02 Februari 2012

Ditemui hanya berseluar dalam

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

MUAR – “Saya jerit minta tolong tetapi tidak disedari rakan lain dan bot semakin jauh meninggalkan saya."

Demikian luah seorang nelayan warga Indonesia yang terpaksa bergadai nyawa selama 17 jam dalam laut selepas terjatuh dari bot yang dinaiki ketika menangkap ikan di perairan antarabangsa pada 30 Januari lalu.

Beni Kassim, 25, berkata, dia bernasib baik selepas diselamatkan nelayan tempatan di perairan antarabangsa kira-kira 12 batu nautika dari Sungai Sarang Buaya, Parit Jawa, di sini, kelmarin.

Dia yang berasal dari Kampung Baran, Tanjung Balai hanya berpaut pada tong air sepanjang tempoh 17 jam itu bagi mengelakkannya lemas.

“Saya keluar bersama empat lagi rakan dari Tanjung Balai pada Ahad lalu untuk menangkap ikan di perairan berkenaan pada kira-kira jam 10 pagi, kelmarin (30 Januari).

“Tetapi apabila tiba di tengah laut pada kira-kira jam 10 pagi, saya sakit perut dan mengambil keputusan untuk membuang air besar di belakang bot,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia membawa bersama tong bekas air ke belakang bot dan secara tiba-tiba bot bergoyang kerana dilambung ombak dan saya tergelincir lalu terjatuh ke laut.

“Saya terkejut dan tidak mampu berbuat apa-apa hanya berpaut pada tong berkenaan sambil berharap ada nelayan yang melalui kawasan ini.

“Setelah 17 jam berada di laut badan saya menjadi lemah dan bersyukur diselamatkan dua nelayan tempatan yang kebetulan berada berhampiran tempat saya ditemui,” katanya.

Nelayan yang menemuinya, Marhasan Maion, 60, berkata, dia terdengar suara meminta tolong ketika menangkap ikan bersama seorang rakannya kira-kira jam 3 pagi, kelmarin.

“Saya segera memasang lampu dan melihat seorang lelaki sedang berpaut pada tong berkenaan dalam keadaan lemah dengan hanya memakai seluar dalam.

“Kami menghampiri mangsa dan membawanya ke Jeti Nelayan Sungai Sarang Buaya sebelum membuat laporan polis,” katanya

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan penemuan mangsa pada kira-kira jam 8 pagi semalam.

“Kami menghantarnya bagi menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF),” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: