06 Julai 2011

Apa penduduk dapat Najib ke Jengka esok

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 6 Julai: Kunjungan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak ke Bandar Pusat Jengka esok untuk mengisytiharkan nama baru Bandar Pusat Jengka kepada Bandar Tun Abdul Razak Jengka dijangka tidak akan membawa banyak manfaat kepada penduduk-penduduk bandar tersebut.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya hari ini.

Pertukaran nama itu, kata beliau hanyalah sebagai satu perisytiharan bagi membina reputasi dirinya di sebalik kejayaan bekas Perdana Menteri dan arwah ayahnya Tun Abdul Razak kerana hakikatnya nasib penduduk di Bandar Jengka sememangnya jauh ketinggalan dengan apa yang cuba dipamerkan kepada Najib.

“Kini, di serata tempat daripada jalan masuk ke Bandar Jengka, terpampang gambar Allahyarham Tun Abdul Razak bagi mengembalikan nostalgia tersebut.

Sempena kunjungan PM kali ini, Bandar Jengka dihiasi dengan pelbagai daya tarikan dengan tersergamnya khemah, jalan-jalan diturap, longkang dibersihkan dan pelbagai gambaran seolah-olah ia sebagai sebuah bandar serba canggih dan menarik.

Beginilah pembohongan dan gambaran palsu yang sering dihidangkan kepada pemimpin-pemimpin setiap kali mereka berkunjung atau mengadakan lawatan rasmi,” kata Tuan Ibrahim.

Muslihat melawat

Lawatan Najib ke Bandar Jengka esok, Tuan Ibrahim berpendapat lebih menjurus kepada keadaan terdesak bagi menarik dan mengekalkan sokongan peneroka kepada kerajaan Umno Barisan Nasional (BN).

“Lawatan ini dilakukan di saat Felda berhadapan dengan pelbagai saman daripada para peneroka yang tidak berpuas hati terhadap pengurusan yang tidak telus, menekan dan menipu mereka sekian lama,” kata beliau, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat.

Isu utama di Jengka

Menurut Tuan Ibrahim, pelbagai isu utama yang masih belum selesai seringkali menghantui penduduk, sebagai contoh, isu utama ketiadaan bekalan air bersih bagi penduduk Bandar Jengka masih belum selesai.

Beliau memberikan contoh kawasan Matau yang terletak di Bandar Jengka di mana tempat ini merupakan pengasas kepada pembentukan Bandar Jengka, sehingga kini masih tidak mempunyai bekalan air bersih.

“Penduduknya masih menggunakan air telaga sebagai kegunaan seharian mereka. Perkara ini tidak sepatutnya terjadi di saat negara diwar-warkan akan mencapai status negara maju menjelang 2020,” bidas beliau.

Nasib penduduk Matau

Matau sebagai sebuah penempatan utama dan asas kepada Bandar Jengka kini masih terbiar sebagai kawasan setinggan, dedah Tuan Ibrahim, sambil berkata bahawa sehingga kini penduduk di situ masih mengharapkan agar mereka diberikan geran kekal.

“Mereka sememangnya layak untuk mendapatkan hak milik tanah tersebut, memandangkan merekalah generasi awal yang meneroka kawasan itu.

Kini setelah Bandar Jengka membangun, nasib mereka masih belum berubah. Hampir setiap tahun, mereka mendapat surat arahan pindah, ugutan rumah mereka akan dirobohkan, dan di atas alasan itu jugalah mereka tidak diberi kemudahan bekalan air bersih hingga kini,” terang beliau dengan kesal.

Keadaan di Bandar Jengka dan janji

Walaupun Jengka merupakan kawasan Felda yang paling luas di Malaysia, namun kata Tuan Ibrahim kawasan tersebut masih dibelenggu dengan terlalu banyak kemudahan asas yang belum disempurnakan.

Isu air bersih menjadi isu utama hampir di semua kawasan Felda bahkan Bandar Jengka seringkali berlaku gangguan bekalan air walaupun setiap kali kunjungan para pemimpin ke kawasan Jengka, mereka mengisytiharkan peruntukan bagi mengatasi masalah bekalan air, tambah beliau.

Terakhir, kata Tuan Ibrahim, ialah semasa kempen pilihan raya di Kerdau di mana beliau ialah Pengarah Pilihanraya untuk PAS ketika itu di mana PM telah mengisytiharkan peruntukan sejumlah RM10 juta bagi mengatasi masalah bekalan air.

Sebelum itu, sewaktu kunjungan PM menghadiri program korban Perdana beberapa tahun lalu di sini, isu bekalan air turut disentuh, tambah beliau.

“Namun janji hanya tinggal janji, sekadar pemanis bicara. Kini kunjungan beliau pada 7 Julai ini (esok), rakyat akan sekali lagi akan mendengar pelbagai perisyhtiharan projek untuk memancing undi rakyat, namun selepas program beliau selesai, segalanya akan kekal sebagaimana sebelumnya,” beliau memberikan ingatan.

Harapan penduduk Bandar Jengka

Selain itu, Tuan Ibrahim juga menyampaikan mesej kepada PM bahawa penduduk Jengka mengharapkan agar jalan utama yang menghubungkan Bandar Jengka dengan Kampung Awah serta jalan utama dari Jambatan Kuala Krau ke Bandar Jengka dilebarkan.

“Jengka yang didiami oleh ratusan ribu penduduk, kebanyakannya menggunakan motorsikal sebagai kenderaan utama mengharapkan kunjungan PM kali ini memberi harapan baru kepada masalah yang mereka hadapi,” kata beliau yang juga bekas Adun Jengka.

harakahdaily/-

1 ulasan:

Awanama berkata...

dapat lapangan terbang antara bangsa ke2 untuk rakyat jengka. DENGAR BOLEH PAKAI JANGAN kata-kata najib