03 November 2009

Kapsul ubat: Gelatin babi dicop halal

Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di Pulau Pinang hari ini.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenal pasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram. BERNAMA

8 ulasan:

NaNbN berkata...

Asalamualaykum...Alhamdulillah syukur kepada pendedahan penemuan USM ini,walau bagaimanapun tolong tunjuk dan sebut nama dan jenis ubat tersebut,mana yang haram dan mana yang halal untuk dimakan oleh orang muslim

Terima Kasih

Saiful berkata...

["Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.]

Kebimbangan masyarakat Islam terhadap status halal produk-produk yang dipasarkan bukan sahaja terhad kepada kapsul-kapsul ubat tetapi juga kepada bahan-bahan makanan seperti ayam, daging dan makanan-makanan lain yang diproses. Ini kerana proses yang membawa kepada pengeluaran sijil-sijil halal itu masih terdedah kepada keraguan dan syak wasangka orang ramai.

Sekadar satu daripada beberapa banyak contoh, ayam goreng (fried chicken) yang menjadi kegemaran ramai sekarang ini tidak dapat diyakini 100% kehalalannya. Ini kerana ada laporan mengatakan bahawa pegawai dan pekerja yang ditugaskan di tempat sembelih terdiri dari orang-orang yang tidak sembahyang, tidak tahu hukum hakam hingga ayam disembelih tidak putus urat marihnya dan dicampak ke dalam air panas sebelum ayam itu betul-betul mati sementara di pihak pengeluar sijil dan penguatkuasa pula tidak terdapat cukup pegawai dan kakitangan yang komited menjalankan tugas kerana Allah. Sijil halal mudah ditiru atau difotostat. Malah ada pula yang mengatakan bahawa pengeluaran sijil halal ini “bisa diatur” kalau kena dengan cara dan harganya.

Alhasil, selama mana mereka yang dipertanggungjawabkan dengan penyediaan makanan untuk orang Islam ini lebih mementingkan wang ringgit dan kesenangan dunia daripada soal dosa pahala, halal haram dan syurga neraka, maka selama itulah orang Islam tidak dapat mengelak dari termakan makanan haram yang seterusnya akan mempengaruhi jiwa, pemikiran dan akhlak mereka.

Apa kirapun, sekalung tahniah kepada Prof Madya Dr Syed Azhar dan pasukan penyelidikan USM. Mudah-mudahan Allah berkati setiap titik peluh anda semua.

Awanama berkata...

salam...
harap dpt senaraikan gunakan kapsul gelatin babi

Mustaffa berkata...

Kalau ada yang mendedahkan, lepas ni pasti adayang MENAFIKAN!!

Awanama berkata...

Minta pihak berkenaan umumkan produk yang didapati menggunakan gelatin babi atau menyenaraikan produk yang pasti menggunakan gelaton halal

Awanama berkata...

salam...YB

Apo nak di kato...dah menteri nyo pun bukan islam. Ni sapo nak jawab depan Allah nnt ni? pado yg gilo kuaso, jgn igt nak memerintah yo...tanggungjwb,amanah Allah kono tunaikan. Merompak kuaso pandai nak laksano x ghoti palo otak igt nak kayo yo mati tak bw duit de... ko jwb la PM 1 Msia 1 Nerako..."Rakyat disusahkan pak-pak menteri dikayokan" hahaha

Awanama berkata...

harap sangat cepat dapat kembangkan status halal haram kat negara timur tengah. kami perantau kat sini susah nak kenal pasti status halal makanan..

KOTAKITA berkata...

Teman...kita wajib kembali mengamalkan perubatan Nabi. Kita kena bersatu bangunkan industri produk halal sendiri. Jangan mengharap orang bukan islam sediakan yang halal untuk kita. Dalam kamus hidup mereka tiada halal dan haram seperti diajar oleh agama kita. Dah 52 tahun merdeka, sepatutnya 'Halal' jadi jenama yang menjaga ekonomi ummah. GEMPUR