11 Januari 2013

Murid tahun empat cemas, kenderaan dipandu ibu dirempuh

28 Safar 1433H. [MOD] -

Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Keadaan dua Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di simpang lampu isyarat SK Mentakab Jaya, Kampung Megat Segama, Temerloh semalam.
Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Latifah dan anaknya Umi Aishah ditenteramkan orang ramai yang membantu dalam kejadian semalam.
TEMERLOH – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab Jaya di sini mengalami saat mencemaskan apabila kenderaan dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat hadapan sekolah dekat  Kampung Megat Segama di sini, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Latifah Abd Ghani 42, yang memandu Perodua Myvi baru keluar dari simpang sekolah selepas mengambil anaknya Umi Aishah Mohd Nasir untuk pulang ke rumah di Taman Seri Kemuning.

Menurutnya, sebaik lampu isyarat menghala ke bandar Temerloh bertukar hijau dia terus memandu keluar dari simpang sekolah tetapi secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bandar Temerloh terus merempuh bahagian hadapan keretanya.

“Akak terkejut sangat, tiba-tiba kereta akak dirempuh sebelah kanan dan berpusing ke kiri,” katanya di tempat kejadian semalam.

Latifah berkata, akibat rempuhan itu kereta dipandunya beralih kedudukan manakala Perodua Myvi yang melanggarnya terbalik.

Latifah bersama anaknya kemudian dibantu orang ramai mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Songsang.

Kedua-dua beranak itu dilaporkan hanya alami bengkak-bengkak di tangan.

Sinar Harian yang kebetulan berada di tempat kejadian merakamkan detik cemas orang ramai cuba membantu mengeluarkan dua mangsa dari kereta yang terbalik.

Sementara itu, menurut penumpang wanita dalam kereta Perodua Myvi yang merempuh kereta Latifah, dia bersama adik lelakinya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

“Kami ada temu janji di hospital, sampai di sini tiba-tiba terbabit kemalangan, nak buat macam mana lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Beberapa peniaga berhampiran tempat kejadian menggesa pihak berkuasa meletakkan lebih banyak papan tanda keselamatan di kawasan terbabit selain memanjangkan tempoh lampu isyarat di situ.

sinar/-

Bersih 3.0: 49 saksi beri keterangan kepada Suhakam

28 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menamatkan siasatan awam ke atas kejadian semasa dan selepas perhimpunan 28 April tahun lalu, 29 hari selepas pendengaran pertama pada 5 Julai 2012.

Sejumlah sebanyak 49 saksi termasuk 19 orang awam, empat anggota media, 18 anggota polis dan lapan pakar profesional telah memberikan keterangan mereka di hadapan tiga anggota Panel Siasatan yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Khaw Lake Tee (gambar) memberitahu kebanyakan orang awam dan media hadir atas kehendaknya sendiri manakala anggota polis dipanggil berdasarkan senarai nama yang telah diserahkan oleh Polis Diraja Malaysia atau keterangan saksi semasa pendengaran awam.

Menurutnya, pendengaran semalam, tiga pemerhati mewakili Polis Diraja Malaysia, Majlis Peguam dan Perhimpunan Bersih 3.0, telah dijemput untuk membuat penghujahan mereka kepada Panel untuk dipertimbangkan.

“Panel akan menimbang semua keterangan dan penghujahan dalam penyediaan laporan yang dijangka siap dan dikemukakan awal Februari. Suruhanjaya telah mula mengumumkan siasatan awam pada 21 Mei 2012,” ujarnya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, siasatan itu dijalankan susulan daripada aduan dan memorandum yang diterima oleh Suhakam atas dakwaan penggunaan tenaga yang tidak seimbang oleh pegawai penguatkuasa ke arah peserta dan anggota media semasa dan selepas perhimpunan awam 28 April.

Katanya, Suhakam juga telah menurunkan pasukan pemantau semasa perhimpunan tersebut.

“Ini adalah siasatan kesembilan awam yang dijalankan oleh Suruhanjaya sejak penubuhannya, di mana separuh daripada jumlah yang dijalankan berikutan aduan dan memorandum mengenai penyalahgunaan kuasa dan penggunaan kekerasan yang tidak seimbang dalam menyuraikan orang ramai semasa perhimpunan awam,” jelasnya.

Dalam melaksanakan perlindungan dan promosi hak asasi manusia, ujarnya Suhakam mempunyai kuasa untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia dan sekiranya mewajarkan sebuah siasatan diadakan, Suruhanjaya, di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), mempunyai kuasa untuk memperoleh dan menerima semua keterangan dan memanggil mana-mana orang untuk memberikan keterangan.

Dalam hal ini, jelasnya lagi Suhakam ingin menegaskan bahawa kuasa untuk menjalankan siasatan awam terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia berasal dari Seksyen 12 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999.

Dalam menjalankan siasatan itu, katanya Suhakam menunaikan kewajipan sebagai badan berkanun dan tanggungjawabnya untuk melindungi dan mempromosi hak asasi manusia di negara ini seperti yang dimandatkan oleh Akta 597.

harakahdaily/-

TERKINI! Akhbar Malaysia Tak Berani Siar Kajian Pakar Ekonomi Bank Islam Ramal Pakatan Menang!

28 Safar 1433H. [MOD] -

Kurang 24 jam sebelum Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) yang akan diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, rupanya khabar dari seberang tambak seakan menambah semangat peserta himpunan!
Bukan setakat pakar poltik mengesahkan, malah hasil kajian pakar ekonomi turut senada seirama meramalkan bahawa Barisan Nasional (BN) akan tumbang kali ini.
 
Ini disahkan sendiri ketua ekonomi Bank Islam, Azrul Azwar Ahmad Tajudin yang disiarkan di akhbar berbahasa Inggeris berpengaruh di Singapura, The Straits Times hari ini, dalam edisi cetak dan dalam taliannya.
 
Azrul menambah, hasil kajian maklumat menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperolehi antara 97 ke 107 kerusi sahaja dalam pilihanraya umum akan datang, jauh jika dibandingkan dengan prestasi 140 kerusi yang dimenangi pada pilihanraya umum lalu.
 
Bagaimanapun, dengan keputusan hasil maklumat ini, Pakatan Rakyat juga hanya menang antara 115 ke 125 kerusi sahaja dan ia sesuatu yang tidak stabil dari segi ekonomi sesebuah negara.
 
Hasil kajiannya dibentangkan dalam satu forum kewangan serantau yang diadakan semalam di republik itu dan disiarkan The Straits Times hari ini.
 
Ia mengambil kira corak demografi dan pendapatan penduduk sesebuah kerusi parlimen dan dibandingkan dengan data-data ekonomi semasa yang disemak setiap bulan sebagai rujukan, malah Bank Negara turut menganalisis data ekonomi negara dan bank komersil akan membandingkannya dengan data mereka.
 
Dari segi reaksi warga perniagaan yang selama ini memihak BN, beliau berkata ia sesuatu yang lumrah untuk menerima sebuah kerajaan baru dengan dasar serta polisi kewangan baru dan tidak timbul isu sabotaj terhadap kerajaan baru walaupun dikhabarkan hutang luar Malaysia kini mencecah RM502 bilion tahun lalu.
 
Manakala dari sudut pasaran saham, beliau menjangka akan ada perubahan positif terhadap urusniaga yang indeks utama Bursa Malaysia, FBM-KLCI kini berlegar antara 1650 ke 1700 mata sejak sebulan lalu.
Beliau menjangka aliran modal masuk ke Malaysia akan bertambah selepas pilihanraya umum yang akan dimenangi Pakatan Rakyat walaupun kadarnya perlahan.
 
BN kini berusaha keras memenangi pilihanraya umum kali ini yang disifatkan paling getir dalam sejarah negara sejak mencapai kemerdekaan 55 tahu lalu dari British.

harakahdaily/-

Bantuan RM100: Sekolah diminta jemput pemimpin BN

28 Safar 1433H. [MOD] -



 
Beberapa sekolah di Johor telah di minta menjemput pemimpin BN untuk mengedarkan bantuan wang tunai RM100 kepada pelajar sertai menaikkan kain rentang untuk majlis berkenaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Arahan ini telah terkandung di dalam dokumen yang ditemui di lamanweb Kementerian Pelajaran (MOE) dan beberapa pejabat pelajaran daerah (PPD) di Johor.

Lamanweb PPD Kota Tinggi PPD, satu persembahan Powerpoint menyatakan bahawa sesi penyampaian bantuah tersebut hendaklah dihadiri oleh "wakil rakyat BN atau wakilnya".

Menurut lamanweb tersebut, persembahan Powerpoint itu dibuat kepada guru-guru kanan di daerah itu pada 8 Jan.

Perkara yang sama juga boleh didapati pada surat yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha MOE, Datuk Rosli Mohamed pada 5 Disember tahun lalu dan persembahan Powerpoint di lamanweb PPD Kluang.

malaysiakini/-

Tarbiah PAS berjaya menyelamatkan akidah

28 Safar 1433H. [MOD] -


Kehadiran PAS sebagai sebuah jamaah di negara ini secara rasmi 1951 untuk menerangkan Islam kepada masyarakat, bahawa Islam ialah ajaran yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kelahiran PAS, 

apabila ada di kalangan orang agama di dalam Umno yang memberi teguran kepada pemimpin Umno mengenai masalah Islam tidak dipedulikan. Semua cadangan hanya dibakulsampahkan sahaja. Isu loteri dibantah oleh ulamak di dalam Umno, tetapi tidak dipeduli, kerana yang penting ialah duit. 

Begitu juga  dengan isu Natrah yang telah dikembalikan kepada agamanya oleh mahakamah Singapura pada tahun 1950, Umno membisu. Akhirnya ulamak mengambil pendirian bahawa mereka perlu kepada satu  badan yang bebas untuk menyatakan Islam dan mempertahankan Islam.

PAS sebagai sebuah parti yang dasarnya Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasa 3, tidak pernah berganjak daripada menyatakan tentang Islam.  Seruan ini disampaikan kepada masyarakat tidak kira musim. Sama ada sewaktu pilihanraya atau selepas pilihanraya. Tugas PAS ialah untuk mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

PAS bukan semata-mata parti politik yang  bergerak di musim pilihan raya, tetapi PAS juga sebagai sebuah jamah Islam yang menyampaikan seruan Islam kepada semua manusia tanpa ada had musim.

Pimpinan PAS terutamanya yang bergelar ulamak atau ustaz bekerja menyampaikan seruan Islam tanpa jemu-jemu. Mereka menerangkan Islam daripada perkara masuk tandas sampai kepada soal pemerintahan (politik). PAS dibantu oleh Tuan Guru pondok, walaupun mereka ini bukan memegang apa-apa jawatan di dalam PAS, namun pendirian mereka selari dengan apa yang dipegang oleh PAS. Maka mereka banyak membantu PAS melalui kelas-kelas pengajian mereka. Hasil daripada tarbiah mereka juga melahirkan kader-kader PAS.

Bukan satu kerja yang mudah untuk memecah kefahaman tradisi yang sudah berkarat lama di dalam pemikiran masyarakat. Ajaran Islam hasil peninggalan penjajah yang mengajar Islam hanya di dalam bentuk ritual, yakni hubungan dengan Allah semata-mata. Islam tidak diajar sebagai tatacara hidup yang lengkap. Akhirnya inilah yang menjadi anutan dan kepercaayaan sebahagian besar masyarakat di negara ini. Mereka didedahkan Islam yang sempit, sama ada melalui kelas pengajian formal (sekolah) atau tidak formal (surau dan masjid).

Walau pun penjajah sudah lama pergi meninggalkan negara ini, namun kepercayaan mereka terhadap Islam yang sempit sukar untuk diubah. Ketika inilah ulamak-ulamak PAS yang bekerja siang malam menyampaikan seruan ini kepada masyarakat.

PAS hanya berdakwah bukan menghukum. Kerja menyelamatkan akidah umat adalah satu tanggungjawab semua pihak. PAS mengambil tanggungjawab ini setelah Umno kurang mengambil perhatian perkara ini. Walau pun penjajah telah mengangkat kaki daripada bumi bertuah ini, namun mereka masih meninggalkan karat-karat sekular. Ajaran yang diajar,  Islam hanya soal peribadi, 

tidak ada kaitan dengan dunia dan akhirat. Rakyat hanya faham bahawa Islam yang ada pada batang tubuh mereka tidak akan terbatal. Mereka hanya diajar batal sembahyang, batal wuduk, batal haji, batal puasa, tetapi tidak diajar batal Islam.

Kesannya ada manusia yang berbicara sehingga menjejaskan akidah. Mereka ini  bukan orang jahil dalam agama, malahan terdiri daripada orang yang faham agama bergelar ustaz, tuan Imam dan sebagainya. Mereka ini berbicara di dalam dua keadaan, satu kerana memang tidak faham tentang konsep Islam yang sebenar. Mungkin kerana mereka tidak mempelajari secara mendalam. Kedua, mereka faham tetapi buat-buat tidak faham, kerana kepentingan duniawi.

Sedangkan ulamak PAS hanya menerangkan perkara yang membatalkan Islam. Seperti mana yang telah diajar mengikut disiplin keilmuan Islam. Atas kaedah yang disimpulkan oleh ulamak.

“Siapa yang mengakfirkan orang Islam maka ia kafir. Siapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka ia kafir. Siapa yang ragu terhadap kekafiran seseorang maka ia kafir”

Malangnya orang yang selalu mengkafirkan Umno, sekarang sudah masuk Umno. Mungkin kerana tidak ada lagi orang Umno yang hendak dikafirkan. Mereka ini ialah golongan pelampau yang tidak mengikut uslub  yang diputuskan oleh jamaah. Benarlah apa cara sekalipun kita mesti sederhana. Bertepatan dengan peringatan nabi SAW: “Sebaik-baik perkara ialah pertengahan”.

Hasil daripada penerangan yang dilakukan oleh ulamak PAS terutamanya, masyarakat sudah mendapat pencerahan. Mereka tidak lagi berani mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam dan memperolok-olok hukum Islam. Satu ketika dahulu sering kita dengar pimpinan Umno dan orang-orang agama di dalam Umno yang mengatakan jika laksanakan Islam akan mendatangkan huru hara. Jika hukum Islam dilaksanakan, 

ekonomi akan dibolot oleh orang bukan Islam kerana orang Islam dipotong tangan. Jika laksanakan Islam, tidak ada lagi batu untuk membuat jalan kerana diguna untuk melontar orang berzina. Ini ucapan yang tidak mempunyai kaitan dengan politik Pas, sebaliknya ia bersangkutan dengan akidah. Pas sebagai parti Islam wajib menyelamatkan akidah umat daripada sesat yang akan membawa kepada kekal di dalam neraka.

Atas kesedaran bahayanya gejala yang boleh merosakkan akidah maka Kerajaan Saudi telah mengedarkan risalah kecil kepada jamaah haji dan umrah. Buku yang memberi amaran kepada semua jamaah agar menjaga akidah dan memelihara perkara yang boleh membatalkan Islam dan haji. Begitu juga di dalam Kitab Mastika Hadis jilid pertama halaman 225-229 telah membicara dengan panjang lebar mengenai gejala membatalkan akidah. Diterangkan dengan ulasan yang menarik, akidah boleh terbatal melalui perkataan, perbuatan dan iktikad.

 harakah/-

Dosa 'jahil' 15 tahun

Foto28 Safar 1433H. [MOD] -

Kuala Lumpur: Selepas lebih 15 tahun, baru dua beradik perempuan menyedari tindakan ibu memakaikan mereka susuk sejak berusia belasan tahun bagi mengekalkan kecantikan dan memikat sesiapa memandang, adalah perbuatan syirik dan bertentangan ajaran Islam. 

Hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 30, wanita berdarah kacukan Melayu dan Cina itu berkata, dia dan kakaknya, Lorina, 35, mendapat kesedaran selepas dimaklumkan rakan dan bersyukur kerana selepas berkahwin, suami membantu mereka membuang amalan itu.

Menurut Lisa, amalan memakai susuk ibarat tradisi dalam keluarga dan kekurangan pengetahuan dalam agama menyebabkan mereka menganggap ia perkara biasa serta tidak menyalahi syariat Islam.

“Ibu beragama Islam dan ayah pula saudara baru memeluk Islam kerana mahu berkahwin dengan ibu. Jadi pengetahuan kami dalam Islam memang amat terbatas.
DUA beradik menceritakan pengalaman memakai susuk.

“Selain saya dan kakak, ibu, empat sepupu, tiga ibu saudara dan nenek kami turut memakai susuk. Ia bagai amalan tradisi dalam keluarga dan saya serta kakak dibawa ibu berjumpa seorang bomoh untuk memasukkan susuk sebaik saja kami akil baligh,” katanya.

metro/-

Himpunan esok tetap di Stadium Merdeka

28 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) menegaskan himpunan esok akan tetap diadakan di Stadium Merdeka seperti perancangan awal.

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu berkata, tidak berlaku perubahan tempat ke Stadium Bukit Jalil seperti yang cuba dikelirukan sesetengah pihak.

"Dalam pertemuan dengan Ketua Polis Dang Wangi petang semalam, persetujuan dah dicapai pihak penganjur dan pihak polis.

"Kita bincang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Jadi tidak timbul sebarang perubahan," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini. (Gambar atas)

Beliau juga menegaskan, tidak ada sebarang perarakan sebaliknya orang ramai bebas berjalan menuju ke Stadium Merdeka.

Namun, pihak penganjur menyediakan lapan tempat berkumpul bagi memudahkan pergerakan orang ramai.

"Berjalan sahaja macam orang ramai berpusu-pusu nak pergi pasar malam.

"Cuma kita sediakan lapan check point bagi kemudahan peserta berkumpul sebelum berjalan," katanya.

Tengah malam tadi, jawatankuasa penganjur bermesyuarat di Pejabat Agung PAS ekoran cadangan polis agar perhimpunan dipindahkan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Sebelum itu, Polis Kuala Lumpur memaklumkan, perhimpunan itu dicadangkan agar dipindahkan ke Stadium Nasional kerana kapasitinya lebih sesuai.

Ini kerana, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Stadium Merdeka hanya boleh memuatkan 30,000 orang sahaja sedangkan penganjur menjangka penyertaan kali ini mencecah satu juta orang.

Guna pengangkutan awam

Sementara itu, seorang lagi ahli jawatankuasa HKR, Hishamuddin Rais meminta orang ramai menggunakan pengangkutan awam ke ibu kota bagi mengelakkan kesesakan.

"Pihak penganjur minta sangat-sangat, semua orang guna pengangkutan awam.

"Jangan masuk ke pusat bandar dengan kenderaan sendiri kerana ini akan menyusahkan diri sendiri. Kita berjalan kaki sahaja ke stadium dan stadium pun tidak membenarkan kenderaan diletakkan di bahu jalan," katanya.

Para peniaga juga katanya boleh berniaga seperti biasa tanpa sebarang halangan.

harakahdaily/-

Hormati hak berhimpun secara aman - Suhakam

28 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengalu-alukan kesediaan pihak polis untuk memudahcarakan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada 12 Januari 2013 seperti yang umumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, pihaknya turut menyambut baik dialog yang diadakan di antara pihak polis dan penganjur himpunan bagi memastikan hak untuk berhimpun dilaksanakan sepenuhya dalam perhimpunan yang akan dijalankan ini.

Katanya, Suhakam juga mengalu-alukan jaminan Ketua Polis Negara dalam memastikan personel polis memaparkan nama dan nombor badan semasa menjalankan operasi mereka sepertimana yang disyorkan oleh Suruhanjaya berdasarkan dapatan inkuri awam terdahulu berkenaan dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak penguatkuasa.

“Walaupun Suruhanjaya mengambil maklum bahawa wakil media yang akan menghadiri perhimpunan tersebut akan diberi tag pengenalan khas yang dikeluarkan oleh pihak polis selain daripada tag rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan, ia berharap agar wakil media yang tidak memilik tag pengenalan khas polis turut mendapat perlindungan dan pengiktirafan yang sama semasa menjalankan tugas rasmi mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai institusi hak asasi manusia nasional yang sentiasa menangani isu berkenaan kebebasan berhimpun semenjak penubuhannya, Suhakam mengulangi seruannya kepada pihak penguatkuasa untuk menghormati dan memenuhi komitmen hak asasi manusia yang dijanjikan oleh kerajaan di peringkat nasional dan antarabangsa, dalam masa yang sama, mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa ke arah memperbaiki keadaan hak asasi manusia di negara ini.

Menurutnya, memandangkan hal ini boleh mempengaruhi imej polis dan negara, Suhakam berharap agar pihak polis akan menjalankan tugas mereka secara profesional dan mencontohi amalan terbaik pihak polis di negara lain seterusnya menambahbaik kelemahan daripada pengalaman terdahulu.

“Suruhanjaya yakin bahawa dengan adanya sikap positif yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan polis, pihak polis boleh dan akan merealisasikan harapan masyarakat awam,” ujarnya.

Pada masa sama, kata beliau pihaknya juga menyeru agar pihak penganjur dan peserta mematuhi tanggungjawab masing-masing ke arah mempromosi satu perhimpunan yang aman.

harakahdaily/-

Budak parah diserang Rottweiler

28 Safar 1433H. [MOD] -


JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila diserang seekor anjing Rottweiler peliharaan saudaranya di Taman Kulai Utama, Kulaijaya dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Chok Thuan Seng mengalami kecederaan parah di leher, muka dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Menurut sepupu mangsa, Sin Yee, 21, kejadian berlaku ketika Thuan Seng baru pulang dari tadika yang terletak berhampiran rumahnya di Jalan Anggerik, Taman Kulai Utama.

Katanya, Thuan Seng yang berasal dari Bukit Batu, Kulaijaya, sudah tiga minggu menetap bersama mereka sekeluarga bagi memudahkan dia ke tadika setiap hari.

“Thuan Seng memang sudah biasa bermain-main dengan anjing tersebut tetapi kami tidak tahu mengapa dia diserang haiwan itu secara tiba-tiba.

“Mungkin ketika kejadian, adik saya terlupa untuk mengikat anjing tersebut dan sebaik melihat Thuan Seng pulang dari tadika, anjing kami meluru keluar rumah menyerang Thuan Seng,” katanya ketika ditemui di HSA di sini semalam.

sinar/-

Kasut, beg lukisan tangan semakin mendapat sambutan

Kasut, beg lukisan tangan28 Safar 1433H. [MOD] -

Shio Fung dan ibu saudaranya Kah Sim menunjukkan hasil lukisan tangan pada kasut yang dijual mereka. Foto: Bernama
 
ALOR SETAR - Jika dulu kasut atau beg yang mempamerkan lukisan dengan tangan hanya popular di bandar-bandar besar sahaja, kini ia semakin mendapat tumpuan khususnya masyarakat di utara tanah air.

Barangan daripada bahan kanvas putih yang diserikan dengan pelbagai corak lukisan tangan mengikut kreativiti pelukis boleh memberi tarikan kepada orang ramai dan inilah perniagaan yang diusahakan di sebuah kedai, di sini.

Pemilik kedai berkenaan, Yee Shio Fung, 28, berkata permintaan terhadap barangan yang mempunyai lukisan tangan ini kini semakin bertambah sehinggakan beliau kadang-kadang tidak dapat memenuhi tempahan pelanggan.

Shio Fung yang menjalankan perniagaan berasaskan lukisan tangan ini bersama ibu saudaranya, Ng Kah Sim, 43, berkata mempunyai minat yang sama iaitu melukis telah mendorong mereka membuka perniagaan tersebut.

“Di sini belum ada lagi perniagaan seperti ini, jadi kami mencuba nasib dan nampaknya tidak menghampakan kerana saban hari permintaan untuk barangan kami, terutama yang mempunyai lukisan tangan, semakin meningkat.

“Memakai kasut dengan lukisan tangan kini menjadi trend, bukan sahaja kepada generasi muda malah orang dewasa. Pelanggan kami bukan sahaja dari Kedah, ada yang datang dari negeri lain termasuk Johor, kerana kami juga menjual melalui internet,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Shio Fung berkata walaupun trend ini masih baru di negeri ini, permintaan daripada pelanggan amat menggalakkan sejak memulakan perniagaan mereka.

“Setiap bulan mendapat tempahan tidak kurang 50 pasang kasut selain barang-barang lain seperti beg tangan, dompet dan terbaru beg sekolah dan kasut bayi diperbuat daripada kanvas.

“Kami tidak menghadkan corak yang diinginkan pelanggan malah boleh memilih atau memberitahu corak atau gambar apa yang mahu dilukis,” katanya.

Beliau yang memulakan perniagaan sejak dua tahun lalu, berkata pelanggan boleh membawa kasut mereka sendiri ke kedainya untuk dilukis dan menerima beg atau apa sahaja barangan kanvas.
Katanya bukan mudah menghasilkan lukisan pada sepasang kasut kerana ia memerlukan ketelitian bagi memastikan kualiti produk.
“Paling susah melukis pada kasut bayi kerana saiznya kecil membuatkan terpaksa membuat corak atau bentuk yang kecil menerusi gabungan pelbagai warna selain mengambil masa lama berbanding kasut saiz biasa,” katanya.

Shio Fung yang berkelulusan perakaunan dari sebuah kolej swasta berkata dalam sehari beliau boleh melukis paling banyak pada tujuh pasang kasut.

Katanya, jika corak yang dipilih halus dan rumit, memerlukan masa yang agak lama kerana ia lebih sukar berbanding gambar animasi atau pemandangan.

Mengenai harga barangan di kedainya, Yee berkata serendah-rendahnya RM40 dan bergantung pada jenis corak yang dihasilkan.

“Walaupun kami menyediakan pelbagai produk kanvas, namun permintaan untuk kasut adalah lebih tinggi,” katanya.

Yee merancang mengembangkan perniagaannya itu dengan menambah variasi produk lukisan tangan.-Bernama