21 November 2009

Cerita tentang Mozi dan Yunti

Mozi hidup pada abad ke-5 sebelum Masihi. Pada zaman itu, China terdiri daripada beberapa buah negeri. Antaranya, negeri Chu ialah negeri yang besar, manakala, negeri Song pula ialah negeri yang agak kecil.

Pada ketika itu, seorang tukang kayu terkenal yang bernama Gongshu Ban telah mencipta sejenis senjata baru yang disebut "Yunti", atau "tangga perang" dalam bahasa Melayu. Senjata yang besar dan panjang itu terutamanya digunakan untuk memudahkan askar memanjat tembok pelindung negeri musuh. Selesai sahaja ia dicipta, negeri Chu pun bersiap sedia untuk menyerang negeri Song, untuk menguji keberkesanan senjata itu.

Apabila mendengar berita tersebut, Mozi, dari negeri Song, segera berangkat ke negeri Chu untuk meminta Gongshu Ban supaya memujuk raja membatalkan rancangan itu. Mozi berkata kepada Gongshu Ban, "Di sebelah utara sana, ada seseorang yang selalu mengganggu saya. Bolehkah awak membantu saya membunuh orang itu?" Gongshu Ban tidak berapa gembira mendengar permintaan Mozi itu. Namun, dia tidak berkata apa-apa. Maka, Mozi terus berkata, "Saya akan memberikan ganjaran yang besar kepada awak". Gongshu Ban menjawab, "Saya mempunyai harga diri. Saya tidak akan melakukan sebarang kejahatan walaupun ganjaran yang ditawarkan besar." Mozi terus berkata, "Negeri Chu, sebagai sebuah negeri yang besar, ingin menyerang negeri Song yang lemah dan kecil. Pada anggapan awak, adakah ini perang yang adil? Jika perang itu berlangsung, ramai orang yang tidak berdosa akan terbunuh akibat senjata yang awak cipta. Adakah perkara ini berbeza dengan pembunuhan yang dilakukan dengan tangan awak sendiri?"

Soalan tersebut menjadikan Gongshu Ban terdiam. Sebenarnya, raja negeri Chu itulah yang memutuskan untuk menyerang negeri Song. Jadi, kedua-dua mereka segera pergi mengadap raja tersebut. Mozi tidak menyebut tentang perang itu terlebih dahulu. Sebaliknya, dia berkata kepada raja negeri Chu, "Hamba ada satu perkara yang ingin hamba tanyakan kepada tuanku. Ada seseorang yang memiliki kereta dan pakaian yang mewah di sana. Namun, dia tetap ingin mencuri kereta dan pakaian yang usang daripada tetangganya. Pada pandangan tuanku, bagaimanakah sifat orang itu?" Raja negeri Chu menjawab, "Orang itu mempunyai tabiat mencuri yang buruk." Mozi terus berkata, "Negeri Chu besar dan kaya, manakala, negeri Song kecil dan miskin. Kedua-dua negeri ini seolah-olah perbandingan antara pakaian yang mewah dengan yang usang itu. Jadi, pada anggapan hamba, Negeri Chu ini sama sifatnya dengan pencuri tersebut jika ia menyerang negeri Song."

Ketika mendengar kenyataan tersebut, Raja negeri Chu menjadi berang. Baginda bertitah, "Yang kamu katakan tadi memang agak masuk akal. Bagaimanapun, "Yunti" sudah siap dicipta. Maka, beta pasti akan menyerang negeri Song". Mozi berkata dengan tenang, "Sebenarnya, senjata itu tidak begitu hebat seperti sangkaan tuanku. Perkara ini dapat kita buktikan melalui perang lakonan antara hamba dengan Gongshu Ban". Jadi, raja negeri Chu pun membuat arahan supaya segera diadakan "perang" itu. Namun, walau dengan cara apa pun jua, Gongshu Ban tidak dapat mengalahkan Mozi.

Gongshu Ban tidak rela mengaku kalah. Dia berkata kepada Mozi, "Saya tahu bagaimana caranya untuk melawan tuan. Namun, saya tidak akan menceritakannya kepada tuan". Mozi pula berkata, "Begitu juga dengan saya". Raja negeri Chu bertanya kepada Mozi sebabnya mereka berkata demikian. Maka, Mozi menjawab, "Niat Gongshu Ban itu semata-mata untuk membunuh hamba sahaja. Pada anggapannya, jika hamba terbunuh, di negeri Song, tidak ada lagi orang yang mampu mempertahankan negerinya. Bagaimanapun, hamba sudah mengajarkan cara ini kepada pengikut hamba. Maka, meskipun hamba terbunuh, dia tetap tidak dapat mengalahkan negeri hamba".

Mendengar kenyataan Mozi itu, mahu tak mahu, raja negeri Chu terpaksa membatalkan rancangannya untuk menyerang negeri Song itu. Dengan yang demikian, Mozi berjaya mempertahankan negerinya daripada diserang musuh dengan kebijaksanaan dan keberaniannya yang luar biasa.
CRI/-

Tiada ulasan: