27 Januari 2012

Pastikan keselamatan Datuk Shamsubahrin - PKR

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KLANG, 27 Jan: Ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin Ismail yang didakwa atas tuduhan menipu baru-baru ini berada dalam keadaan tidak selamat dan perlukan perlindungan sepenuhnya.
(Zuraidah dan Surendran ketika bercakap kepada wartawan)

Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dalam sidang media hari ini mendakwa, Samsubahrin yang merupakan saksi utama dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan didakwa atas dua pertuduhan menipu dilihat menjadi "kambing hitam" kepada skandal tersebut bagi menutup kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

"Apa yang kita lihat sekarang Samsubahrin telah dianiayai oleh pihak tertentu bagi menutup kepincangan yang berlaku di dalam NFC, malah beliau juga telah dijadikan 'kambing hitam' bagi menanggung kesalahan yang dilakukan oleh orang lain," jelasnya.

Baru-baru ini, Shamsulbahrin didakwa mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan pertama, Shamsubahrin didakwa menipu Pengerusi NFC, Datuk Mohamad Salleh iaitu dengan sengaja menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat bertujuan memperdayakannya sehingga mendorong Mohamad Salleh bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Samsubahrin Resources Sdn Bhd itu didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Bukit Tunku di ibunegara pada jam 6 petang 20 November lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, Shamsubahrin didakwa menipu Mohamad Salleh dengan memperdayanya hingga mendorong Mohamad Salleh menyerahkan cek-cek berjumlah RM1.755 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Solaris, Mont Kiara, Kuala Lumpur pada 25 November hingga 6 Disember lepas.

Baru-baru ini, Pengerusi NFC mendakwa, bekas kakitangannya adalah antara pihak yang terlibat membocorkan rahsia NFC.

Dalam sidang media hari ini, Zuraida memberitahu, sewaktu Samsubahrin diminta untuk menghuraikan segala kucar kacir di dalam akaun NFC, pihak NFC berharap beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya tetapi Samsubahrin tidak bertindak seperti apa yang mereka kehendaki.

"Melihat kepada tindakan Samsubahrin yang tidak mahu mengikut seperti apa yang dikehendaki, mereka mula memerangkap beliau dengan tuduhan-tuduhan menipu.

"Kami beranggap Samsubahrin adalah saksi yang penting dan kita mengharapkan keselamatan beliau dapat dijaga serta diberi perlindungan sepenuhnya.

"Sebab itulah kita akan membuat pendedahan seterusnya agar masyarakat tahu apa yang sebenarnya berlaku dan saya pasti pihak berkepentingan akan melakukan sesuatu yang kita sendiri tidak ketahui," sambungnya lagi.


Sengaja diperangkap

Sementara itu, Peguam N. Surendran yang mewakili Samsubahrin memberitahu beliau mempunyai banyak maklumat berkaitan NFC dan pihak tertentu telah bertindak dengan tuduhan menipu dengan harapan Samsubahrin dapat berdiam diri dari membuat sebarang pendedahan.

"Apa yang kita lihat hari ini adalah suatu yang pelik telah berlaku di mana dalam tempoh ini terdapat dua pertuduhan dikenakan terhadap anak guam saya, Samsubahrin, iaitu yang pertama dari Mahkamah Klang dan yang kedua pula dari Mahkamah Majistret Shah Alam.

"Beliau tidak mengaku salah keatas kedua-dua tuduhan tersebut dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM9 ribu dan RM2 ribu dan sebutan akan dilakukan pada 27 Februari di Mahkamah Klang manakala pada 1 Mac di Shah Alam," jelasnya.

Tambahnya lagi, melihat kepada apa yang berlaku sekarang ini, ia adalah bermotifkan politik bagi melindungi seseorang.

"Samsubahrin akan membuat laporan polis untuk kali pertama kerana sebelum ini beliau tidak mengetahui apa yang berlaku dan atas alasan tersebut kita telah meminta hakim membenarkan beliau membuat laporan polis terhadap apa yang sebenarnya belaku.

"Hakim dari Mahkamah Klang telah membenarkan beliau membuat laporan dan sekarang pihak polis sedang mengambil laporan darinya, setelah laporan tersebut siap kita (PKR) akan membuat pendedahan mengenai apa yang terkandung dalam laporan tersebut," katanya.

N.Surendren berkata, melihat kepada pertuduhan tersebut ia hanyalah melibatkan kes sivil sahaja dan tidak ada langsung unsur jenayah.

"Ini adalah kes fitnah kerana ia dilihat sebagai cubaan mengganggu tertuduh (Samsubahrin) dan berharap tertuduh berdiam diri dari mengeluarkan sebarang kenyataan.

"Saya mahukan jawapan dari Peguam Negara mengapa kuasa pendakwaan disalahguna seperti ini untuk bertindak menyerang Samsubahrin, adakah kerana beliau mengetahui segala rahsia yang berlaku di dalam NFC," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau percaya ini adalah penganiayaan yang amat serius berlaku terhadap Samsubahrin dan ada pihak yang ingin menutup kes tersebut maka serangan demi serangan dilakukan terhadapnya.

Sebelum itu, beliau yang sepatutnya berada di Penjara Sungai Buloh tetapi dimasukan ke hospital bagi mendapat rawatan untuk penyakit kencing manis dan jantung.

Latheefa Koya juga turut bertindak mewakili Samsubahrin dalam kes tersebut.

Harakah Daily

Tiada ulasan: