13 Julai 2011

Bersih 2.0 : Tindakan Polis Cabuli Hak Asasi, Kata Suhakam

10 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 13 JULAI : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengecam kekerasan dan keganasan yang dilakukan polis ketika bertindak menangkap peserta Himpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu, sambil menyifatkan ia pencabulan hak asasi manusia.

Pesuruhjayanya Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, oleh yang demikian semua mangsa yang dizalimi polis pada hari kejadian dinasihatkan agar tampil ke depan bagi mengemukakan aduan secara terus supaya Suhakam boleh memperkukuhkan bahan bukti yang diperolehi Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS.

Katanya, ini kerana tindakan yang dilakukan polis untuk menangani peserta perhimpunan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab malah ia merupakan tindakan penyalahgunaan kuasa dan ia jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

"Kalau pihak lain soal pun kami ada bukti yang tidak boleh dinafikan," katanya memberitahu Tvselangor.

Pada Sabtu lalu, lebih 1,600 peserta termasuk pimpinan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Pakatan Rakyat ditahan.

Bagaimanapun kesemua peserta yang ditahan dilepaskan dengan jaminan polis dan Peguam Negara akan menentukan tindakan ke atas mereka.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan pihak keselamatan bertindak ganas sewaktu perhimpunan itu.

Sha’ani yang turut memantau perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menegaskan tindakan polis menangkap peserta dan menempatkan mereka di Balai Polis Jinjang dan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) juga merupakan satu pencabulan.

Dalam pada itu, beberapa peserta himpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu yang ditemui Tvselangor berkesempatan menceritakan detik-detik cemas mereka ketika dikasari, diherdik malah dihertet ke dalam trak polis.

Rata-rata peserta yang ditemui, kesal dengan tindakan ganas polis ketike berdepan dengan perhimpunan aman Bersih sambil mempersoalkan kegagalan
pihak berkuasa itu dalam menjamin keselamatan rakyat di negara ini.

"Saya tidak nampak apa kesalahan yang dia(peserta Bersih 2.0) buat, saya rasa dia (polis) hilang ingatan masa itu," kata seorang pembantu doktor, Abu Bakar Abdul Rahman yang kesal dengan tindakan anggota polis apabila dilihat dengan sengaja menendang salah seorang peserta Bersih 2.0 ketika sedang bersujud bagi memohon keredhaan Allah S.W.T diatas sebatang jalan raya.

Katanya lagi, beberapa peserta himpunan juga turut kelihatan dibelasah pihak berkuasa hingga patah kaki namun tiada sebarang bantuan dihulurkan oleh anggota polis yang berada disekitar kawasan terbabit.

Turut sama berkongsi cerita Himpunan Bersih 2.0 Sabtu lalu ialah pengerusi Angkatan Warga Aman Malaysia (AMAN), Rajaretinam Armuggan yang juga merupakan salah seorang saksi kejadian ketika Allahyarham Baharuddin Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya akibat terkena semburan gas pemedih mata dan water canon.

"Dua anggota polis yang berada di depan kami hanya melihat sahaja arwah dalam kesusahan, namun apabila saya minta bantuan polis tersebut untuk memanggil ambulan, ia tidak diendahkan dan hanya melihat kami ini sebagai pesalah. Kesilapan saya tidak ambil nombor (baju) polis tersebut," katanya dengan kesal.

Tambah Mazwan Johar seorang peguam PAS, tindakan polis memakai baju pelindung seragam ketika melakukan penangkapan bukan saja menyukarkan peserta himpunan untuk mendapatkan nombor anggota terbabit malah ia sengaja berbuat demikian.

"Jaket tersebut menutup tanda nama dan pangkat mereka. Kami sebagai peguam yang tahu apa yang perlu dibuat pun, tidak dapat berbuat apa-apa (sebab tidak tahu identiti polis itu)," ujarnya dengan nada kesal.

tv news/-

Tiada ulasan: