24 Februari 2012

Ugut ibu gara- gara tidak belikan kenderaan

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KULIM - Gara-gara tertekan kerana permintaannya sering ditolak ibu, seorang remaja lelaki berusia 20-an yang tinggal di rumah teres dua tingkat di Taman Ihsan, di sini, sanggup mengugut untuk mencederakan ibunya dengan pisau kira-kira jam 1.30 pagi, kelmarin.

Difahamkan, suspek yang bekerja di sebuah syarikat di Kulim sering memberikan wang kepada ibunya, tetapi menghadapi kesukaran untuk pergi bekerja kerana tidak mempunyai pengangkutan.

Mangsa berang dengan ibunya kerana sebelum ini pernah berjanji untuk membelikannya kereta atau motosikal, tetapi terpaksa melupakan hasrat itu apabila bapanya meninggal dunia beberapa bulan lalu.

Menurut mangsa, dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan terpaksa menyara dua lagi anaknya yang masih bersekolah.

Katanya sebelum ini suspek pernah terlibat dalam penyalahgunaan dadah, tetapi berhenti setelah dinasihatkan oleh waris terdekat.

“Ini bukan kali pertama dia berkelakuan sedemikian. Ketika kejadian hanya saya dan dia sahaja berada dalam rumah.

“Dia menyatakan rasa tidak puas hati kerana saya tidak membelinya kenderaan bagi memudahkannya berulang-alik untuk bekerja. Dia kemudiannya naik berang dan cuba menyerang saya dengan pisau,” katanya.

Menurutnya, dia yang ketakutan kemudiannya melarikan diri keluar dari rumah dan menghubungi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM) Kulim untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan, ahli PPKM kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada pihak Balai Polis Kulim dan polis tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

Inspektor Mohd Azlan Abdul Kadir bersama dua anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Kulim kemudiannya menahan suspek.

Suspek dinasihatkan supaya tidak mengulangi perbuatan itu dan sekiranya ingkar polis akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Polis kemudiannya memanggil mangsa dan suspek supaya berbincang dan membebaskan suspek dengan bersyarat.

Sinar Harian

Tiada ulasan: