24 Februari 2012

Tiga pelajar antara 10 ditahan terbabit pecah rumah di Kangar

2 Rabi'ul Akhir 1433H. [MOD] -

KANGAR - Tiga pelajar, seorang daripadanya berusia 16 tahun, adalah antara 10 lelaki yang ditahan polis kerana terbabit dalam kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Mohd Noordin berkata kesemua mereka ditahan dalam beberapa operasi dari 13 hingga 21 Feb lepas.

Suspek yang dipercayai anggota 'Geng Kola' berusia antara 16 dan 27 tahun, dengan lima daripadanya diuji positif dadah, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

"Kami masih mengesan tiga lagi anggota kumpulan yang masih bebas berumur antara 19 tahun dan lewat 20-an," katanya.

Beliau berkata hasil penangkapan itu juga polis menemui semula empat unit komputer riba, satu komputer netbook, lima telefon bimbit yang dipercayai dicuri kumpulan terbabit.

Abdul Rahman berkata kesemua mereka yang ditahan juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Dengan penangkapan ini juga polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 14 kes pecah rumah dan curi di daerah ini, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi, serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana menolong menyembunyikan harta curi.- Bernama

Sinar Harian

Tiada ulasan: