08 April 2010

Lao Ma Shi Tu : Kuda Tua Ingat Akan Jalan


23 Rabiulakhir 1431H.

Asal Usul:

Pada zaman Chunqiu, iaitu antara tahun 770 hingga tahun 476 Sebelum Masihi, atas permintaan negeri Yan, raja negeri Qi, iaitu Raja Qihuangong telah mengetuai tenteranya untuk menyerang negeri Guzhu, sebuah negeri kecil yang kini terletak di provinsi Hebei di bahagian utara China. Semasa mereka berangkat, musim bunga baru bermula. Bagaimanapun, ketika mereka menewaskan negeri tersebut, dan hendak pulang ke kampung halaman, musim sejuk pun sudah tiba.

Apabila tentera yang diketuai oleh Raja Qihuangong itu tiba di sebuah lembah yang besar, yang terpampang di depan mata mereka, hanyalah hamparan salji yang memutih. Arah jalan susah sekali untuk dilihat. Maka, mereka pun tersesat.

Ketika melihat askarnya menjadi begitu risau, Perdana Menteri Guan Zhong yang mengiringi raja Qihuangong dalam peperangan ini, pun menampilkan diri, sambil berkata,

"Janganlah bimbang. Kuda-kuda tua yang kita bawa, pasti ingat akan jalan yang pernah dijejaki mereka."

Maka, atas perintah Raja Qihuangong, Guan Zhong pun memilih beberapa ekor kuda yang tua, dan membiarkan mereka berjalan di hadapan. Dengan mengikut perjalanan kuda-kuda tersebut, akhirnya, tentera negeri Qi berjaya keluar dari lembah itu, dan kemudian menemui jalan yang betul untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Lao Ma Shi Tu" atau "Kuda Tua Ingat Akan Jalan" ini membawa erti, orang atau golongan yang berpengalaman boleh menjadi pembimbing yang baik dalam sesuatu perkara. Peribahasa ini memperlihatkan peri pentingnya pengalaman yang kita lalui untuk memimpin kita ke mercu kejayaan.CRI/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Lebih kurang macam keadaan sekarang, hanya vateran PAS sahaja yang tahu kejahatan yang telah dibuat UMNO... apa-apa slogan untuk bekerjasama UMNO-PAS atas agenda Melayu adalah helah terancang.... karut untuk sebarang rundingan. Jadi dengarlah pendapat dan bimbingan 'Lao Ma Shi Tu', jangan ditempelak pendapatnya, kerana dia dan pejuang-pejuang seangkatan lebih tahu apa yang baik untuk kejayaan perjuangan ISLAM.

Puan Ainon Mohd. berkata...

Asalamualaikum, YB. Koleksi cerita-cerita peribahasa Cina yang YB tulis ini, bagus diterbitkan!