20 Mac 2009

Abu Lahab Lebih Baik Dari Kita?

"Kita kini berada dalam bulan Rabi'ul awal, dan pada hari ini marilah kita bersama-sama mengucap syukur kehadrat Allah s.w.t. yang mempertemukan kita lagi dengan Rabi'ul awal ini, bulan yang menjadi kebiasaan dan amalan tradisi kepada kita, bilamana masuk sahaja bulan ini kita akan sambut peristiwa Maulidul Rasul s.a.w., satu peristiwa yang cukup besar yang telah mengubah sejarah kemanusiaan di dunia ini. Ketika mana dunia sedang resah gelisah dengan penyakit dan virus jahiliah, Allah s.w.t telah mentakdirkan untuk mengutuskan, kelahiran seorang anak yang menerajui dan telah merubah landscape sejarah hingga waktu ini.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. yang kita sambut saban tahun dan kita tidak pernah lupa dengan pelbagai acara serta sambutan. Seorang penyair arab telah menyebut "Telah dilahirkan seorang 'al-huda' yakni penunjuk jalan, maka seluruh alam bercahaya dengan kelahiran Muhammad s.a.w. dan setiap manusia yang hidup pada zaman itu dan zaman ini mengukirkan senyuman dan memuji terhadap kelahiran baginda Nabi Muhammada s.a.w." Maka pada hari ini tidak kiralah pada berapa haribulan pun, ada sebahagian riwayat yang kuat menyatakan 12 Rabi'ul awal Nabi lahir, ada juga riwayat yang menyatakan bukan tarikh 12 Rabi'ul awal tetapi tarikh yang lain, namun dalam bulan Rabi'ul awal seluruh umat Islam tidak kira rupa paras, warna kulit, pangkat dan bangsa keturunan, kita semua bersepakat meraikan peristiwa yang dinamakan Maulidul Rasul. Ada yang membuat dengan sambutan perarakan, ada yang menyambutnya dengan ceramah agama, berbagai-bagai acara dan berbagai-bagai peringkat.

Persoalannya yang ingin dilontarkan dalam tulisan yang pendek ini, bagaimanakah, apakah cukup dengan untuk kita menyatakan rasa cinta, rasa sayang kita kepada Baginda Nabi s.a.w. dengan sekadar menyambut peristiwa sahaja. Apakah cukup untuk kita hanya mengaku dengan menyatakan kita umat nabi yang menyayangi dan menyintai Nabi s.a.w. dengan hanya membuat acara-acara sambutan Maulidul Rasul semata.

Kalaulah kita gembira dengan kelahiran Nabi s.a.w. dan menyambutnya dengan acara-acara sebegitu sahaja, maka sesungguhnya Abu Lahab bapa saudara Nabi s.a.w. lebih baik daripada kita. Kerana sewaktu kelahiran Nabi s.a.w., orang datang berjumpa dengan Abdul 'Uzza, yakni nama sebenar Abu Lahab. Orang cerita kepada Abu Lahab "Ya Abdul 'Uzza, sesungguhnya adik ipar kamu yang namanya Aminah telah selamat melahirkan seorang anak, anak itu lelaki, ayah kamu yang namanya Abdul Mutalib telah memberi nama anak itu dengan nama Muhammad." Apa jawab Abu Lahab? ia menyatakan syukur kepada Rabbihaka'bah, tuhan yang menjaga Ka'bah, dan dia telah mengorbankan 100 ekor unta sebagai tanda seronok dan gembira dengan kelahiran Muhammd s.a.w.

Kalau kita juga sambut cuma dengan seronok dengan sambutan Maulidul Rasul setakat itu sahaja, maka Abu Lahab sebenarnya lebih baik dari kita kerana dia juga seronok malah menumbangkan 100 ekor unta (100 ekor unta!!!, kalau kita 100 ekor ayam pun belum tentu). Abu Lahab dengan 100 ekor unta, tetapi orang yang samalah, Muhammad yang ia seronok ketika dilahirkan itulah setelah dilantik Allah s.w.t. menjadi Nabi dan menyeru kepada Islam maka Abu Lahablah orang pertama yang menolak kenabian serta ajaran Nabi Muhammad s.a.w.

Bayangkanlah, 40 tahun sebelum itu dialah orang yang paling gembira dan seronok, dialah yang mengeluarkan segala-galanya untuk sambut kelahiran Nabi s.a.w. bahkan dialah orangnya yang memerdekakan beberapa orang hamba, diantaranya Thuwaiba yang kemudiannya pernah menjadi ibu susu Nabi, ia merdekakan mereka kerana begitu seronok dengan kelahiran Nabi s.a.w.

Satelah 40 tahun kelahiran Mumammad dan dilantik menjadi Nabi, perkara pertama dilakukan Nabi s.a.w. ialah mengumpulkan saudara-maranya, bapa saudara dan sebagainya dan menyeru, "Wahai bapa-bapa saudaraku!, sepupu-sepupuku! , adik-beradikku! Aku hendak ceritakan kepada kalian satu perkara, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada segerombolan tentera hendak menyerang kita apakah kalian percaya?" jawapan penduduk Mekah yang kebanyakan adik-beradik Nabi s.a.w. pada waktu itu berkata "Muhammad, bahkan kami percaya apa yang kamu katakan kerana kamu tidak pernah berbohong kepada kami." maka jawab Nabi s.a.w. "Maka pada hari ini aku ingin istiharkan aku adalah utusan Allah", lalu bangun Abu Lahab seraya berkata "Tabballaka ya Muhammad" yang bermaksud "Celakalah Muhammad, apakah kerana ini kamu kumpulkan kami?". Maka turunlah ayat Al-Qur'an surah Al-Masad, "Tabbat yada abi lahabiu'n watab..." ertinya "Celakalah Abu Lahab..." hingga akhir ayat, maka celakalah Abu Lahab bukan Muhammad s.a.w. yang celaka.

Jadi, apabila kita menyebut sambutan Maulidul Rasul, maka di situ mesti ada pengisian, pengisiannya adalah dengan mencari kesempatan yang diberi Allah s.w.t. untuk mengenang, mencari siapakah sebenarnya Nabi s.a.w., siapakan Nabi yang kita ikut. Apakah kita sekadar mengenali beliau benama Muhammad bin Abdullah? tetapi tidak tahu sejarah hidup serta perjalanan sirah Baginda s.a.w. Ambillah kesempatan disamping ceramah-ceramah, program-program, aturcara-aturcara yang kita buat disamping itu kita kembali menghayati, mengingati, kehidupan Nabi s.a.w. daripada mula Nabi s.a.w. dilahirkan hingga wafat kembali ke rahmatullah kerana Nabi s.a.w. adalah "Huswatun Hasanah" yakni "Contoh Tauladan Terbaik" kepada umat manusia.

Bilamana kita manusia mengetahui peribadi Nabi s.a.w., bagaimanakah kehidupan Nabi s.a.w., maka ketika itulah akan timbul rasa cinta kita kepada Baginda s.a.w. dengan melaksanakan segala titah suruhan, yang diperintah Nabi s.a.w. dan sedaya-upaya meninggalkan segala ancaman-ancaman, tegahan-tegahan yang telah disebut Nabi s.a.w. lebih seribu empat ratus tahun dahulu.

Allah s.w.t. menyatakan sekiranya kamu cinta kepada Allah, sekiranya kamu cinta kepada Nabi maka ikutlah arahan Allah, ikut arahan Rasul "Wa'ati'ullah waatiurasul wa'ulil aamri minkum" kata Allah hendaklah kamu mentaati Allah dan hendaklah kamu mentaati Rasul dan juga pemimpin-pemimpin kamu. Ulama menafsirkan bahawa ketika mana Allah s.w.t. menyebutkan taat kepada Allah, Allah menyebut "A'ti'u", ketika mana Allah s.w.t. menyebutkan taat kepada Rasul, Allah menyebut "A'ti'u rasul", dan ketika mana Allah menyebut taat kepada pemimpin Allah cuma menyambung "wa'ulil aamri minkum" tanpa menyebut "A'ti'u". Maka di sana ulama membuat kesimpulan taat pada Allah, taat pada Rasul adalah mutlaq tanpa soal. Apabila Allah Ta'ala kata halal maka halallah, bilamana Nabi kata wajib maka wajiblah, apabila Nabi kata perkara ini tak boleh buat maka tak boleh buat kerana patuh kepada Allah dan Rasul adalah secara mutlaq, tunduk dan patuh. Adapun taat kepada "ulil aamri" kepimpinan maka di sana ada kaitan yakni pemimpin yang taat kepada Allah dan taat kepada Rasul yaitu berdasarkan kebenaran.

Sempena Maulidur Rasul ini, marilah kita sama-sama bertekat dan menanam azam untuk kembali mengenal Nabi s.a.w. dengan sirah, kita ajar anak-anak kita, generasi kita untuk faham siapakah Nabi kita. Dengan menanamkan kefahaman kepada generasi ini daripada kecil, InsyaAllah generasi mendatang akan menjadi generasi yang lebih berpedoman dan beridolakan Rasulullah s.a.w., oleh kerana generasi dan umat yang ada pada waktu ini sudah hilang idolanya, mentornya, ikutannya, maka marilah bersama-sama kita kembali menjadikan Nabi s.a.w. sebagai ikutan dalam kehidupan, kita tanamkan rasa cinta kepada Nabi s.a.w. dengan mengikut segala sunah yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. samada perintah arahan ataupun tegahan yang diwarisi dalam hadis-hadis yang banyak disebut serta ditinggalkan Rasulullah s.a.w.

Kesimpulannya, marilah kita kembali menghayati segala sunah Rasulullah s.a.w. dan kehidupan beragama kerana pepatah Arab ada menyatakan yang bermaksud "Orang Islam, bilamana ia meninggalkan agama, bilamana ia meninggalkan contoh tauladan kehidupan berpandukan kepada Nabi s.a.w., umat Islam pada ketika itu akan jadi mundur, terkebelakang walaupun manusia menyatakan semakin maju, tetapi yang meninggalkan agama sebenarnya akan menjadi mundur. Adapun orang yang bukan Islam, bilamana mereka meninggalkan ajaran agama mereka, mereka akan menjadi maju dan kehadapan"

Marilah kita kembali menghayati serta menjalankan tugas yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan moga-moga dengan kita menghidupkan sunah dan mengamalkannya serta memperbanyakkan selawat keatas baginda, apalah kiranya Nabi s.a.w. sudi memberikan kita Syaffa'atnya semasa kita di Yaumil Masyar yang kita cukup yakini kehadirannya di akhirat nanti, InsyaAllah.

credits: utz. m.rodhi ab/m.al-ittihadiah
petikan: http://pandangbelak ang.blogspot. com/"

1 ulasan:

ZAMRI kecik's berkata...

Masya'allah...