15 September 2011

Lemas tergelincir dalam tangki najis

17 Syawal 1432H. [MOD] -

Budak terpijak penutup sebelum terjatuh

KUANTAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lemas dalam tangki najis selepas dipercayai tergelincir ketika bermain di kawasan berkenaan yang hanya ditutup sebahagiannya menggunakan papan, di bangunan Arked MARA, Bandar Baru, dekat Kuala Rompin, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa, Mohd Izwan Jusoh dari Endau, Mersing, Johor bermain bersama beberapa rakannya, manakala bapanya berusia lingkungan 50-an berniaga pakaian di pasar malam tidak jauh daripada lokasi kejadian berkenaan.

Bapa mangsa kemudian turun ke dalam tangki itu untuk menyelamatkan anaknya yang ketika itu sudah tidak kelihatan dan dipercayai tenggelam di dasar tangki.

Johari Jahaya, Ketua Polis Daerah Rompin. Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mangsa yang berlari-lari di kawasan berkenaan dikatakan terpijak papan terbabit sebelum tergelincir jatuh ke dalam tangki najis yang dipercayai sedalam kira-kira dua meter.

"Tindakan beberapa rakan mangsa yang menjerit serta memanggil nama mangsa menarik perhatian bapa mangsa yang kemudian bergegas ke lokasi kejadian bersama beberapa peniaga lain.

"Lelaki terbabit kemudian turun ke dalam tangki berkenaan untuk menyelamatkan anaknya yang ketika itu sudah tidak kelihatan dan dipercayai tenggelam ke bahagian dasar tangki," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Johari berkata, bapa mangsa dipercayai terpaksa meraba-raba di dalam tangki berkenaan sebelum berjaya menarik tangan anaknya beberapa minit kemudian.

"Namun mangsa ketika itu sudah tidak bernyawa dipercayai kerana lemas sebelum dibantu orang ramai untuk dibawa keluar dari tangki berkenaan," katanya.

Beliau berkata, polis hanya dimaklumkan berhubung kejadian kira-kira jam 7 malam dan bapa mangsa kemudian membawa mayat anaknya ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat dilakukan.

"Hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

berita harian/-

Tiada ulasan: