama mengenakan tudung kepala ketika melawat sebuah masjid di sini, hari ini, walaupun ia bukan satu peraturan kepada bukan Islam tetapi menunjukkan penghormatan pentadbiran Barrack Obama terhadap dunia Islam.

Melilit kepala dengan tudung manik bersadur emas, serta memakai seluar labuh, Michelle dibawa mengelilingi sekitar Masjid Istiqlal, masjid terbesar di Asia Tenggara, bersama Obama sempena lawatan singkat suaminya ke Indonesia.(photo:Jakartapost)

KENYATAAN MEDIA ; Ganesan dalam ketakutan.

3 Zulhijjah 1431H.

Speaker Rampasan Kuasa Ganesan dipetik berkata, tindakan tegas akan dikenakan kepada wakil rakyat yang membuat kekecohan seperti sidang DUN yang lalu.

“Tindakan akan dikenakan mengikut Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak."

“Saya berharap mereka dapat bertindak sebagai wakil rakyat yang sebenar dengan membincangkan isu berbangkit tentang rakyat tanpa melibatkan isu politik,”
Berikut adalah kenyataan media saya mengenai isu tersebut:-

1. Ganesan menampakkan kegelabahan dan ketakutannya yang sebenar untuk mengendalikan sidang DUN Perak dengan kuasa yang diambilnya secara tidak sah dan melanggar undang-undang.

2. Sebagai ingatan , Saya tegaskan sekali lagi bahwa Ganesan bukanlah Speaker DUN Perak yang sah kerana itu saya yakin beliau sentiasa dalam ketakutan untuk mendengar hujah dari ADUN Pakatan Rakyat khususnya berkaitan kedudukan perlantikannya yang telah melanggar peraturan dewan. Termasuklah kedudukan kerajaan rampasan kuasa yang cuma telah disahkan oleh mahkamah.

3. Selain itu kenyataan Ganesan dengan nada semacam mengungut ADUN sedangkan hakikat sebenarnya kekalutan dan kekecohan yang berlaku di dalam DUN Perak sebenarnya akibat dari tindakan Ganesan membenarkan ratusan Polis memasuki ruangan dewan negeri. Seingat saya sekitar 400 orang yang terlibat setiap kali sidang.

4. Selain itu perlu saya ingatkan beberapa fakta lain yang diketahui umum dalam 6 sidang DUN sejak rampasan kuasa pada 6 Februsri 2009 iaitu:

4.1. Polis campurtangan dengan bertindak kasar dam melanggar undang-undang setiap kali sidang .
4.2. Pembesar suara ADUN Pakatan Rakyat tidak berfungsi dengan baik.
4.3. Pemerhati dari luar tidak dibenarkan untuk menghadiri sidang.
4.4. Wartawan tidak dibenarkan masuk membuat liputan secara bebas, hanya yang terpilih dan pro BN sahaja dibenarkan.
4.5. Menghadkan kawasan Bangunan DUN Perak seperti "zon perang" dengan mendapat perintah mahkamah .
4.6. ADUN Pakatan Rakyat di asingkan pintu masuk dalam beberapa kali sidang.
4.7. ADUN PR dilarang membawa masuk komputer riba , alat perakam video dan kamera.
4.8. Menghadkan kepada Ketua pembangkang DUN untuk berucap hanya selama 15 minit dalam sidang yang lepas.
4.9. Tempoh yang sangat singat dan tidak munasabah setiap kali sidang.
4.10. Menolak soalan ADUN PR untuk sidang DUN 30 Mac 2010 dengan alasan yang tidak munasabah.

5. Kerana itu saya beranggapan kenyataan Ganesan adalah gambaran sebenar ketakutan Ganesan sedangkan kalau alasan dia yang mengatakan supaya kami membincangkan isu tentang rakyat tanpa melibatkan isu politik, namun ingin saya pertanyakan kenapa sidang-sidang penting yang melibatkan perbahasan bajet dalam sidang yang lepas hanya berlangsung dalam tempoh tidak sampai sehari.

Selain itu menolak soalan-soalan dari ADUN Pakatan Rakyat tanpa alasan yang kukuh adalah gambaran Ganesan terlebih dahulu membelakangi masalah rakyat. Dialah sebenarnya yang mengagalkan sidang yang baik sepertimana berlaku semasa pakatan Rakyat berkuasa selama hampir 11 bulan.

6. Bila menafikan ADUN membincangkan isu politik, nampaknya Ganesan sudah melampau dan sudah lupa siapakah kami yang sebenarnya. kalau dia betullah tidak selayaknya jadi speaker apalagi dikatan ahli politik kerana dia bukanya ADUN. Apakah kewajaran dia mengatakan isu politik tidak boleh disebut dalam dewan sedangkan kami adalah ahli politik.

Kenytaan media, 10 November 2010.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
ADUN Titi Serong.


Sosej babi: Dr Zulkefly dihalau keluar dewan

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Nov: Gara-gara menegur sikap ahli parlimen bebas Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang membangkitkan isu 'sosej babi', Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dihalau keluar dewan.

Insiden bermula apabila Zulkifli membangkitkan isu seorang pelajar dirotan akibat membawa sosej babi yang dimasak oleh ibunya, ke sekolah dalam satu kes yang berlaku di Kuching.

Zulkifli juga mendakwa bahawa bapa pelajar berkenaan beragama Islam dan semestinya anak tersebut juga seorang Islam.

Justeru, tidak wajar bagi seseorang Islam membawa makanan haram ke sekolah.

Namun, menurut Dzulkefly, isu yang dibangkitkan bukan berhubung indentiti agama pelajar berkenaan tetapi tindakan pihak sekolah yang menghukum budak lelaki itu dengan merotannya.

Isu tersebut semalam dibangkitkan Chong Chieng Jen (DAP-Kuching).

Dr Dzulkefly yang juga AJK PAS Pusat kemudiannya membantah dengan mendakwa tidak wajar ruang perbahasan bajet Jabatan Perdana Menteri diguna membangkitkan isu agama yang boleh mencetuskan ketegangan.

Lantaran itu, Zulkifli yang juga bekas ahli PKR, kemudian menanyakan pendirian PAS berhubung perkara itu lalu menuduh PAS berdiam diri dalam isu tersebut dan mendakwa parti itu menghalalkan orang Islam makan babi.

Kenyataan itu kemudiannya membangkitkan kemarahan bukan sahaja Dr Dzulkefly, malah sebahagian ahli parlimen Pakatan Rakyat lain.

Turut bangun membantah Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai), dan Dr. Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja).

Tidak berpuas hati dengan kenyataan Zulkifli itu, Dzulkefly kemudiannya bangun membantah sehingga dewan menjadi kecoh dan tidak terkawal oleh Timbalan Speaker, Datuk Dr. Wan Junaidi Jaafar.

Speaker kemudiannya mengarahkan Dr Dzulkefly duduk namun tidak diendahkannya ekoran Zulkifli terus menyerangnya.

Ekoran itu, Speaker mengarah Dzulkefly keluar dewan.

"Apa yang memanaskan saya apabila saya disuruh saya duduk, dalam masa sama Kulim Bandar Baharu (Zulkifli) terus menerus menyerang PAS, serang Islam dan serang saya," katanya ketika ditemui sewaktu keluar pintu dewan.

Pada sidang media selepas itu, Dzulkefly mendakwa ahli parlimen Kulim Bandar Baharu sengaja menggunakan ruang perbahasan untuk mencetuskan pertentangan.

"Dalam semangat toleransi beragama, Kulim Bandar Baharu membuat satu penyataan yang menunjukkan orang Islam ekstrem.

"Kalau benar mahu bahas isu ini, bukan di sini, tapi Kulim Bandar Baharu terus mengatakan bahawa inilah PAS, yang menghalalkan orang Islam makan babi.

"Inilah cara paling jahat yang sebenarnya mengkhianati agama atas kononnya untuk memperjuangkan agama," katanya kesal.

Sementara itu, Yusmadi Yussof (PKR-Balik Pulau) pada sidang media sama turut mengecam sikap Zulkifli.

Katanya, Zulkifli tidak bertanggungjawab dan tidak mengamalkan konsep Islam moderat yang mahu ditonjolkan kepimpinan negara.

"Saya terkilan kerana Kuala Selangor (Zulkefly) menjadi mangsa dalam usaha pertahankan apakah Islam yang sebenar,” ujarnya.

BN DAN RASUAH BAGAI AUR DENGAN TEBING

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

PARIT BUNTAR, 10 Nov :- Rentetan keputusan Pilihan raya pilihan raya kecil DUN Galas dan Parlimen Batu Sapi 2010. TPM, Mahyudin dengan lantang menyatakan bahawa rakyat menyokong serta memihak kepada BN, berdasarkan kepada keputusan PRK di Galas dan Batu Sapi, di tempat tersebut mereka menang, lalu berkokoklah pemimpin BN bahawa rakyat terima mereka, kononnya 1Malaysia telah diterima dari setiap lapisan masyarakat.

Senario politik Malaysia kini tidak boleh diumpamakan seperti Kelantan yang telah membenamkan Negeri Sembilan 2-1 dalam final Piala Malaysia baru-baru ini, pasukan Kelantan layak bersorak dan berbangga menang kerana mereka bermain bersungguh-sungguh dengan strategi yang jitu dan betul.Walaupun Negeri Sembilan mendahului pada separuh masa pertama dengan 1 – 0 namun pada separuh masa kedua Kelantan Berjaya menyumpat dua gol.

“Apa yang berlaku di dalam ruang lingkup politik BN, hanyalah sogokan perkhabaran kosong, tiada faktor fakta sebenar, hanya retorik politik yang penuh unsur pembohongan,” demikian menurut Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong ketika ditemui di sini.

Tambahnya lagi, rakyat inginkan situasi politik yang bersih, tetapi bagaimana kepincangan institusi politik boleh pulih selagi media dikawal dan disalah guna oleh BN, kita dapat lihat sendiri, Pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah diberi peluang walau seminit untuk berkempen di televisyen serta radio di Malaysia, kami juga warganegara yang punyai hak.

Kerja jahat sebegini layak kita terjemahkan sebagai undang-undang sarkis, peraturan yang sepatutnya tidak mendapat tempat di hati bangsa-bangsa yangmengaku telah bertamadun. Tegas Drs. Khalil.

Menurutnya lagi yang juga merupakan Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, BN pasti akan menghadapi kesukaran untuk menang di mana-mana PRK baik di DUN mahupun Parlimen jika tanpa wujudnya sogokan rasuah, janji-janji pembangunan sempena pilihan raya, fitnah jahat, ugutan, penipuan serta amalan politik sarkis (tutup ruang media) terhadap Pakatan Rakyat.

Sedangkan Negara jiran (Indonesia) telah memperuntukkan bajet untuk parti pembangkang bagi mengelakkan dari berlakunya politik wang.

Selain itu beliau menekankan bahawa Rakyat Malaysia memerlukan pembelaan dalam aspek kebajikan, segala bentuk kebajikan yang membela seluruh dengan jumlah 26juta rakyat Malaysia mestilah diagihkan secara berterusan bukannya bermusim,

persoalannya mengapa BN hanya manumpukkan wang dan agihan pembangunan tersebut di setiap kali berlakunya pilihan raya kecil,
“Tak kan tunggu wakil rakyat mati baru dapat pembangunan” sindir Dr. Khalil .

TPM DIIBARAT “MENGATA DULANG PAKU SEPIH KATA ORANG DIA LEBIH”

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

PARIT BUNTAR, 10 Nov :- Mengata dulang paku sepih kata orang dia lebih, demikianlah peribahasa yang sesuai ditujukan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Datuk Zaid Ibrahim menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberikan gambaran bahawa parti itu sebenarnya tidak mengamalkan sistem demokrasi yang mereka canangkan, kononnya bagi memperjuangkan keadilan dan ketelusan dan menyifatkan PKR tidak jelas hala tuju dan masih caca marba

“BN lah yang sepatutnya bertanya kepada pertubuhan Melayu itu tentang status mereka (umno) sendiri, mengapa Datuk Zaid Ibrahim sanggup meletak jawatan sebagai Menteri dan keluar dari UMNO suatu ketika dahulu, perletakan jawatan itu adalah suatu yang jarang dibuat oleh Menteri dari UMNO sebelum itu” demikian menurut Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong ketika ditemui di sini.

BN telah kehilangan seorang yang dianggap berpengaruh, tindakan beliau meletak jawatan sebagai menteri sebagai protes bagi membantah penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan bertindak menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri suatu masa dahulu.

Menurutnya lagi yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, rentetan perletakan jawatan tersebut, BN yang sudah kehilangan orang yang berwibawa .

Tambahnya, tindakan meyakin rakyat dengan mengatakan bahawa PKR sebaga tidak selayaknya dipilih oleh rakyat bagi menumbangkan BN pada PRU 13 nanti suatu yang boleh disifatkan sebagaimana yang diumpamakan di dalam peribahasa melayu “mengata dulang paku sepih kata orang dia lebih.”

Suatu reaksi yang sudah dijangka, BN sepatutnya mengamalkan politik matang dalam memberi respon tentang hal ehwal politik baik dari pihak lawan mahupun sebaliknya.
BN disaran supaya melakukan muhasabah terhadap parti mereka sendiri, jangan hanya melihat kelompangan parti orang, kemudian mengatakan itu dan ini tentang keburukan parti lawan

Hakikatnya rakyat kini lebih terancam dengan kepimpinan Negara sedia ada (BN) yang menyebakan hutang negara pada tahun lalu berjumlah RM362.39 bilion ternyata lebih membahayakan rakyat Malaysia kerana situasi Negara kini menuju ke arah Negara bankrap lantaran lambakan hutang serta masalah-masalah serius lain yang sedang berlaku di Malaysia.

Banjir: Azizan bidas publisiti murahan Muhyiddin

03 Zulhijjah 1431 H

ALOR SETAR, 9 Nov: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini membidas perangai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kononnya Kerajaan Kedah lepas tangan dan menyerahkan tanggungjawab membantu mangsa kepada Pusat.

Beliau menyifatkan, Muhyiddin dan Umno hanya menginginkan publisiti murahan dalam melakukan misi kemanusiaan.“TPM kata saya lepas tangan. Pernah pejabat saya hantar surat ke KL (Kuala Lumpur) minta selesaikan masalah? Tak ada. Saya tak pernah tulis kepada PM (Perdana Menteri) tolong saya. Saya tak pernah tulis surat Shahrizat mai tolong saya.

"Dia turun pun pi Tunjang bukan tempat banjir. Kaki kasut dia pun tak basah. Nak cakap apa ...” katanya dalam satu interbiu bersama akhbar rasmi PAS, Harakah.

Minggu lepas, seramai 50,000 penduduk Kedah terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka ditenggelami air akibat bencana banjir terburuk dalam sejarah negeri. Rumah Azizan sendiri turut ditenggalami air.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil turut mendakwa bahawa kerajaan negeri ‘lembap’ dalam memberikan pertolongan kepada mangsa banjir.

Kenyataan Shahrizat dibidas oleh ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengatakan bahawa kenyataan Shahrizat itu bersifat melampau tatkala semua agensi kerajaan negeri tengah bertungkus lumus menyelamatkan mangsa banjir, kehadiran Shahrizat hanya bertujuan untuk bermain politik.

Di samping itu, Azizan turut mempersoalkan kelewatan Muhyiddin untuk mengunjungi kawasan banjir di Kedah.

“Setelah tujuh hari bencana berlaku, baru (beliau) datang meninjau mangsa banjir. Air banjir pun sudah surut dan sebahagian (mangsa) balik ke rumah masing-masing. Sepatutnya datang lebih awal,

baru nampak situasi sebenar,” kata Azizan, sambil menambah bahawa timbalan perdana menteri telah pergi ke tempat yang salah untuk mendapatkan maklumat yang betul.

“Kita ada Jawatankuasa Bencana Alam peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, bilik gerakan banjir peringkat daerah termasuk semua agensi terlibat seperti polis, tentera, sektor awam bekerjasama dengan baik. Tiada sentimen politik langsung.

“Saya terkilan kerana apa yang disebarkan tidak betul. Sepatutnya datang negeri orang, kenalah tanya saya dulu mengenai perkembangan terkini. Bukan buat andaian semata-mata,” katanya lagi.

Selain itu, Azizan turut mengkritik kehadiran Muhyiddin ke negeri itu yang disambut dengan bendera-bendera Barisan Nasional di Stadium Sultan Abdul Halim.

"Pasang bendera BN di Stadium Sultan Abdul Halim ketika Muhyiddin nak turun. Maka jadilah lebih publisiti daripada misi kemanusian. Saya datang tak ada bendera PAS atau Kedah iring saya," bidas Azizan.

Harakahdaily/-

Kelantan taja 100 pasangan kahwin

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 9 Nov: Kelantan sekali lagi mencetus idea baru apabila menaja 100 pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan sempena program Kahwin Perdana 2010, 25 Disember ini.Program itu akan diadakan di Dewan Besar Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Wan Ubaidah Omar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membantu belia-beliawanis kurang berkemampuan mendirikan rumahtangga.

”Selain itu kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100,000 lagi untuk majlis kenduri selepas majlis akad nikah diadakan,” katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Wan Ubaidah berkata, program itu diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kebaikan dan ganjaran bagi mempercepatkan perkahwinan.

Oleh itu beliau berharap program Kahwin Perdana akan menjadi dorongan kepada muda-mudi yang ingin berkahwin tetapi kurang berkemampuan.

Mereka yang berminat boleh hubungi Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan di talian 09 7476568 atau 013-9846913 atau 013 – 6946911 dan tarikh tutup 15 November ini.

Harakahdaily/-

Tidak patriotik: Zahid singgung bukan Melayu

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 Nov: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa memohon maaf dan menarik balik dakwaannya bahawa bukan Melayu tidak ramai menyertai tentera kerana kurang semangat patriotik.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat pada sidang media di parlimen hari ini berpendapat, kenyataan Ahmad Zahid itu rasis, tidak berasas dan menyinggung perasaan bukan Melayu.

"Saya terkejut dan terluka apabila 'tidak patriotik' tersenarai sebagai faktor kenapa bukan Melayu tidak berminat menyertai tentera.

"Kenyataan itu tidak boleh diterima seolah-olah bukan Melayu ini tidak setia kepada negara," kata Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin (PAS-Bukit Gantang) pula berpendapat, kemungkinan bukan Melayu kurang minat menyertai tentera kerana tidak mahu terpalit dengan isu korupsi yang pernah berlaku dalam kementerian itu.

"Kenyataan itu bertentangan dengan 1Malaysia... Kemungkinan ada sebab lain, barangkali sebab korupsi yang tinggi seperti kehilangan dua enjin kapal terbang, atau Sukhoi mahupun kapal selam.

"Menyebabkan orang bukan Islam merasakan ini satu perkara yang mungkar berlaku dalam kementerian itu yang menyebabkan mereka tidak mahu ikut campur," katanya.

Menteri sewaktu menjawab soalan M Kula Segaran pagi tadi memberi empat sebab kenapa bukan Melayu kurang berminat menyertai pasukan tentera.

Ianya termasuk disiplin yang ketat, gaji yang tidak setimpal, tiada inisiatif dan tiada semangat patriotik.

Menurutnya, pada tahun 2009 seramai 8,100 telah direkrut dengan pecahan 90 peratus Melayu, 0.26 Cina dan 0.91 peratus India.

Sehubungan itu, M Kula Segaran akan mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan kadar segera bagi membolehkan perkara tersebut dibahaskan.

Harakahdaily/-

Sultan Kelantan, MB ke Tanah Suci Hari Ini

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 09 Nov: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V akan berangkat menunaikan haji ke Makkah, esok, kata Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Ahmad.

Dalam kenyataan akhbarnya, beliau berharap semoga Tuanku akan selamat berangkat dan pulang ke tanah air.

“Sama-sama kita mendoakan kesejahteraan baginda,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan isteri, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak juga akan menunaikan haji tahun ini bersama baginda.

Turut serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Shukri Mohamad, dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Sultan Kelantan dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 3.00 petang esok, manakala Tuan Guru dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra penerbangan pertama 6.15 pagi esok.

Tuan Guru ketika ditemui di kediamannya petang tadi berharap, rakyat seluruhnya mendoakan kesejahteraan rombongan ke Tanah Suci agar selamat pergi dan kembali.

“Tak apa tak datang (hantar) ramai-ramai pun, doa pun sudah cukup,” ujarnya sambil tersenyum ceria.

Sultan Muhammad Ke-V dijadualkan berangkat pulang ke negara ini pada 23 November nanti.

Harakahdaily/-

LAPORAN POLIS PENEROKA FELDA LAWIN SELATAN

03 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Pas Lenggong

LENGGONG – Kira-kira 20 peneroka Felda Lawin Selatan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik berhubung rasa tidak puas hati mereka berkenaan penetapan harga kayu getah yang didakwa terlalu rendah.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Pas Perak, Razman Zakaria berkata, peneroka membuat keputusan itu setelah dinasihatkan pihaknya sewaktu majlis dialog di Felda Lawin Selatan, kelmarin.

Menurutnya, laporan itu turut menyentuh masalah ketiadaan surat perjanjian jual beli kayu getah antara peneroka dan kontraktor serta tiada tender terbuka.

"Perjanjian antara pihak terlibat juga didakwa tidak pernah ditunjukkan kepada peneroka menyebabkan proses tatacara pemberian tender tidak jelas.

“Bagaimanapun kerja-kerja penebangan tetap diteruskan oleh pihak kontraktor dan kini peneroka sudah mendapat bayaran tambahan sebanyak RM2,000,” katanya ketika ditemui di IPD Gerik.

Hadir sama, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Pas Pusat, Mazlan Aliman serta Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas Gerik.

Razman berkata, peneroka juga tidak berpuas hati dengan bayaran yang diberikan melalui bank setelah ditolak hutang sedangkan butiran lengkap tidak diketahui.

“Bayaran kayu getah yang diberikan adalah kira-kira RM23,000 bagi 4 hektar berbanding RM38,000 bagi Felda Papulut dan RM40,000 bagi Felda Lawin Utara," katanya.

Katanya, diharap pihak berkenaan akan membuat siasatan bagi membolehkan peneroka mendapat pembelaan sewajarnya.