09 Ogos 2009

Artikal kesihatan : Peranan dan Komplikasi Batuk

Pengirim : Amar

Batuk adalah masalah kesihatan biasa. Namun, jika berpanjangan tentu saja meresahkan kerana mungkin ia memang batuk atau simptom kepada masalah lain seperti barah paru-paru.

Batuk secara umum mudah ditangani. Dengan makan ubat mengikut jadual, segala-galanya akan kembali seperti biasa.

Batuk adalah tindakan bagi menjernihkan pernafasan dan tekak. Walaupun ada kalanya agak menyusahkan sebenarnya ia juga berperanan melindungi tubuh dan sebahagian daripada proses penyembuhan.

Peranan Batuk

Batuk berperanan menyingkirkan mukus, habuk dan debu daripada laluan pernafasan. Punca utama batuk umumnya ialah keradangan saluran pernafasan atas. Kerap kali berpunca daripada jangkitan virus atau peningkatan pengeluaran mukus kerana selsema. Apabila merebak ke bahagian pernafasan bawah, ia akan menyebabkan batuk.

Batuk boleh dibahagikan kepada dua, iaitu batuk produktif dan batuk tidak produktif. Batuk produktif menghasilkan mukus yang mungkin sudah kering di belakang tekak yang datang daripada sinus atau mungkin paru-paru.

Justeru, batuk produktif berperanan menjernihkan mukus daripada paru-paru. Selalunya batuk jenis ini berpunca daripada jangkitan virus, masalah asid perut, cecair daripada bahagian hidung yang masuk ke tekak atau merokok.

Batuk tidak produktif selalunya batuk yang kering dan tidak menghasilkan mukus. Batuk jenis ini terjadi kerana jangkitan virus, alahan, penggunaan alat kawalan tekanan darah tinggi atau jantung atau lelah.

Komplikasi Batuk

Batuk tanpa disedari membawa komplikasi tertentu terutama jika seseorang itu memang berhadapan dengan masalah kesihatan lain. Ia juga meletihkan kerana batuk memerlukan tenaga dan mengganggu tidur. Batuk yang tidak dapat dikawal mungkin boleh menyebabkan beberapa keadaan, antaranya :

# Menjejaskan luka pembedahan
# Menjejaskan fungsi kateter yang dipasang pada badan pesakit
# Bengkak pada otot kerana kerap batuk
# Menyebabkan masalah kencing
# Menyebabkan masalah neurologi seperti pening, sakit kepala atau strok

Banyak ubat batuk di pasaran yang boleh mengawal batuk jika ia bukan simptom penyakit kronik. Dapatkan nasihat doktor dan pastikan ubat yang diberi dihabiskan dalam waktu yang ditentukan.

Info Kesihatan Anda

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Doakan salah seorang YB kita akan melakukan pembedah paru2 esok,mudah2an selamat.