16 Januari 2012

Pas gesa tubuh suruhanjaya siasat NFC

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pas hari ini menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat secara menyeluruh kepincangan dalam projek lembu daging kendalian Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dikaitkan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, masalah yang timbul bukan berpunca daripada penyalahgunaan dana RM250 juta itu, tetapi lebih kepada masalah dalam pemberian projek itu.

"Perkara pokok adalah bagaimana pemberian projek diberikan oleh kerajaan kepada sebuah syarikat yang tidak berpengalaman.

"Lebih mengelirukan lagi, pinjaman yang besar itu tidak mengikut prosedur Kementerian Kewangan yang mana pinjaman diberi tanpa perjanjian terlebih dahulu," katanya pada sidang media di sini.

Oleh itu tegas Ahli Parlimen Pokok Sena ini: "Saya rasa siasatan yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tidak menyeluruh."

"Siasatan bukan hanya perlu dilakukan ke atas pengurusan NFC tetapi juga pihak-pihak yang terlibat dalam pemberian projek itu termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu sebagai Pengerusi Projek Berimpak Tinggi," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: