27 Februari 2010

Pemuda PAS bertemu menteri kanan Singapura

13 RabiulAwwal 1431H
Rusli Yasmin

KUALA LUMPUR, 26 Feb: Rombongan Pemuda PAS Pusat ke Singapura berpeluang bertemu dengan salah seorang menteri kanan, Zainal Abidin Rasheed pada hari ini, bagi melihat dan meninjau perkembangan politik serta kedudukan umat Islam di negara jiran itu. Ketuanhya, Nasrudin Hasan mengetuai rombongan dalam misi lawatan ke Singapura selama dua hari dalam rangka memperkasakan Sekretariat Pemuda Muslim Asean (AMSEC) selain memperkukuhkan lagi kedudukan Islam di rantau ini.

Sebelum itu, rombongan Pemuda PAS telah bertemu dengan tokoh-tokoh Islam, antaranya Habib Ali dari Indonesia yang menjadi tetamu undangan di Masjid Ba' Alawi Singapura, Habib Hassan bin Mohammad bin Othman al-Attas yang merupakan anak kepada pengasas Masjid Ba' Alawi dan Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, Presiden Persatuan Ulama dan Guru-guru Agama Islam Singapura (Pergas). (Gambar: Rombongan Pemuda PAS berbincang dengan Pergas) "Pelbagai isu yang menarik diperbincangkan antara Pemuda PAS dan Pergas, antaranya fiqh al-aqalliyat (minoriti) dan bagaimana aplikasinya di Singapura.

"Kaedah fiqh ini sangat menarik dan boleh diperbincangkan dalam konteks PAS dan Pakatan Rakyat sekiranya ditakdirkan membentuk kerajaan Pusat satu hari nanti terutamanya memberi hak dalam sesebuah negara," kata Nasrudin ketika dihubungi.

Menurut beliau, masyarakat muslim Singapura cuma sekitar 16 peratus daripada keseluruhan rakyat negara itu dan demokrasi umat Islam masih dalam keadaan terbatas. Walaubagaimanapun, katanya, Kerajaan Singapura menyediakan ruang-ruang untuk umat Islam memperjuangkan hak mereka selaku penduduk minoriti di sana.

Selain timbalannya, Azman Shapawi Abdul Rani, Exco Pemuda PAS Pusat yang turut sama dalam rombongan tersebut ialah Dr Raja Iskandar al-Hiss, Kamaruzaman Mohamad, Adram Musa, Suhaizan Kaiat, Ir Khairil Nizam dan Firdaus Jaafar.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: