13 Julai 2011

Suruhanjaya DiRaja siasat tindakan polis - Muslimat

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menggesa satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa menangkap dan menyuraikan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Ketua Penerangannya, Aiman Athirah Al Jundi berkata tindakan pihak berkuasa khususnya pihak polis itu adalah satu pencabulan terhadap undang-undang serta perlanggaran Perlembagaan negara.

"Sehubungan dengan itu, Dewan Muslimat mendesak agar jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara digantung sementara waktu bagi memberi laluan penyiasatan yang telus dan tanpa sebarang gangguan," katanya.

Selain itu, Dewan Muslimat juga jelasnya mendesak agar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) segera mengambil tindakan dan apa jua inisiatif agar hak asasi manusia dalam negara ini terus terjamin.

Syor-syor Suhakam yang lebih sesuai untuk realiti semasa dunia tegasnya adalah sangat diperlukan dalam usaha membantu semua pihak khususnya pihak berkuasa itu sendiri agar menghormati hak setiap rakyat yang dijamin kukuh oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Untuk itu, DMPP mendesak agar Suhakam diberikan kuasa undang-undang khususnya untuk mengambil tindakan kepada pihak-pihak yang terbukti melakukan pencabulan ke atas hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mahupun oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," jelasnya lagi.

Mengulas himpunan 9 Julai lalu, beliau berkata kejayaan himpunan itu adalah "hadiah" paling bermakna kepada seluruh rakyat apatah lagi menjelang Hari Kemerdekaan Negara yang ke-54 pada 31 Ogos akan datang.

"Justeru, Dewan Muslimat ingin menyarankan agar seluruh warga, pendokong dan penyokong Kempen Bersih ini mengenakan (memakai) pakaian berwarna Kuning pada tanggal 31 Ogos 2011 itu nanti sebagai manifestasi solidariti kita semua untuk sebuah Malaysia yang lebih baik dan bermakna untuk seluruh rakyat," katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: