27 Januari 2012

Pilihan raya tentukan nasib Dinasti Gandhi

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Rahul Gandhi (kiri) dan Mayawati.
Dakwaan rasuah, salah guna kuasa jejaskan imej Rahul

NEW DELHI: Lima negeri di India akan mengadakan pilihan raya Sabtu ini, sekali gus bakal menguji reputasi parti pemerintah selain penilaian terhadap kewibawaan pemimpin mudanya Rahul Gandhi.

Gandhi, putera dinasti politik Nehru-Gandhi yang mendominasi India bagi kebanyakan tempoh pasca kemerdekaan, mengambil peranan utama ketika berkempen dalam pilihan raya.

Jika Rahul yang masih bujang itu mampu memperbaiki persembahan buruk parti Kongres dalam pilihan raya UP pada 2007, beliau boleh mengharapkan satu suntikan baru politik negara ini.. - Uday Bhaskar, Penganalisis politik
Beliau merentasi negeri paling penting pilihan raya yang juga tempat kawasan parlimennya, Uttar Pradesh (UP) selain negeri jiran, Uttarakhand dan timur laut Punjab.

Di setiap negeri, pemimpin berusia 41 tahun itu diwar-warkan bakal menjadi Perdana Menteri, melakukan yang terbaik untuk menjual parti Kongres selepas reputasinya dirosakkan di peringkat nasional dengan tuduhan rasuah dan salah pengurusan.

Penganalisis politik, Uday Bhaskar berkata, jika pewaris masih yang bujang itu mampu memperbaiki persembahan buruk partinya dalam pilihan raya UP pada 2007, beliau boleh mengharapkan satu suntikan baru politik negara ini.

“Rahul Gandhi sedang diuji, namun jika beliau berupaya menghayun UP, beliau akan disorak,” kata pengarah Yayasan Maritim Nasional, kumpulan pemikir berpusat di sini.
Namun, parti Kongres, yang seiring dengan pergerakan kemerdekaan negara itu, kini terpaksa menyaksikan dominasinya di seluruh negara semakin terhakis manakala parti peringkat wilayah semakin menunjukkan kekuatan.

Satu daripadanya, Parti Bahujan Samaj, parti golongan kasta rendah pimpinan Ketua Menteri Mayawati, memberi gambaran itu pada 2007, apabila beliau berkuasa di UP dengan mengeksploitasi penyokong di kalangan penduduk kasta Dalit, kasta paling rendah.

“Dalam semua pilihan raya masa lalu kami, UP memberi gambaran pengaruh besar dalam pembentukan kerajaan. Ia sentiasa memberi lebih banyak keseronokan berbanding mana-mana negeri lain,” kata KC Sivaramakrishnan, pengerusi kumpulan pemikir Pusat Dasar Penyelidikan.

Namun kejayaan undian negeri bukan bermula di UP, di mana pengundian pelbagai peringkat bermula 8 Februari, namun jauh di jajahan timur laut dipinggir yang terletak antara Bangladesh, Myanmar dan China.

Pengundi di negeri miskin, kadang kala bergolak dan dipenuhi tentera di Manipur akan keluar mengundi Sabtu ini, dengan Kongres hampir pasti melanjutkan pemerintahannya selepas menang semua pilihan raya di sana sejak 1984. – AFP

Tiada ulasan: