16 Januari 2012

PKR dakwa NFC ingkar arahan Najib

22 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, beliau memandang serius kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), Wan Shahinur Izmir Salleh semalam bahawa operasi syarikat itu berjalan seperti biasa walaupun kerajaan mengarahkan agar asetnya dibekukan.

Kata beliau, kenyataan itu menimbulkan persoalan apakah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya membuat kenyataan kosong tanpa memberi arahan khusus atau NFC mengingkari arahan kerajaan.

Rafizi menambah, pihaknya mengulangi desakan supaya Najib bertindak lebih berani dengan menggantung penglibatan kaum keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam operasi NFC dan melantik pentadbir korporat untuk mengambil alih pengurusan dengan mandat membongkar semua penyelewengan yang telah berlaku.

"PKR konsisten mendesak supaya aset NFC dibekukan dan pentadbir korporat dilantik untuk mengambil alih pengurusan NFC dan melakukan audit penuh bagi membongkar kesemua penyelewengan yang telah berlaku," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam satu kenyataan semalam, Wan Shahinur Izmir berkata, walaupun aset telah dibekukan, namun operasi NFC berjalan seperti biasa dan bekalan daging lembu akan diteruskan dan semua tempahan turut dipenuhi.

Katanya, bagi meyakinkan para pelanggan, pekerja dan vendor, tiada sebarang gangguan kepada operasi harian.

Sehubungan itu kata Rafizi, sebarang perbelanjaan selain membayar gaji pekerja-pekerja yang bertugas dalam operasi penternakan lembu perlu dibekukan.

Malah katanya, pengurusan sedia ada yang terdiri daripada kaum keluarga Shahrizat tidak wajar dibenarkan membuat sebarang keputusan bersabit operasi, kewangan, sumber manusia dan keputusan-keputusan penting lain.

"Sebarang pemindahan wang keluar dari NFC, termasuk pembayaran gaji dan perbelanjaan syarikat-syarikat lain yang dimiliki oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil perlu dihentikan serta-merta," katanya lagi.

Malah menurut beliau, sebarang keputusan mengenai aset atau struktur syarikat dan pelaburan tidak dibenarkan dibuat bagi mengelakkan pemindahan aset.

"Secara lazimnya dalam amalan korporat yang berdasarkan tata kelola yang baik, apabila seseorang disiasat akibat tuduhan pecah amanah, beliau tidak dibenarkan masuk ke pejabat dan digantung serta-merta bagi mengelakkan cubaan menghapuskan bukti.

"Kenyataan NFC yang menunjukkan kaum keluarga Datuk Seri Shahrizat masih bebas menggunakan wang dan menguruskan operasi NFC membawa risiko besar yang menjejaskan bukti dan rekod kewangan NFC," katanya.

Rafizi juga berkata, sekiranya desakan itu tidak diberi perhatian, PKR tidak ada pilihan kecuali terus membongkar pelbagai penyelewengan lagi untuk meningkatkan tekanan politik terhadap Najib untuk bertindak dengan telus dan tidak berdolak dalih.

Esok, katanya, aktivis PKR akan membuat satu lagi laporan polis mengenai perbelanjaan kad kredit oleh keluarga Sharizat sepanjang tahun 2009, yang didakwanya telah melampaui had.

Sinar Harian

Tiada ulasan: