15 Julai 2010

Pindaan akta bakal tindas pekerja

2 Syaaban 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Cadangan pindaan Akta Pekerja 1965 dijangka bakal menindas 42peratus daripada 11.3 juta pekerja untuk menuntut pampasan daripada majikan, kata Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Menurut beliau, artikel 'sub contract all labour' yang ditukar pada 'contract all labour' seperti dalam akta itu menjadikan majikan yang membekal pekerja, termasuk pekerja asing sebagai majikan kekal sedangkan hak-hak pekerja tidak lagi dilindungi oleh akta pekerja itu.

"Bila akta yang baru ini tergubal, majikan yang menjadi 'out sourcing' akan menjadi majikan kekal," tegas beliau pagi tadi di lobi Parlimen.

Akta yang baru itu, menurut beliau lagi, sekaligus menghalang pekerja membawa kes masing-masing ke mahkamah kelak.

Lanjutan dari itu, majikan yang membekal pekerja, termasuk yang pendatang asing tanpa izin (PATI) bakal terus menikmati keuntungan daripada kerajaan tanpa perlu menghiraukan kaum pekerja yang mungkin bakal diberhentikan kerja kelak.

"Kalau Seksyen 69 (Akta Pekerja) ini dipinda, pekerja tiada hak langsung untuk tuntut hak atau pampasan (daripada majikan) walaupun dia sudah bekerja lebih 10 tahun," tambah beliau.

Bagaimanapun, beliau mengaku bahawa akta yang bakal dipinda itu menguntungkan kaum wanita kerana majikan jelas dilarang memecat pekerja wanita disebabkan faktor mengandung.

Menyambung kebimbangan Abdullah Sani itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak kementerian berwajib supaya menangguhkan bacaan untuk kali yang ketiga di Dewan Rakyat kelak.

Bagi beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, kerajaan sewajarnya menjelaskan kekeliruan pada akta yang mahu dipinda itu terlebih dahulu agar tidak terus merugikan pekerja.

"Kita minta tangguhkan dulu semua ini sehingga selesai rundingan berhubung status sub kontraktor itu.

"Isunya, akta ini mesti bersifat pro pekerja, bukannya pro majikan yang membekal pekerja," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: