21 November 2009

Ambil alih hutang Talam untuk dikutip dengan baik - MB

SHAH ALAM, 19 Nov: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri mempunyai alasan kukuh membeli hutang Talam Corporation.

Beliau berkata, pembelian hutang itu adalah untuk mendapatkan kembali hutang anak syarikat kerajaan negeri berjumlah RM391.7 juta.

Khalid berkata demikian ketika bercakap kepada TVSelangor hari ini. Ia kemudiannya dilaporkan dalam laman web Selnagorkini, milik kerajaan negeri.

Menurut Khalid, keputusan itu telah mendapat persetujuan Dewan Negeri Isnin lalu yang meluluskan peruntukan tambahan untuk tujuan berkenaan.

“Sebenarnya membeli hutang Talam Corporation ialah satu usaha supaya dapat menzahirkan hutang-hutang yang dihutangi oleh Talam Corporation dari anak-anak syarikat negeri Selangor,”katanya.

Tan Sri Khalid berkata, beliau telah berbincang dengan Talam Corporation dan bersetuju untuk menyatukan hutang terbabit kedalam satu kumpulan hutang.

“Oleh kerana hutang itu terdiri dari anak-anak syarikat negeri Selangor jadi kita akan kumpulkan ke dalam satu kumpulan hutang,dan bila kita berbincang dengan Kumpulan Talam dia dilihat sebagai satu usaha bersama,”menurutnya.

Tan Sri Khalid juga menyatakan bahawa hutang tersebut telah diserahkan kepada Pemerbadanan Menteri Besar bagi menguruskanya.

“Kedua kita ingin menunjukkan bahawa hutang-hutang ini dibawah kerajaan negeri oleh itu kita telah serahkan kepada syarikat yang menjaga pelaburan tersebut dibawah MBI untuk mengutipnya dari kumpulan Talam,”jelasnya.

Walaubagaimanapun, menurut Tan Sri Khalid dalam usaha melaksanakan pembelian hutang tersebut akan ada penyusunan semula hutang-hutang terbabit.

“Tetapi dalam usaha melaksanakanya akan ada penyusunan semula hutang-hutang ini dan ia terpaksa dimasukan kedalam akaun negeri dan diberikan kepada MBI,”katnya lagi.

Di Parlimen, Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan MB Selangor itu.

Beliau juga berkata, adalah satu hal yang biasa apabila pihak lain mempunyai pandangan tersendiri dalam hal ini namun beliau menegaskan MB Selangor telah menjelaskan perkara itu kepadanya dan menerima penjelasan itu.

Sebelum ini, sebuah media mendedahkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim mempertikaikan perkara itu. Ia dibuatnya melalui email kepada para Adun dan ahli Parlimen PKR tetapi didedahkan oleh media berkenaan setelah mengetahuinya.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: