06 Julai 2011

Elektrik: Syarikat IPP diutamakan, rakyat diketepikan

4 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Senator Pakatan Rakyat mempersoal tindakan kerajaan menaikkan tarif elektrik sebelum selesai semakan semula terma-terma perjanjian pembelian tenaga (power purchase agreement-PPA) dengan pihak penjana tenaga bebas (IPP).

Salah satu inisiatif semakan semula terma-terma PPA ini yang dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini adalah untuk mengurangkan keuntungan pihak IPP menerusi pengurangan bayaran yang akan mengurangkan kadar kapasiti yang dikenakan ke atas pihak TNB oleh pihak IPP.

Senator Mumtaz Md Nawi dari PAS berkata, inisiatif ini menunjukkan kerajaan sedar terlalu banyak keuntungan yang diperoleh IPP namun dalam masa yang sama terus membebankan rakyat dengan menaikkan tarif elektrik.

"Maknanya kerajaan sedar terlalu banyak keuntungan yang diperoleh IPP tapi mereka naikkan tarif (elektrik) sedangkan mereka boleh tunggu sampai akhir tahun, dah habis bincang dengan IPP baru naikkan tarif.

"Bila kerajaan bincang dengan IPP sejauh mana mereka akan bertolak ansur kerana apa yang paling penting rakyat patut diutamakan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Mumtaz dalam soal jawab lisan di Dewan Negara meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air menyatakan siapakah pemilik Penjana Tenaga Bebas (IPP) serta status rundingan dengan IPP bagi meminda terma perjanjian untuk mengurangkan bebanan rakyat dan jumlah pendapatan yang dijana oleh IPP dari mula ditandatangani sehingga 2010 dan sumbangan kewangan langsung dari IPP terhadap rakyat dalam tempoh tersebut.

Menteri dalam jawapannya memberitahu sebanyak 14 syarikat IPP yang telah diluluskan lesen untuk beroperasi di Semenanjung Malaysia antaranya TNB Janamanjung di Perak, Genting Sanyen Power Sdn Bhd, Port Dickson Power Bhd dan Teknologi Tenaga Perlis Consortium Sdn Bhd.

Kerajaan juga bersetuju untuk menyemak semula terma-terma PPA dengan pihak IPP yang merupakan sebahagian daripada inisiatif penstrukturan semula industri bekalan elektrik.

Ekoran jawapan tersebut, Mumtaz berkata, kerajaan lebih mementingkan 14 syarikat tersebut yang menjana pendapatan sebanyak RM107 billion daripada tahun 1996 hingga 2010 dan mengenepikan kepentingan rakyat.

"Terma apa yang dipinda? Ia mesti ada terma-terma yang nak dipinda dan bilakah ianya akan dipinda? Kenapa ianya tidak dipinda sebelum kerajaan menaikkan sebarang tarif elektrik?

"Yang terlibat dengan IPP ialah 14 buah syarikat tetapi yang menerima kesan daripada peningkatan tarif elektrik ialah rakyat kira-kira 27 juta," katanya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.

Mumtaz turut mendakwa kejadian blackout semakin kerap berlaku meskipun kerajaan berkata IPP diperkenalkan untuk menstabilkan sistem pembekalan elektrik daripada mengalami gangguan seperti brownout atau blackout.

Menteri juga memberitahu, pihak IPP diminta untuk menyumbang 1 peratus daripada jumlah hasil tahunan yang telah diaudit dengan mengambil kira kos bahan bakar bagi tahun sebelumnya kepada Dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE).

Tambah Mumtaz juga, kerajaan seharusnya menjelaskan nilai sebenar 1 peratus itu.

"Dalam kes ini berapakah nilai sebenar kerana sepatutnya mereka boleh mengemukakan nilai sebenar keuntungan bersih oleh IPP.

"Hari ini selepas tarif elektrik dinaikkan kita lihat kes-kes melibatkan blackout masih lagi berterusan dan makin banyak dan ini tidak mencapai target sedangkan IPP mendapat untung yang besar.

"Jumlah yang diminta 1 peratus satu kenyataan yang longgar. Sepatutnya jumlahnya yang kita nak tahu. Seolah-olah kerajaan terpaksa mengemis dengan IPP," katanya.

Menteri memberitahu, jumlah sumbangan terkumpul yang telah diterima oleh AAIBE sejak ditubuhkan pada tahun 1997 hingga kini adalah sebanyak RM 929,798,911.80.

Cukai luar biasa

Sementara itu, Senator Dr Syed Husin Ali dari PKR dalam sidang media sama mencadangkan kerajaan mengenakan cukai luar biasa ke atas IPP sementara menunggu kajian PPA ini selesai.

"Sekarang kerajaan nak kaji soal PPA dengan IPP dan sementara tunggu keputusan sepatutnya kerajaan boleh mengenakan cukai luar biasa (ke atas IPP)yang boleh dilakukan mengikut undang-undang kerana kita tak tahu bila kabinet akan buat keputusan.

"Kita harap akan disegerakan dan mesti diadakan cukai luar biasa kerana keuntungan IPP itu terlalu besar dan tidak digunakan untuk kepentingan rakyat terbanyak," kata bekas timbalan presiden PKR itu.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: