09 Ogos 2009

H1N1: 3 lagi kematian dicatatkan

KUALA LUMPUR: Tiga lagi kematian dicatatkan akibat wabak Influenza A (H1N1) menjadikan angka kematian kini meningkat kepada 18 kes, sementara bilangan kes yang disahkan positif mencecah 1,578 kes.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pemberita selepas merasmikan HSC Japan Clinic di sini hari ini.

Liow menggesa orang ramai mematuhi nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberikan perhatian serius tentang wabak ini dan bekerjasama dalam semua tindakan bagi mengekang penularan wabak ini.

Semalam, Perdana Menteri berkata Influenza A (H1N1) menjadi ancaman serius dan menasihati orang ramai agar menjauhkan diri daripada menghadiri acara yang tidak perlu yang melibatkan ramai orang.

Liow turut mengingatkan orang ramai agar meningkatkan amalan menjaga kebersihan, memakai topeng dan menjauhkan diri daripada mereka yang mempunyai simptom seperti selesema.

Mengenai ubat antiviral Tamiflu, menteri itu menasihatkan orang ramai agar jangan mengambilnya sesuka hati jika masih sihat dan tidak dijangkiti virus ini kerana ubat tersebut akan melawan dan jika selepas itu menghidapi Influenza A(H1N1) ia tidak berkesan lagi.

"Saya ingin memberi amaran bahawa ini sangat penting, hanya mereka yang sakit dan dengan nasihat doktor boleh mengambil ubat antiviral Tamilflu," tegas Liow.

Sementara itu, Liow berkata, Kementerian Kesihatan mengawasi sepenuhnya persiapan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang akan disambut tidak lama lagi berikutan penularan wabak tersebut.

Katanya, setakat ini persiapan menyambut Hari Kemerdekaan berjalan lancar dan beliau tidak dapat membayangkan sebarang kemungkinan namun sebarang perkara boleh berlaku.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican telah diarah memantau keadaan wabak ini.

Katanya, seramai 23,000 murid dan pelajar serta kira-kira 47,000 orang dijangka hadir pada sambutan Hari Kemerdekaan di Stadium Bukit Jalil pada 31 Ogos ini.

Liow menasihati peserta agar menjaga kebersihan dan mereka yang tidak sihat disarankan agar tidak hadir pada hari raptai dan perarakan. Katanya, peserta dan pengunjung pada hari sambutan itu akan menjalani pemeriksaan dan semua penganjur acara hendaklah menyediakan pembersih tangan dan memeriksa suhu badan tetamu. BERNAMA

mStarOnline/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Rasanya Kerajaan Malaysia ni tak takut ke dari hari ke sehari melihat kematian makin bertambah. Nak tunggu keluarga Menteri UMNO mati baru nak ketatkan peraturan. Negara luar ada yang tunjuk perasaan memohon Negara mereka bersedia menghadapi tragedi ini. Apa nak jadi dengan negara 1Malaysia ni. Minta Ahli Parlimen Pakatan mendesak Kerajaan istihar darurat dengan kadar segera....

Tanpa Nama berkata...

aik.. posa2 pun nak berarak ke.. mau cari nahas lagi ker..