27 Januari 2012

25 kedai dekat Penang Sentral terbakar

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

BUTTERWORTH - Sebanyak 25 buah kedai berhampiran terminal bas Penang Sentral di sini hangus dalam satu kebakaran lewat malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 11.39 malam.

"Ketika pihak bomba sampai di tempat kejadian, api sedang marak," katanya kepada pemberita di tempat kejadian awal pagi ini.

Seramai 74 anggota bomba dari Perai, Perda dan Butterworth menggunakan lima jentera bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran berkenaan.

Mereka dibantu 157 anggota bomba sukarela yang menggunakan 19 jentera bomba.

Azmi berkata pihaknya mengambil masa 25 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

"Api marak dengan cepat kerana struktur kedai-kedai berkenaan dibina daripada papan. Tiada sebarang kecederaan serta kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Azmi berkata punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat.

Antara kedai yang terlibat dalam kejadian itu ialah kedai menjual jeruk, kaunter tiket bas ekspres, kedai makanan dan kedai runcit. - Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: