27 Januari 2012

Taska dikenakan tindakan kunci

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Sebuah taska berselindung di sebalik pusat jagaan kanak-kanak di Ta­man Permata, Ampang, di­ke­nakan tindakan penutupan premis atau kunci oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor semalam, bagi membantu siasatan berhubung kematian dua bayi lelaki Muzaffar Mohd Faizal, tiga bulan dan Arif Amsyar, tujuh bulan pada 19 Januari lalu.

Sebelum ini, kedua-dua bayi itu berada di bawah jagaan taska berkenaan yang terletak bersebelahan pusat jagaan terbabit dan mereka di­sah­kan meninggal dunia dipercayai akibat kecuaian dan bukan kerana tersedak susu.

Pengarah JKM Selangor, Nik Omar Nik Ab Rahman berkata, pihaknya menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan siasatan selama 21 hari terhadap premis di Taman Permata itu bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian sehingga menyebabkan dua kematian berlaku.

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan hanya pusat jagaan terbabit berdaftar di bawah JKM sejak Disember tahun lalu, manakala taska tanpa nama yang dipercayai baru beroperasi awal tahun ini tidak didaftarkan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas taska yang menempatkan seramai 13 kanak-kanak itu mendapati premis tersebut tidak memenuhi spesifikasi atau syarat penubuhan sebuah taska mengikut peruntukan Seksyen 8 Akta Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) 1984.

“Maklumat awal menunjukkan premis itu jelas tiada kelulusan agensi teknikal, tidak cukup pengasuh, tiada aktiviti yang merangsang perkembangan kanak-kanak termasuk tiada penyelenggaraan yang baik terhadap peralatan dan perabot dalam premis.

“Disebabkan faktor itu, kita terpaksa kunci taska itu terlebih dahulu untuk membuat siasatan terperinci dan jika terdapat elemen-elemen perlanggaran syarat, kita akan kenakan kompaun terhadap pemilik premis. Kita juga akan merujuk kepada pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar sebelum operasi kunci dijalankan di dua premis terbabit dan sebuah pusat jagaan di Seksyen 8, di sini, semalam.

Nik Omar berkata, bagi tempoh tahun lalu, sebanyak 176 taska dan 123 pusat penjagaan di Selangor dikesan berdaftar di bawah JKM, manakala sebanyak 1,046 taska dan lebih 800 pusat jagaan dilaporkan gagal berbuat demikian.

“Kita harap pengusaha premis penjagaan itu dapat tampil kerana JKM sudah menggunakan semua pendekatan bagi menggalakkan mereka mendaftar premis masing-masing,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebuah lagi pusat jagaan kanak-kanak di Seksyen 8, di sini, dikenakan notis pengosongan premis semalam, selepas pihak JKM Selangor menerima maklumat daripada seorang wanita melalui talian Nur mendakwa bayi lelakinya berusia enam bulan cedera di bahagian kepala akibat terhentak ketika dalam jagaan premis terbabit pada 6 Januari lalu.

Bayi yang juga anak kepada seorang kakitangan di taska itu dilaporkan koma dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bagaimanapun, berlaku kekecohan kira-kira 15 minit apabila pemilik pusat jagaan itu yang didapati tidak berdaftar di bawah JKM, berang dan memarahi sepasukan pegawai JKM Selangor yang datang membuat pemeriksaan dan menyerahkan notis untuk mengosongkan premis dalam tempoh tiga hari bekerja, semalam.

Pemilik taska itu yang enggan dikenali pada mulanya tidak membenarkan pemeriksaan dilakukan dan berkali-kali menegaskan kejadian yang berlaku bukan berpunca daripada kecuaian beliau, sebaliknya mendakwa kecuaian adik kepada ibu mangsa yang juga pekerja di pusat jagaannya.

“Laporan polis sudah dibuat berhubung dakwaan itu dan ibu mangsa serta adiknya kini menghilangkan diri dan gagal dihubungi,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: