16 Januari 2012

Tok Guru jadi inspirasi konvensyen

22 Safar 1433H. [MOD] -

Ada beberapa kesan penting yang diperoleh dari Konvensyen Ke-3 Pakatan Rakyat di Stadium Sultan Abd Halim, Alor Setar Sabtu lalu, sebuah Konvensyen yang diramalkan terakhir sebelum PRU Ke-13.

Pertama, bertambah kukuhnya kesepakatan dan keazaman bersama parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan jika diberi kuasa oleh rakyat untuk memerintah Kerajaan Pusat, iaitu membersihkan negara ini dari sampah saraf dan kotoran rasuah, penyelewengan, pemborosan, nepotisme, skandal dan pelbagai lagi.

Hampir 20 orang tokoh besar dan kecil - yang berucap sejak dari pagi hingga ke Rapat Rakyat Perdana di sebelah malam yang dihadiri lebih 50,000 orang, semuanya mengungkapkan nada yang satu untuk terus berjuang di bawah Pakatan Rakyat bagi membina sebuah negara yang harmoni, demokratik, dan menjunjung kebebasan.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat yang berucap di sebelah tengah hari dan malam, seperti biasa menjadi tumpuan perhatian malah menjadi inspirasi Konvensyen.

Walaupun uzur tetapi kelantangan suaranya jelas ketika berucap. Ucapannya menjadi pendorong utama peserta Konvensyen untuk meneruskan perjuangan ‘Membersihkan Malaysia’.

Ungkapan dua patah ini menjadi slogan utama di Konvensyen tersebut dan ternyata peserta dari pelbagai kaum itu menjadikannya sebagai asas perjuangan Pakatan.

Tuan Guru sendiri telah menulis perutusan untuk Konvensyen tersebut, mengulangi pengharapannya kepada Pakatan Rakyat seperti yang pernah disampaikannya dua tahun lalu.

Beliau menegaskan kembali bahawa “Perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

“Malah Umno dilihat jelas mengkhianati perjuangan Islam apabila tidak berubah dengan tindakan memfitnah PAS, misalnya, menuduh PAS menjadi tunggangan DAP dan membuang matlamat negara Islam.”

Beliau berkata, atas sebab tersebut, Umno tidak layak menjadi rakan PAS dan jauh sama sekali untuk dijemput menjadi rakan dalam Pakatan Rakyat.

Tuan Guru menyatakan kekal dengan keyakinannya bahawa kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat mempunyai peluang cerah untuk PRU Ke-13 nanti, walaupun disebalik proses pilihan raya yang berjalan sekarang nampaknya paling tidak adil dan penuh dengan pelbagai spekulasi yang mendera dan menekan PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berpendapat, sikap kerajaan BN sekarang ini perlu diasak terus dan dipastikan agar menambahbaikkan proses pilihan raya dibuat dalam PRU Ke-13 nanti. Oleh itu, beliau menyeru supaya bangkit menggerakkan Berih 3.0 demi memenuhi pilihan raya yang adil, telus dan bersih.

Tuan Guru akhirnya menyeru semua pendukung PAS meningkatkan kerjasama bersama Pakatan Rakat.

Ada sesuatu yang sangat menarik dalam agenda Konvensyen Pakatan Rakyat tersebut iaitu acara ucapan suara hati nurani rakyat Malaysia yang dimoderatorkan oleh Datuk Johari Abdul.

Pemidatonya, Puan Siti Khadijah dari Felda, Brig Jen (B) Datuk Abd Hadi Abd Khatab, wakil penjawat awam, Tan Sri Simon Sipaun dan Nicholas Mujah dari Sabah dan Sarawak, budayawan Dinsman, ahli akademik, Prof. Dr. Nazari Ismail, dari NGO, Datuk Ambiga Sreenevasan dan wakil pemuda/pelajar, Akram Ikrami.

Ini adalah suara yang jarang kita dengar dan kita mendengar apa yang mereka ungkapkan ialah bahawa mereka sangat memahami dan berkongsi masalah dengan apa yang dihadapi oleh rakyat yang mahukan perubahan.

Juga sangat menarik ialah pembicara dari tokoh ternama dalam sesi perbahaan perwakilan, iaitu dari Dr. Dzulkifly Ahmad mengenai Tawaran Buku Jingga, masalah Felda oleh Suhaimi Said, isu anti monopoli oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, isu Federalisme oleh Anthony Loke dan isu penjawat awam, oleh Datuk Husam Musa.

Pada pendapat saya, Tawaran Buku Jingga ialah sesuatu yang besar yang merupakan janji Pakatan Rakyat jika mencapai kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti.

Antara lain ia mengemukakan tawaran mengenai dasar Felda di bawah Pakataan Rakyat, Dasar Anti Monopoli Pakatan Rakyat, Dasar Pengukuhan Federalisme Pakatan Rakyat dan Dasar memperkasa Perkhidmatan Awam pakatan Rakyat.

Semua ini, kepada saya, ialah janji praktikal yang sewajarnya diketengahkan oleh Pakatan kepada rakyat keseluruhannya. Misalnya, dasar Felda yang akan memberikan keuntungan kepada peneroka dan tidak dimonopoli oleh golongan yang berkepentingan seperti sekarang.

Pakatan Rakyat perlu berada di ‘halaman’ atau ‘di depan pintu’ para peneroka Felda sendiri seluruh negara untuk menerangkan tawaran Pakatan Rakyat terhadap mereka jika Pakatan berkuasa.

Pakatan Rakyat sudah ada jambatan penghubung dengan peneroka menerusi ANAK yang dipengerusikan oleh Mazlan Aliman dan Pengerusi Biro Peneroka PKR, Suhaimi Said.

Oleh itu, tidaklah sukar untuk berada di tengah khalayak peneroka, lagipun suasana di tanah rancangan Felda sekarang ini sudah jauh berubah di mana kebanyakan peneroka sudah mahukan perubahan. Mereka menanti ketibaan Pakatan Rakyat untuk menjelaskan kepada mereka tawaran dalam Buku Jingga itu.

Kesimpulannya pada pendapat saya, Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga di Alor Setar itu menatijahkan harapan dan keazaman yang sangat besar untuk Pakatan Rakyat membuat perubahan dan membersihkan Malaysia jika menang dalam PRU Ke-13 nanti.

Harakah Daily

1 ulasan:

Huda Al Hadi berkata...

Tg Nik Abdul Aziz Jelas Icon Inspirasi Konvensyen PR. Ucapannya jelas ringkas dan padat dengan Nas-Nas Al Quran satu penggulungan berkualiti.

Saya tidak faham bagaimana Dato'Hasan Ali tidak segan mufaraqah dokterin PR dengan 3 tunjang PAS, PKR dan DAP. Nasib baik selepas pemilihan PAS yang mutakhir itu telah merobah Jawatan Pesuruhjaya PAS tidak disandang lagi oleh beliau. Namun kepimpinan PAS tidak rakus menarik beliau dari jawatan EXCO walahal ianya bolih dilakukan. Saya percaya pimpinan telah bermunajat dengan bersembahyang istikharah sebelum mengantinya dengan pesuruhjaya baru.

Kepada Dato' Hasan Ali terimalah hakikat bahawa anda tidak konsistan dengan cara perjuangan dalam jemaah . Siapa Anda di banding dengan TG Abdul Hadi Awang juga dibanding TG Dato' Harun Din apatah lagi dengan TG Nik Abdul Aziz. Jadilah macam Omar alKhattab sebelum dan pasca keislamnya. Sebelumnya beliau merupakan orang yang bengis dan baran tetapi bila menerima islam budaya hidupnya berubah bersentuh hati mengenai kehidupan sejagat.

Di saat-saat jemaah memerlukan pengorbanan/jihad dari semua peringkat tetapi anda sebagai panglima di medan hadapan mengkhianati perjuangan merajuk, merungut dan ego... tak sepadan dengan watak motivator yang disegani olih kawan atau lawan. Kenapa tidak SABAR.... contohi lah Khalid ibni Walid semasa dipecat dari jawatan panglima perang, beliau tidakpun merungut malahan berjuang dahulu memberi kemenangan kepada perjuangan. Janganlah kerana takhta atau harta melemahkan semangat untuk berjuang.

Dato Hasan Ali..anda masih ada masa untuk merayu jangan hirau tentang jawatan EXCO datang dan perginya jawatan bukan hak kita. Setiap pejuang kepunyaan jemaah bukan hak peribadi atau keluarga. Tentu Dato' ingat seorang ibu menangis berjumpa Rasullullah bukan bersedih kehilangan semua anak lelaki syahid di medan perang tetapi sedih kerana tidak dapat menyumbangkan anak lagi untuk perjuangan fisabilillah.

Dato' HA jangan buat "Road Show" jika anda belum menganut UMNO/BN, nanti susah nak patah balik jika kita kembali rasa sayang kepada perjuangan HAK menentang kebatilan Dunia dan Akhirah yang pasti tiada di tempat lain melainkan di wadah perjuangan PAS bersama PR.