24 Februari 2012

7 kaki judi kantoi dengan penguat kuasa Jaij

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KLUANG - Seramai tujuh kaki judi yang sedang leka menulis nombor pertaruhan dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) daerah Kluang dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar bandar ini, petang kelmarin.

Kesemua kaki judi berjaya di tahan oleh pihak penguat kuasa Jaij dalam ‘Ops Nombor’ yang mensasarkan pusat nombor ekor di kawasan bandar Kluang dan Taman Intan, di sini.

Ketua Unit Penguat kuasa Jaij daerah Kluang, Anuar Kosnin berkata, sewaktuditahan, semua kaki judi sedang leka menulis nombor dan ada yang sedang beratur untuk membeli nombor.

Menurutnya, tangkapan yang dibuat itu berdasarkan aduan daripada orang ramai kepada pejabat agama yang mengatakan ramai orang Islam terlibat dalam aktiviti membeli nombor ekor tanpa ada rasa segan silu.

“Walaupun telah tertera larangan dan peringatan kepada masyarakat yang beragama Islam di setiap kedai nombor ekor namun, mereka tetap melakukannya dan seolah-olah tidak melihat larangan tersebut.

“Walau bagaimanapun, sewaktu kesemua kaki judi ditahan kebanyakan mereka memberikan alasan tidak perasan papan larangan yang digantung di kedai nombor berkenaan”, katanya kepada Sinar Harian.

Anuar berkata, ada di antara yang ditahan boleh digelar datuk kerana usianya sudah tua namun, masih juga terlibat dalam aktiviti membeli nombor ekor itu.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama daerah Kluang, Mohd Khalil Mohd Noor berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk membuat laporan sebelum dibebaskan selepas dijamin oleh keluarga masing-masing dan mereka juga
dikehendaki melapor semula ke Pejabat Agama daerah Kluang.

“Kesemua yang ditahan adalah dalam lingkungan umur 33 hingga 57 tahun dan mereka akan didakwa di bawah Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman sebanyak RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khalil menasihatkan agar masyarakat Islam menghindari gejala tidak sihat itu.

Sinar Harian

Tiada ulasan: