16 Januari 2012

KR1M: Najib hanya penting kroni, sedia abai rakyat

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jan: Masalah utama Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) ialah menjual barang makanan yang tidak mengikut piawaian kesihatan dan membahayakan kesihatan rakyat, terutamanya golongan bawahan yang berbelanja di kedai tersebut.

Namun, segala yang cuba diutarakan oleh ahli parlimen Pakatan Rakyat diremehkan.

Lebih teruk lagi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meraikan pembongkaran tindakan KR1M untuk menjual makanan yang tidak mengikut piawai kesihatan dengan bangga menyatakan bahawa cemuhan akan melariskan lagi jualan kedai KR1M.

“Saya galakkan mereka untuk terus cemuh dan kritik kedai ini kerana apabila banyak kritik, maka lebih ramai yang akan datang ke situ. Malah, jumlah kedai KR1M di seluruh Malaysia sudah 27 buah dan keseluruhannya 85 buah akan beroperasi hingga hujung tahun ini," kata Najib yang dipetik Bernama.

Ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua (gambar) berkata kenyataan Najib jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak kisah terhadap kesihatan dan keadaan orang awam, termasuk pengundinya.

“Kritikan daripada Pakatan Rakyat (PR) pada KR1M bukannya berkisah samada jualannya bertambah baik ataupun kurang. Kritikan dibuat atas persoalan samada subsidi yang diberikan kerajaan ini untuk menguntungkan sesetengah ahli perniagaan atau merompak pengguna atau kesihatan mereka terjejas,” kata Pua yang menyifatkan kenyataan Najib itu lucu dan juga dibuat dalam keadaan ketakutan.

Menurut Pua, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai sendiri mengesahkan bahawa susu segar 1Malaysia yang dijual lebih murah berbanding kedai lain mengandungi kuman E.Coli yang boleh menyebabkan kematian.

Selain itu, Pua juga berkata Kementerian Kesihatan turut mengesahkan susu tepung 1Malaysia Growing Up Milk Powder untuk kanak-kanak berumur 1 tahun dan ke atas mengandungi vitamin A berlebihan, dua kali ganda piawaiaan yang ditetapkan institut perubatan IOM untuk kanak-kanak berumur 3 tahun dan ke bawah yang boleh mengakibatkan Hypervitaminosis A, kerosakan hati, asma, kehilangan rambut dan sebagainya.

Demikian juga dengan dua produk lain sos tiram and krim pemanis yang telah dipastikan melanggar piawai kesihatan yang tertera di Akta Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Selain itu, pihak PR turut mengesahkan barang-barangan yang dijual di KR1M tidak mempunyai banyak perbezaan dari segi harga berbanding hypermarket yang lain seperti yang diwar-warkan sehingga 30 – 50 peratus penjimatan, meskipun syarikat pengoperasi KR1M, Mydin menerima RM40 juta subsidi dari kerajaan.

“Walaupun sudah terang bersuluh pendedahan di atas, Najib telah membuat keputusan untuk menghukum KR1M yang telah melanggar pelbagai undang-undang, sebaliknya berbuat baik kepada KR1M dan pemilik swastanya. Beliau langsung tidak mempunyai niat untuk menegur pemilik KR1M atas kesilapan besarnya,” selar Pua.

Pua turut menambah, tiada kesimpulan lain yang boleh dibuat daripada tindakan Najib di atas.

“Najib hanya berminat untuk memastikan jualan KR1M meningkat dan mendapatkan untung yang banyak untuk pemiliknya.”

Harakah Daily

Tiada ulasan: