16 Januari 2012

Exco: Fokus pada Dr Rani, Pas serah nama hari ini

22 Safar 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Dengan tumpuan memfokus ke atas Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Abdul Rani Osman, parti Islam itu akan menghantar nama calon jawatan Exco Kerajaan Negeri, hari ini.

Ketua Penerangan Pas pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, nama pengganti Datuk Dr Hasan Mohd Ali sudah pun diputuskan kelmarin dan akan diserahkan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

"Saya jangka ia akan diserahkan hari ini, Setiausaha Agung parti akan uruskan," kata beliau kepada Sinar Harian Online pagi ini.

Bagaimanapun beliau enggan berkongsi butiran calon yang telah pun diputuskan oleh Dewan Harian Pas pusat, yang mengadakan mesyuaratnya di Alor Setar kelmarin.

"Nama belum dihantar kepada Menteri Besar, jadi tidak boleh didedahkan. Maaf," katanya lagi.

Sinar Harian Online difahamkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengeluarkan kenyataan mengenainya lewat hari ini.

"Saya difahamkan begitu. Itu sahaja yang boleh katakan sekarang," kata seorang pegawainya ketika dihubungi lewat malam tadi sama ada Hadi akan membuat kenyataan rasmi mengenainya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya telah mempertimbangkan lebih daripada tiga nama yang disebut-sebut "layak" untuk menggantikan tempat Hasan.

"Selain nama yang dihantar oleh Pas Selangor, Pas pusat juga telah menghalusi beberapa nama lain," katanya lagi.

Hasan, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, dipecat sebagai ahli Pas 8 Januari lalu.

Selain Dr Rani, dua nama lain yang disebut-sebut ialah Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar yang juga merupakan Pembantu Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Nama Pembantu Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Ahmad Yunus Hairi, yang juga Adun Sijangkang, turut tersenarai dalam teka-teki layak mengisi jawatan tersebut.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, Hadi sepatutnya membuat keputusan berkenaan calon bagi menggantikan Hasan semalam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dipetik media semalam berkata, "kita jangka, jika tidak ada sebarang masalah, mesyuarat Exco Selangor Rabu ini akan mendapat anggota baru dari Pas."

Khamis lalu, Sultan Selangor telah memberi perkenan untuk membatalkan pelantikan Hasan daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Penyandang baru dijadual mengangkat sumpah, Rabu ini.

sinar harian/-

Tiada ulasan: