06 Julai 2011

Tandas awam cermin sifat masyarakat

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

PENGURUSAN dan penggunaan tandas awam yang seteruk ini hanya akan memalitkan imej buruk terhadap identiti dan budaya orang tempatan.

PADA musim cuti sekolah yang lepas, kompleks beli-belah dan pasar raya hiper di ibu kota seperti biasa dibanjiri pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Pada musim beginilah kebersihan tandas awam menjadi semakin 'tergugat' lantaran digunakan oleh ramai pengunjung. Malangnya, memang ada segelintir anggota masyarakat yang tidak prihatin terhadap kepentingan orang lain ketika dan selepas menggunakan tandas awam.

Lebih teruk sekiranya tempat-tempat tumpuan ramai itu tidak cukup atau tidak ada pekerja yang membersihkan kemudahan awam tersebut. Tanggungjawab memastikan tandas tersebut bersih seolah-olah menjadi cabaran besar. Rata-rata orang ramai mengatakan kebersihan tandas awam tidak mencapai tahap yang memuaskan terutamanya pada musim cuti dan perayaan. Kualiti kebersihannya jauh sekali kalau hendak dibandingkan dengan tandas yang disediakan di hotel mewah, hentian rehat lebuh raya dan juga beberapa gedung beli-belah yang berstatus tinggi.

Tidak beretika

"Segelintir anggota masyarakat kita bersalah kerana mereka tidak beretika ketika menggunakan tandas awam," kata aktivis sosial, Gurmukh Singh. Katanya, ada yang sengaja tidak mahu menggunakan pam tandas setelah menggunakannya dan ada pula yang mencangkung di atas mangkuk tandas. Itu akan mengotorkan mangkuk tandas dan adakalanya mangkuk tandas akan pecah. "Imej negara akan tercalar. Apa kata pelancong jika mereka terpaksa menggunakan tandas awam yang kotor?" kata beliau.

Tandas bersih

"Saya berpuas hati dengan tandas di sepanjang LebuhRaya Utara-Selatan di negara anda kerana ia bersih, tidak seperti yang terdapat di stesen-stesen minyak di kebanyakan tempat," kata seorang pelancong dari Kanada, Mike Brown. Kerajaan melancarkan Kempen Tandas Bersih pada tahun 1997 bagi menimbulkan kesedaran dalam masyarakat tentang perlunya tandas awam yang bersih. Menurut data yang dikeluarkan Pertubuhan Tandas Dunia (WTO), secara puratanya seorang individu menggunakan tandas sebanyak 2,500 kali setahun atau sama dengan enam hingga lapan kali satu hari. Ini bermakna secara purata, seseorang itu menggunakan tandas selama tiga tahun dalam hidupnya.

Menurut pertubuhan itu lagi, masalah kebersihan tandas merupakan isu di seluruh dunia disebabkan separuh daripada penduduk dunia tidak mempunyai sistem sanitasi yang baik. Ada juga tandas yang tidak mempunyai struktur reka bentuk yang sesuai. Menurut Gurmukh Singh, kebersihan tandas awam adalah penting kerana ia mencerminkan sifat dan perangai masyarakat di sesebuah negara. "Terima atau tidak, masyarakat Malaysia perlu sedar bahawa kebanyakan kualiti kebersihan tandas awam di negara ini adalah di bawah tahap yang sepatutnya.

"Kita perlu lihat negara lain contohnya Jepun yang telah menetapkan kebersihan sebagai satu keutamaan dan dengan mudahya masyarakat negara itu mengamalkan budaya kebersihan tandas," kata beliau. Beliau memberikan contoh rakyat negara Jepun yang mengamalkan kebersihan tandas sejak lama dahulu. "Bagi mereka, tidak kira berapa maju sesebuah negara atau betapa cantiknya bangunan atau premis, kalau tandas tetap kotor maka negara itu akan dianggap mundur. Begitulah sikap mereka terhadap kebersihan tandas," tambah beliau.

Penting bagi perniagaan

Bagi pemilik sebuah restoran di Kota Damansara dekat sini, yang mahu dikenali sebagai Mohan, kebersihan tandas penting bagi perniagaan beliau. Katanya kebersihan tandas membuatkan pelanggan selesa untuk singgah dan makan di restorannya. "Tetapi saya perlu menyediakan pekerja khas yang bekerja sepenuh masa untuk menjaga kebersihan tandas. Tanpa ada orang menjaganya, aspek kebnersihan akan terjejas selepas beberapa orang sahaja menggunakan tandas itu," kata Mohan.

Katanya walaupun seseorang itu biasa dengan kebersihan, mereka juga akan membiarkan tandas awam itu kotor kalau kemudahan itu didapati sudah kotor apabila mereka menggunakannya. Bagi Mohan, notis pesanan dan peringatan perlu diletakkan di tandas awam bagi mengingatkan pengguna supaya menjaga kebersihan kemudahan itu. "Saya juga meletakkan peringatan bahawa tandas tidak akan bersih dengan sendiri tanpa mereka yang menggunakannya mengambil inisiatif membersihkan kemudahan itu," tambahnya.

Menurut Mohan, tandas yang bersih di restoran atau kedai makan akan menarik lebih ramai pelanggan dan itu baik untuk perniagaan kerana pelanggan akan puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Bagi Ahmed Waheed dari Bangladesh, yang bertugas sebagai tukang cuci di sebuah pasar raya hiper di Kota Damansara, dia berasa bangga kerana berjaya memastikan tandas awam di premis itu sentiasa bersih ketika beliau bertugas. "Saya cuci tandas ini bersih-bersih selepas digunakan orang lain," kata Ahmed yang ditemui semasa warga asing itu melakukan tugasannya. Gurmukh Singh mempunyai satu nasihat bagi pengguna tandas awam. "Gunalah tandas awam seperti anda guna tandas sendiri di rumah. Anda perlu ada etika ketika menggunakannya." - Bernama

Tiada ulasan: