24 Oktober 2009

Tian Chua berdepan hilang kelayakan ahli parlimen

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Ahli Palimen Batu, Tian Chua akan kehilangan kelayakan sebagai ahli parlimen jika gagal mengemukakan rayuan berhubung tuduhan menghalang tugas seorang anggota polis dan menggigitnya.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini membenarkan penangguhan perlaksanaan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 beliau atas tuduhan tersebut dan dibenar membuat rayuan dalam masa 14 hari.

Menurut laporan Malaysiakini, Tian ketika mengulas perkara itu berkata, beliau tidak fikir ianya satu penghakiman yang adil kerana mendakwa majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

Beliau juga dilaporkan menafikan ada bukti jelas bahawa kejadian gigit itu berlaku dan mendakwa hukuman tersebut adalah untuk menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen.

"Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat dan hukuman tersebut tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan," kenyataanya dipetik.

Majistret Mohd Faizi Che Abu mendapati Tian Chua bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Katanya, beliau mendapati Tian Chua bukan saksi yang berwibawa kerana pembelaannya hanya merupakan penafian semata-mata.

Malah, kata Mohd Faizi, rakaman video yang dikemukakan oleh pihak tertuduh menunjukkannya menghalang dirinya ditangkap.

Katanya, walaupun rakaman video tersebut tidak menunjukkan berlakunya pelakuan menggigit, tetapi beliau percaya ia berlaku kerana anggota polis berkenaan memberi keterangan bahawa beliau menumbuk tertuduh dan Tian Chua bertindak balas dengan menggigit.

Mohd Faizi juga berkata, bukan anggota polis tersebut yang dibicara tetapi tertuduh yang menghadapi perbicaraan.

Katanya, beliau mendapati kewibawaan anggota polis itu tidak terjejas kerana beliau mengaku, dalam keterangannya, telah menumbuk Tian Chua.

Tian didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007 dalam satu himpunan anjuran Bersih.

Himpunan tersebut bagi membantah pindaan perlembagaan untuk melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.

Beliau didakwa mengikut Sekseyen 332 Kanun Keseksaan dan boleh berdepan dengan hukuman tiga tahun penjara atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Dengan keputusan terbaru Mahkamah Masjistret itu, Tian berdepan hilang kelayakan sebagai ahli parlimen mengikut Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu menyebut seorang itu hilang kelayakan menjadi ahli parlimen jika dia telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas._

HarakahDaily.Net/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Salam..
temsnku,inilah erti pengorbanan dan perjuangan. Penuh onak dan duri.Engkau membakar dirimu demi menyedarkan rakyat akan hak mereka. Betapa kami dapat melihat hasil pengorbananmu,kami merasa aman dan diberkati dalam pemerintahan PR sekarang.Yang menentangmu juga dah dapat sedikit sebanyak hasil perjuanganmu..Kami menghargai jasamu. Cuma aku doakan moga engkau dikurniakan petunjuk dan hidayah untuk kembali kepada ALLAH YANG MAHA AGUNG.AMIN.

Tanpa Nama berkata...

ah x pelik pun, hakim kat negara MALAYSIA yang sangat dicintai nie memang senang kena beli,bagi je duit bawah meja,pasti kes akan menang, orang-orang kampung dan orang yang tak ada duit jangan harap la nak menang kes kat mahkamah, kalau menang pun dalam mimpi je la,hahaa,kelakarnya sistem MAHKAMAH kat MALAYSIA nie,boleh buat lawak nie,sekarang nie orang kampung pun tahu la sistem kehakiman kat MALAYSIA nie, org kampung pun baca blog juga,bukan org bandar je,haaaa