24 November 2009

Pemuda PAS desak Peguam Negara dihadap ke Tribunal

KUALA LUMPUR, 22 Nov: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mendesak agar Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dihadapkan segera ke Tribunal yang dibentuk berdasarkan peruntukan yang sama seperti proses pemecatan hakim Mahkamah Persekutuan.

Ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan berkata, desakan ini dibuat kerana Abdul Gani, selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan telah gagal menjalankan tugas dengan baik dalam memberikan nasihat perundangan yang tepat dan selaras dengan undang-undang yang sebenar sehingga menjejaskan imej kerajaan.

Kegagalan ini tegasnya dapat dilihat dalam dua keputusan Mahkamah Tinggi yang terbaru, iaitu dalam kes semakan kejhakiman terhadap Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berhubung kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Kedah dan kes saman yang dikemukakan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPR dan SPRM yang diwakili Peguam Negara telah kalah dalam perbicaraan kedua-dua kes tersebut.

"DPP memandang serius implikasi dari dua keputusan Mahkamah Tinggi ini. Jelas menunjukkan bagaimana Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama kepada kerajaan sebagaiamana yang diperuntukkan dalam Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, gagal melaksanakan tugasnya," katanya.

DPP turut mempersoal nasihat perundangan oleh peguam negara kepada SPR berkenaan pentafsiran Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah sedangkan peruntukan tersebut adalah jelas bahwa seseorang ADUN Kedah yang gagal menghadiri mesyuarat DUN dua kali berturut-turut tanpa mendapat kebenaran dari Speaker, secara automatik hilang kerusinya.

SPR sebaliknya mentafsirkan maksud "dua persidangan berturut-turut" mengikut Perkara 51 sebagai dua sesi berasingan.

"Timbul persoalan apakah nasihat undang-undang oleh Peguam Negara, diberikan secara profesional ataupun didasari oleh sentimen politik semata-mata untuk mempertahankan tindakan kerajaan dan agensinya?" soalnya.

DPPP berpandangan, meskipun jawatan Peguam Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, namun jawatan tersebut tetap merupakan public office yang mesti mempunyai akauntabiliti moral terhadap rakyat Malaysia.

"Di dalam keadaan ini di mana Peguam Negara gagal menjalankan tugas dengan baik hingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan yang kosnya turut ditanggung oleh rakyat, maka DPPP merasakan adalah wajar secara moralnya untuk Peguam Negara meletakkan jawatan serta merta," tegasnya.

Dalam amalan biasa juga ujarnya, mana-mana peguam yang memberikan nasihat perundangan yang salah dan silap kepada anak guamnya, maka ianya dianggap sebagai suatu professional negligence (kecuaian profesional) yang membolehkan anak guam tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam yang terbabit.

SPR dalam kes ini diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Manakala Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Wah mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung kuasa suruhanjaya tersebut untuk menyoal saksi tanpa henti sepanjang malam.

Beliau merupakan salah seorang saksi yang disoal siasat berhubung kematian pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock Julai lalu.

HarakahDaily.Net/-

2 ulasan:

roslisalem berkata...

tak jadi kesan.. dah memang itu tugas dia sebagai peguam negara ..dengan rakyat belagak pandai, tapi awal-awal lagi dah tahu kelemahan dia bila kalah kes pulau batu putih ..ibarat gajah depan mata.. jelas sangat beliau sekadar berkhidmat untuk BN..bukan khidmat untuk negara

Tanpa Nama berkata...

lambat laun najib akan tukar dia jugak....sebab dah banyak kes kroni BN kalah i.e. SPR and SPRM..

regards, NR