16 Januari 2012

Tekong, pembantu direman enam hari

22 Safar 1433H. [MOD] -

SENAI - Tekong bot pancung bersama pembantunya yang ditahan selepas melanggar bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika cuba menyeludup pendatang tanpa izin (Pati) di perairan Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, direman selama enam hari bermula 14 Januari lalu.

Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, tekong terbabit bersama pembantunya dan semua Pati yang ditahan sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, kelmarin, untuk mendapatkan perintah reman.

“Siasatan berkaitan bot pancung yang melanggar bot Maritim sudah dijalankan. Dalam kejadian berkenaan, dua Pati maut, manakala 11 yang lain cedera.

“Ketika ini, tekong dan pembantu bot pancung terbabit ditahan reman enam hari. Seramai 54 Pati direman 14 hari dan seorang kanak-kanak 12 tahun masih disiasat warganegaranya.

“Tiga Pati cedera masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan seorang di Hospital Sultan Ismail. Mereka dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan di hospital-hospital berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Menurutnya, tekong dan pembantu bot pancung terbabit disiasat di bawah Seksyen 304(a) Akta Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kematian yang memperuntukkan hukuman 30 tahun penjara dan denda jika sabit kesalahan.

“Kita juga menyiasat mereka di bawah seksyen 26D Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) kerana mendapatkan keuntungan komersial menerusi penyeludupan migran.

“Sementara 54 pati yang turut ditahan disiasat di bawah seksyen 5(2) Akta Imigresen 1957/63 kerana keluar masuk Malaysia tanpa melalui pintu yang diwartakan,” katanya.

Terdahulu, sebuah bot pancung cuba menyeludup keluar Pati warganegara Indonesia sebelum melanggar bot milik Maritim di perairan Tanjung Pengelih, 12 Januari lalu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: