24 Februari 2012

Bunyi kera sebagai petanda rumah dimasuki pencuri

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

MELA, LIPIS - “Ketika kejadian pecah ­rumah, bunyi kera bersahutan dari arah kebun getah di belakang rumah dan saya mulai tidak sedap hati apabila telefon bimbit sudah tiada di ­sebelah saya.”

Demikian kata mangsa pecah rumah, Mohd Safri Salleh, 32, ketika menceritakan detik awal kejadian pecah rumah yang berlaku di rumahnya kira-kira jam 3 pagi, di sini, kelmarin.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama kakaknya, Rafizah Salleh, 42, berserta dua anak Rafizah, Nurul Hanis Mohd Faizal, 10, dan Nur Khairunnisha Mohd Faizal, 12, tidur di bahagian ruang tamu rumah ­manakala ibu mereka, Rosnah Mohammad, 73, tidur di bilik belakang.

“Saya tersedar kira-kira jam 3 pagi untuk menarik selimut kerana berasa sejuk. Ketika itu, saya juga mencari telefon bimbit yang biasanya diletakkan di bawah bantal ketika ­tidur namun tidak menjumpai ­telefon tersebut.

“Saya kemudian membuka suis lampu ruang tamu untuk mencari dengan lebih jelas. Dalam masa sama, Rafizah tersedar dan turut mengadu telefon bimbit yang diletakkan di ­bawah bantal turut hilang,” katanya, di sini, semalam.

Mohd Safri berkata, dia ber­tindak menghubungi telefon bimbitnya menggunakan telefon rumah.

“Setelah mendail, saya terdengar nada dering telefon bimbit saya dari arah luar rumah, lantas saya melulu ke luar rumah dan mendapati ­seorang pencuri melarikan diri ke arah kebun getah di belakang rumah saya,” katanya.


Hilang barang kemas, wang tunai

Sementara itu, Rafizah berkata, suspek menanggalkan cermin tingkap di bahagian rumah tamu bagi memudahkannya masuk ke dalam rumah.

“Suspek masuk ke dalam bilik saya dan mengambil dua rantai serta sepasang subang emas berserta tunai RM100 yang diletakkan di dalam almari.

“Kemudian, suspek masuk ke ­dalam bilik ibu saya di bahagian belakang rumah dan mengambil ­sebentuk cincin emas berserta tunai RM100,” katanya.

Rafizah berkata, suspek turut melarikan sebuah telefon bimbit ­milik anaknya yang diletakkan di rak televisyen berserta dompet milik Mohd Safri.

“Setelah mengambil barang ­berharga, dia keluar dari rumah ­melalui pintu belakang.

“Dompet Mohd Safri ditemui ­semula di bahagian luar rumah namun tunai berjumlah RM47 ­dilarikan pencuri,” katanya.

Mangsa membuat laporan di IPD Lipis pagi kelmarin.


Rugi lebih RM10,000

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa ­mengalami kerugian lebih RM10,000 dan ­menolak kemungkinan mangsa dipukau.

“Sehingga kini, kami masih ­menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pencuri terbabit,” katanya.

Abdul Razak berkata, penduduk dinasihatkan membuka lampu di ­rumah bagi ­memudahkan penglihatan jiran ­tetangga sekiranya rumah mereka dihampiri individu yang mencurigakan.

“Jangan terlalu berjimat cermat untuk tidak membuka lampu di ­kawasan rumah. Selain itu, penduduk dinasihatkan supaya membina pagar di kawasan rumah masing-masing bagi menyukarkan perompak memecah masuk rumah.

“Penduduk juga dinasihatkan ­supaya tidak menyimpan wang tunai dan barang kemas terlalu banyak di rumah. Mereka perlu memberitahu jiran tetangga dan polis sekiranya ­ingin pulang ke kampung,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: