16 Januari 2012

Beku aset, Shahrizat cuti, tak selesai masalah NFC

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Tindakan kerajaan membekukan aset syarikat NFC dan mengarahkan Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil bercuti tiga bulan, belum tentu dapat mengembalikan wang RM250 juta yang telah dipinjamkan kepada syarikat tersebut.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, apa yang lebih penting katanya aset individu khususnya ahli lembaga pengarah syarikat NFC itu perlu dibekukan.

Ini kerana katanya, dengan pendedahan beberapa pihak sebelum ini, tidak mustahil wang syarikat NFC itu telah dipindahkan kepada akaun ahli lembaga pengarahnya.

"Berapa nilai aset yang dibeku. Apakah hanya lembu dengan kandang lembu dan najis lembu sahaja?

"Kita bimbang aset yang dibekukan itu tidak ada nilai, sedangkan aset sebenar ada pada akaun peribadi," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau juga menuntut jaminan kerajaan bahawa wang rakyat RM250 juta itu dapat kembali jika benar ada kes.

Divert isu kepada Shahrizat

Dalam pada itu, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena menyifatkan tindakan terbaru kepada NFC itu sebagai cubaan mengalihkan semua isu NFC itu hanya kepada Shahrizat.

Sedangkan katanya, Ketua Audit Negara, dan JK Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini mendedahkan terdapat salah laku dalam urusan pemberian projek tersebut yang membabitkan pemimpin tertinggi negara.

Malah lebih teruk, projek tersebut dianugerahkan kepada syarikat yang tidak berpengalaman.

"Kenapa pemberian projek tanpa meterai perjanjian. Prosedur Kementerian Kewangan tidak dipraktikkan.

"Kes NFC ini tak berlaku jika ada ketelusan dalam pemberian projek," katanya.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dalam projek ternakan lembu itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Sabtu lalu mengumumkan bahawa semua aset NFC dibekukan sementara menunggu siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Sebelum ini, Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang suami dan anaknya antara lembaga pengarah syarikat berkenaan mengumumkan akan bercuti selama tiga minggu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: