02 Disember 2010

Batalkan projek ikan arowana di Bkt. Merah

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta kerajaan negeri Perak membatalkan projek ternakan ikan Arowana dekat Bukit Merah dalam daerah Kerian.


Kawasan sawah padi yang ditukarguna untuk ternakan Arowana ini perlu dibaikpulih dengan kadar segera.

Langkah itu wajar disegerakan kerana projek berkenaan bukan saja menjejaskan matlamat utama bekalan air Tasik Bukit Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah tersebut, malah perusahaan ini juga tidak mengikut peraturan serta undang-undang yang telah ditetapkan serta boleh mencemarkan alam sekitar.

Projek yang bermula sejak tahun 2000 itu, dalam skala kecil dengan tidak sampai 10 pengusaha, kini sedang diusahakan oleh 70 pengusaha yang melibatkan 143 hektar tanah sawah (355 ekar) dengan pembinaan sebanyak 3,808 buah kolam. CAP kesal walaupun projek ini di peringkat awal pelaksanaannya dibantah oleh pesawah kerana menyebabkan kekurangan air untuk tanaman padi, namun tidak ada perhatian serius dan tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan.

Lebih mendukacitakan lagi CAP mendapati projek yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan ini dilakukan tanpa mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Walaupun projek tersebut telah bermula sejak 10 tahun yang lalu namun masih ada lot-lot tanah sawah yang terlibat belum ditukar statusnya untuk industri akuakultur.

Pejabat Tanah Daerah Kerian hanya menghantar notis pelanggaran syarat tanah kepada para pengusaha terbabit tetapi tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang dibuat bagi menutup kolam-kolam yang dibina.

Kawasan penanaman padi yang produktif di bawah Projek Kerian-Sungai Manik ini tidak sepatutnya ditukar guna untuk tujuan lain. Kami amat kesal kerana pihak berkuasa tidak mengambil tindakan walaupun syarat penggunaan tanah telah dilanggar.

Kenapa tiada penyelarasan dan tanggungjawab bersama di antara agensi untuk memastikan sumber makanan kita adalah terjamin?

Projek ini juga tidak dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak.

CAP percaya dan merasa bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah ini akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.

Dalam tinjauan yang dibuat CAP difahamkan oleh petani-petani yang terlibat, kegiatan menyedut atau mengepam air dari saliran pertanian melalui Terusan Selinsing dan Terusan Bagan Serai di daerah ini terus dilakukan oleh pengusaha-pengusaha ternakan ikan Arowana di kawasan itu.

CAP dimaklumkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian, akibat kegiatan mencuri air di sini yang berlaku secara berleluasa mereka gagal membenterasnya dengan berkesan.

Para pesawah terbabit mengadu kepada CAP bahawa berikutan masalah kekurangan bekalan yang berlaku pokok padi terencat pembesarannya, buah padi kurang berisi, serangan makhluk perosak dan ancaman rumput menjadi semakin serius dan hasil pendapatan mereka merosot secara mendadak.

Kajian JPS sehingga dari 15 Ogos hingga 26 Oktober 2010 menunjukkan takungan air di Tasik Bukit Merah menurun sebanyak 0.2 kaki sehari.

CAP berpendapat jika projek ini diteruskan masalah bekalan air sawah di kawasan ini akan menjadi lebih meruncing lagi pada masa akan datang terutama sekali pada musim kemarau jika paras air di tasik berkenaan berada pada tahap yang kritikal.

Air Tasik Bukit Merah bukan saja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah daerah Kerian dan Seberang Perai Selatan Pulau Pinang yang melibatkan kawasan sawah seluas lebih 24,000 hektar, tetapi juga menjadi kegunaan harian 200,000 penduduk yang tinggal di Semanggol, Selinsing,Bagan Serai, Beriah,Parit Buntar,Tanjong Piandang dan Kuala Kurau.

CAP kesal dan hairan bagaimana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri Perak, termasuk jabatan serta agensi berkaitan boleh membenarkan dan membiarkan perusahaan ternakan ikan Arowana ini beroperasi dengan sewenang-wenangnya.

Agensi seperti Pejabat Tanah, Jabatan Pertanian, JPS dan JAS perlu mengambil tindakan tegas berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

CAP menegaskan, jika projek ini diteruskan tanah pertanian (sawah) akan terancam dan berkurangan, para petani di daerah ini akan terjejas kehidupan dan sumber pendapatan mereka, alam sekitar akan tercemar dan pengeluaran beras serta bekalan makanan termasuk ekonomi negara akan tergugat pada masa akan datang.

Apakah ikan hiasan ini lebih penting dari kehidupan petani dan makanan untuk rakyat pada masa akan datang?

Justeru itu CAP menggesa projek ternakan ikan Arowana di daerah Kerian dihentikan segera dan kawasan sawah padi dibaikpulih.

Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tiada ulasan: