24 Februari 2012

Jalan lurus perangkap maut

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

BINJAI RENDAH, MARANG –Tragedi akan terus berlaku jika tiada pembahagi jalan.

Demikianlah tanggapan sesetengah pihak merujuk kepada keadaan jalan lurus di Kilometer 16 hingga 18.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Binjai Rendah di sini.

Malah, keadaan laluan tanpa pembahagi jalan itu juga mampu menjadi perangkap maut pada waktu malam jika pengguna jalan raya tidak menyedari ada pejalan kaki berada di atas jalan atau apabila pemandu membuat pusingan secara tiba-tiba.

Memburukkan lagi keadaan apabila keadaan jalan di hadapan Pasar Binjai Rendah yang juga menjadi tapak pasar tani pada setiap Khamis dan keadaan jalan menuju ke Masjid Binjai Rendah yang menjadi laluan utama orang ramai ke masjid itu sentiasa sibuk.

Orang ramai di sini, menyifatkan keadaan itu sudah pasti akan menyebabkan tragedi terus berlaku jika tiada langkah pencegahan diambil pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu dengan segera membina pembahagi jalan sepanjang lebih dua kilometer itu.

Pengerusi Masjid Binjai Rendah, Ismail Sulaiman, 67, yang menggunakan laluan itu setiap hari berkata, beliau berharap pihak berkenaan segera menyelesaikan isu jalan tanpa pembahagi jalan kerana keadaan itu sudah berlarutan agak lama.

“Saya tidak tahu apa masalahnya yang menyebabkan permohonan penduduk agar laluan itu disediakan pembahagi jalan tidak juga selesai, sehingga keadaan ini terus mengancam nyawa pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini setiap hari.

“Saya sendiri yang menggunakan laluan berkenaan pada setiap hari kadang kala terpaksa berhati-hati terutama di persimpangan masuk menuju ke masjid berikutan keadaan lalu lintas yang sibuk dan bercelaru kerana faktor tiada pembahagi jalan,” katanya.

Ismail ketika ditemui Sinar Harian juga memberitahu, banyak kemalangan maut dicatatkan termasuk melibatkan ‘anak jati’ kampung itu sepanjang lebih kurang 10 tahun lalu, dan keadaan itu terus berlaku sehingga kini.

Menurutnya, antara mangsa terbabit adalah Intan Ezura, Azizah Ismail, Kelsom Osman, Osman Hussien, Mek Salleh, Muda Jusoh, Bidin Mamat serta Rozik Sulong dan kesemua mangsa adalah ‘anak jati’ kampung itu yang berumur sembilan hingga 60 tahun.

“Sampai bila keadaan ini akan berlarutan? Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat bersama pihak berkuasa tempatan termasuk melalui surat permohonan namun sudah lebih setahun berlalu, masih tiada penyelesaian.

“Keadaan ini akan lebih buruk akibat pertambahan kenderaan dari masa ke masa, sekali gus risiko kemalangan maut berlaku semakin meningkat. Justeru, kami berharap pihak berkuasa dapat segera wujudkan kemudahan itu,” katanya.


Ambil masa terlalu lama

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Binjai Rendah, Yusoff Abdullah, 52, berkata, pihak berkuasa mengambil masa terlalu lama untuk menyediakan ciri keselamatan itu sekali gus pejalan kaki sentiasa berada dalam kebimbangan.

“Ini sebab, pada waktu tertentu, kehadiran mereka tidak boleh dilihat dengan jelas dan menyebabkan pemandu terkejut dan terbabas. Perkara itu tidak mustahil berlaku kepada pemandu yang tidak biasa melalui laluan ini pada waktu malam.

“Jika pembahagi jalan disediakan keadaan lalu lintas akan lebih teratur dan pejalan kaki boleh berhenti di tengah jika tidak sempat melintas. Pembinaan ciri keselamatan itu perlu segera diadakan bagi mengelak kemalangan terus berlaku di sini,” katanya.

Dalam pada itu, Sinar Harian merujuk kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Marang bagi mengetahui keadaan sebenar mengapa cadangan penduduk kawasan itu seolah-olah tidak diberikan perhatian walaupun sudah banyak kali ia diajukan.

Jurutera JKR daerah, Ir Wan Khairul Anuar Wan Mohamad ketika dihubungi menafikan cadangan itu tidak diberikan perhatian, sebaliknya beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan selepas cadangan membina pembahagi jalan di laluan itu diterima pihaknya.

“Bagaimanapun kita tidak dapat mengumumkan bila ia dapat dilaksanakan kerana kemudahan itu masih dalam proses merangka reka bentuk,” katanya kepada Sinar Harian.

Sinar Harian

Tiada ulasan: