08 April 2010

Pemuda PAS kecewa kes bunuh Siva dilengahkan

Rusli

TELUK INTAN, 7 April: Pemuda PAS Pusat kecewa kerana kes pembunuhan Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Siva@Panthian a/l Patcamuthu dilengah-lengahkan walaupun sudah hampir 20 hari berlalu.

"Kita mahu siasatan diadakan serta pembunuh mendiang Siva mesti segera ditemukan," tegas ketuanya, Nasrudin Hassan ketika melawat keluarga mendiang Siva petang semalam.

(Gambar: Nasrudin bersama anak dan isteri mendiang Siva)

Pihak polis dikatakan masih belum menemui sebarang motif dan tanda-tanda jelas suspek pembunuhan tersebut walaupun lima orang anak muda yang ditahan bagi membantu siasatan telah dilepaskan.

Menurut beliau juga, ada beberapa perkara yang meragukan dalam kejadian itu setelah mendengar cerita daripada beberapa pihak.

Diceritakan, beberapa jam sebelum peristiwa pembunuhan itu berlaku pihak polis kelihatan berulang-alik di kawasan berkenaan umpama telah mengetahui sesuatu akan berlaku.

Dikatakan juga, polis sampai ke tempat kejadian tidak sampai 10 minit selepas kejadian itu berlaku.

Katanya, bagi menuntut keadilan di atas kematian Siva, Pemuda PAS bersedia memberi khidmat guaman percuma kepada keluarganya.

"Jika polis gagal, menunjukkan jenayah dalam negara kita sangat mudah berlaku dan rakyat sudah tidak selamat.

"Penjenayah juga bebas melakukan jenayah dan undang-undang sudah tidak dihormati," tambahnya merujuk kepada beberapa kes yang masih gagal diselesaikan oleh pihak berkuasa seperti kematian Teoh Beng Hock dan Kugan Anathan.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin menyampaikan sedikit sumbangan kepada isteri mendiang, Kala @ Papa A/P Kundasamy bagi meringankan beban hidup yang terpaksa ditanggung.

Beliau menitiskan air mata ketika menerima sumbangan dan Nasrudin menasihatinya supaya banyak bersabar.

Turut hadir bersama Nasrudin ialah Bendahari Pemuda Pusat, Adram Musa dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Mustafa Saari.

Harakahdaily.net/-

Tiada ulasan: