18 November 2009

Konflik Yaman dan potensi pertembungan Saudi-Iran

Konflik di utara Yaman mula menampakkan dengan lebih jelas dimensi serantaunya apabila Arab Saudi menyerang kumpulan pemberontak Houthi, dan didakwa mahu mewujudkan zon penampan di kawasan utara Yaman.

Penglibatan lebih aktif secara langsung oleh Riyadh ini membuka kepada tafsiran pertembungan melibatkan Sunni dan Syiah, meningkatkan lagi ketegangan di rantau Asia Barat.

Sentimen ini, sekiranya dimanipulasi dan berleluasa, menambahkan lagi ketegangan antara aliran yang mencorakkan hubungan Arab dengan Iran dan dalam kalangan pengikut aliran berbeza di negara-negara Arab.

Walaupun realiti konflik di Yaman lebih kompeks daripada sekadar persaingan aliran Sunni dan Syiah, sentimen yang dibakar melalui konflik itu mampu memberi kesan kepada seluruh rantau Asia Barat.

Hal ini demikian kerana, pada masa sama, kerajaan Yaman menolak usaha Iran untuk membantu dalam perdamaian, ketika kerajaan pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh menandatangani perjanjian kerjasama ketenteraan dengan Amerika Syarikat.

Walaupun Sana'a telah menjadi sekutu rapat Washington dalam usaha memerangi teroris sejak 2001, masa perjanjian itu dicapai menimbulkan persoalan, iaitu ketika tentera Saudi menyerang Yaman dan usaha Iran dikritik sebagai cuba campur tangan.

Kerajaan Yaman menunjukkan penerimaan terhadap tindakan ketenteraan Saudi itu, yang didakwa Houthi melibatkan lebih daripada serangan posisi ketenteraan, tetapi segera menolak usaha pihak Iran.

Tentera laut Saudi juga melakukan kepungan di Laut Merah, dengan alasan menghalang kemasukan senjata ke Yaman untuk pemberontak Houthi, memberi implikasi bahawa kumpulan itu mendapat bantuan dari luar.

Menteri luar Iran, Manouchehr Mottaki dalam satu kenyataan memberi amaran kepada negara serantau supaya tidak terlibat dalam perang di Yaman. Sehari selepas itu, Iran mengajak kerjasama secara kolektif untuk menyelesaikan persengketaan di Yaman.

"Iran bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Yaman dan negara lain untuk mengembalikan keselamatan di Yaman," menteri luar Iran itu dilapor berkata.

Beberapa pemerhati menolak dimensi persaingan melibatkan aliran Islam Sunni dan Syiah di Yaman, kerana persamaan dalam banyak hal Syiah Zaidiyah dengan aliran Sunni utama.

Joost Hiltermann, pegawai Kumpulan Krisis Antarbangsa (ICG) dilapor berkata, "Pengikut Syiah di Yaman lebih dekat kepada Sunni berbanding Syiah lain di dunia. Dan Sunni di Yaman lebih dekat kepada Syiah daripada Sunni lain di dunia."

Walau bagaimanapun, ini tidak menafikan terus persaingan Saudi dengan Iran di rantau Asia Barat. Saudi mahu Yaman terus berada di bawah pengaruhnya, dan Iran dilihat sedang menunggu dan melihat peluang untuk meluaskan pengaruh, memandangkan pengaruh Saudi yang dikatakan semakin merosot di Asia Barat.

Arab Saudi dan Mesir ialah sekutu kuat AS di dunia Arab, dan menjadi pemain utama Liga Arab. Walau bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan pengaruh Iran dan Turki di rantau Asia Barat mengalihkan perhatian kepada dua negara bukan Arab tersebut.

Iran meluaskan pengaruh dengan memberi bantuan kepada kumpulan-kumpulan seperti Hizbullah dan menzahirkan sokongan politik kepada gerakan Islam di Palestin.

Turki pula memainkan peranan diplomasi dalam isu Palestin-Israel dan melibatkan negara serantau seperti Iraq dan Syria. Peranan ini meningkatkan pengaruh Turki, ketika negara-negara Arab dilihat tidak mampu menghasilkan sebarang kemajuan dalam hal itu.

Yaman ialah negara paling miskin di semenanjung Arab yang bersempadan dengan Arab Saudi di kawasan Laut Arab dan Teluk Parsi, dan bukan ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC) disertai negara-negara kaya kawasan itu.

Ini menjadikan Yaman boleh dipengaruhi dengan memberi bantuan atau dipengaruhi dengan cara lain. Sehingga kini, Arab Saudi paling jelas dapat dilihat pengaruhnya terhadap Sana'a.

Tetapi ini juga menjadikan masalah Yaman, seperti konflik, boleh mendatangkan kesan kepada Saudi terutamanya. Penglibatan Saudi di Yaman, selain ditujukan kepada Houthi, juga bertujuan menangani konflik di negara itu agar tidak merebak ke wilayahnya, walaupun tindakan tentera Saudi ketika ini bukan sekadar untuk melindungi sempadannya.

Houthi mendakwa Riyadh membenarkan tentera Yaman beroperasi dari dalam wilayah Saudi, selain banyak bantuan lain kepada kerajaan Yaman.

Campur tangan Iran pada tahap tertentu mungkin sesuatu yang dimahukan oleh pemberontak Yaman, untuk mengimbangi pengaruh Saudi di negara itu.

Lebih-lebih lagi, campur tangan Arab Saudi dapat dilihat berlaku pada tahap yang luas, menyumbang kepada potensi pelbagai masalah di Yaman, termasuk peningkatan masalah pelarian yang sudahpun kritikal sejak bermulanya perang. Pelarian perang pada masa ini terus meningkat akibat perluasan konflik di utara Yaman itu.

Kelemahan dalam mencari penyelesaian masalah di Yaman itu juga terus mendedahkan negara yang berada di kedudukan strategik itu dikuasai kuasa-kuasa asing.

Walau bagaimanapun, sukar untuk menyaksikan Tehran terlibat dengan jelas seperti penglibatan mereka di Lubnan, Palestin dan Iraq, antaranya kerana bukan daripada aliran Syiah yang sama. Tetapi, sebagai negara yang pragmatik, tidak dapat ditolak kemungkinan untuk Iran terlibat dengan lebih dalam.

Sejauh mana dan selama manapun Iran sedia terlibat, Arab Saudi telah melibatkan diri dengan konflik ini, membuka jalan kepada permainan dan manipulasi politik yang lebih besar kepada semua pihak terbabit.

HarakahDaily.Net/-

Tiada ulasan: