15 September 2011

Anak Gaddafi dikawal di Niger

17 Syawal 1432H. [MOD] -



SAADI GADDAFI



TRIPOLI - Seorang anak lelaki bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kini dikawal oleh pengawal-pengawal pasukan keselamatan Niger di bandar Niamey.
Anak Gaddafi itu, Saadi, 38, merupakan di antara 32 pegawai bekas pemimpin tersebut yang melarikan diri melalui gurun ke Niger baru-baru ini.
Menurut beberapa pegawai Niger, dia diterbangkan ke bandar Niamey lewat kelmarin selepas menaiki pesawat Hercules C-130 dari bandar Agadez.
Saadi ditempatkan di sebuah kediaman gabenor di bandar Niamey dengan lapan pembantu rapat bapanya selepas mereka menyeberangi Niger pada Ahad lalu.
Pentadbiran Amerika Syarikat (AS) menerima jaminan Niger bahawa Saadi berada dalam kawalan pasukan keselamatan negara itu.
"Mengikut kefahaman kami, dia ditahan di sebuah rumah tetamu kerajaan," kata jurucakap Jabatan Negara AS, Victoria Nuland.
Pertubuhan Penjanjian Atlantik Utara (NATO) juga tidak tahu sama ada Gaddafi sudah meninggalkan Libya.
Seorang jurucakap NATO, kolonel Roland Lavoie memberitahu pemberita kelmarin: "Kami tidak mengetahui sama ada beliau (Gaddafi) sudah meninggalkan negara itu."
Libya kini ditadbir oleh Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang mewakili pemberontak selepas rejim Gaddafi ditumbangkan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Gaddafi kini dalam buruan selepas dia melarikan diri ekoran kejayaan pemberontak menawan Tripoli. - Agensi

Tiada ulasan: