16 Januari 2012

SBPA: Kumpulan premier tidak terlibat penangguhan?

22 Safar 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Jan: PAS mahukan satu penjelasan dari kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sama ada penangguhan semula sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya kepada kumpulan sokongan atau secara keseluruhan.

Ini kerana menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar), beliau mendapat maklumnat bahawa penangguhan untuk semakan tersebut tidak melibatkan kumpulan Premier.

"Saya mendapat maklumat bahawa penangguhan semakan itu hanya melibatkan pegawai rendah dan tak melibatkan kumpulan premier.

"Saya nak dapatkan penjelasan tangguh keseluruhan atau kumpulan rendah sahaja," katanya pada satu sidang media di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Beliau mengulas tindakan kabinet yang telah bersetuju menangguhkan perlaksanaan skim SBPA untuk disemak semula ekoran bantahan banyak pihak berhubung kadar kenaikan gaji yang didakwa tidak adil kepada kumpulan bawahan.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sebelum ini mendedahkan bahawa penjawat awam dalam Kumpulan Premier, yang dianggarkan dalam jumlah sekitar 36 orang, akan menerima gaji antara RM35,000 hingga RM60,000 tidak termasuk elaun tetap, elaun perumahan dan elaun khas pembantu rumah serta lain-lain.

Sedangkan katanya kakitangan Kumpulan Pelaksana hanya menerima kenaikan sekitar RM80, RM100, RM200 malah ada yang tidak sampai RM10.

Mempersoal lanjut, Mahfuz juga mahu penjelasan, adakah pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah mendapat perkenan Yang DiPertuan Agong untuk perlantikan skim persaraan daripada semua kumpulan premier tersebut.

"Saya juga ingin tahu bilakah tarikh surat perlantikan 36 orang kumpulan premier ini dibuat.

"Bila pula faedah dan ganjaran akan dimasukkan dalam akaun bank kumpulan premier ini," soalnya lagi.

Mengulangi gesaannya sebelum ini, beliau sekali lagi mahu satu Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menyemak semula skim SBPA tersebut agar ianya disemak secara keseluruhan termasuk terhadap gaji kumpulan Primer.

Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan perlaksanaan skim SBPA yang septutnya bermula 1 Januari lalu, ditangguhkan untuk disemak semula.

Keputusan untuk semakan semula itu dibuat selepas perbincangan dengan Ceupacs.

Harakah Daily

Tiada ulasan: