15 September 2011

Sebahagian loji penapis minyak musnah dalam kebakaran

17 Syawal 1432H. [MOD] -

PORT DICKSON: Sebahagian daripada loji penapis minyak milik Esso musnah dalam satu kebakaran, di sini, awal pagi tadi melibatkan sebuah pam saluran penghantar minyak dari loji ke kapal.

Kira-kira 100 pekerja berada di loji berkenaan semasa kebakaran yang bermula pada lewat tengah malam dan sempat menyelematkan diri sementara api dapat dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira empat jam kemudian.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Saadon Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.06 pagi dan mengejarkan enam jentera bomba termasuk unit Hazamat (bahan merbahaya) bersama 32 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima dan kerja memadamkan kebakaran turut dibantu oleh dua jentera bersama-sama 24 anggota pasukan bomba Esso dan Shell.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat, tambah beliau.

Seorang pekerja di loji berkenaan, Kassim Bee Mohamad Kassim, 49, berkata pada awalnya beliau terdengar bunyi mesin yang kuat dan letupan kemudian melihat api marak dengan tiba-tiba.

T Mallika, 54, seorang pekerja berkata semasa kejadian, mereka sedang bekerja dan ketakutan lalu terus lari keluar menyelamatkan diri apabila melihat api menjulang naik. -BERNAMA

Tiada ulasan: