03 November 2009

3 pelajar UTAR pula hilang di kawasan perkelahan Batu Berangkai Kampar

IPOH: Belum pun reda kes kematian tiga orang murid sekolah rendah yang lemas di Sungai Kampar ekoran jambatan gantung yang mereka seberangi runtuh, hari ini, pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus melancarkan gerakan mencari tiga pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang hilang ketika mandi di kawasan perkelahan Batu Berangkai,Kampar dekat sini.

Pasukan Mencari dan Menyelamat telah melancarkan gerakan mencari selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 5.45 petang tadi. Ketiga-tiga mereka yang masih belum ditemui itu dikenali sebagai James Wan Kai Khor, 20, dari Pulau Pinang; Yew Ghin Chnieh, 20, juga dari P.Pinang dan Yew Shy Gin, 19, dari Kedah.

Saksi kejadian itu yang juga merupakan pelajar UTAR yang memberitahu bahawa mereka berempat telah ke kawasan perkelahan itu pada jam 5 petang Ahad untuk mandi-manda.

Pelajar yang terselamat itu menceritakan bahawa ketiga-tiga mangsa terlebih dahulu masuk ke dalam jeram berkenaan dan sebaik sahaja pelajar yang terselamat itu baru hendak masuk ke dalam kawasan air tiba-tiba arus deras menghanyutkan tiga kawannya itu.

"Dia (pelajar yang terselamat) juga turut ditolak arus yang deras dan mengalami luka kecil. Dan pelajar itu bernasib baik kerana ada orang yang segera menyelamatkannya dan terus membawanya ke Balai Polis Kampar untuk membuat laporan,"

Katanya lagi, pelajar yang terselamat itu berusia 22 tahun dan merupakan pelajar tahun dua perakaunan dan berasal dari Kuala Lumpur.Dia enggan dikenali dan masih lagi dalam keadaan terkejut.

Ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui dan usaha-usaha mencari dan menyelamat masih lagi diteruskan oleh pihak berkuasa tempatan dengan bantuan orang-ramai.

Tiada ulasan: