02 Februari 2012

Pengusaha burung walit mati ditembak

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH – Seorang ahli perniagaan ditemui mati ditembak di dalam rumah burung walit miliknya, dekat Kampung Pomeh, berhampiran Taman Kekal Pengeluaran Makanan Lanchang di sini jam 12.40 tengah hari semalam.

Mangsa dikenali Lee Yam Seng, 56, dari Taman Bahagia, Temerloh mati serta merta selepas terkena dua das tembakan di rusuk kiri dalam kawasan ladang kelapa sawit.

Kejadian berlaku ketika mangsa bersama adik iparnya, Tan Kar Boon datang ke ladang berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari untuk memasang sistem solar dan generator pada rumah burung walit berkenaan.

Menurut Kar Boon, kira-kira 40 minit kemudian, datang seorang lelaki India dan tanpa semena-mena melepaskan empat das tembakan terhadap mangsa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor mengesahkan kejadian tersebut, namun belum dapat mengetahui motif kejadian.

Menurutnya, mengikut cerita pengawal keselamatan di tapak pertanian itu, pengawal tersebut terlihat sebuah kereta Proton Waja dipandu laju keluar dari kawasan pertanian.

“Polis kini menjalankan siasatan menyeluruh di tempat kejadian termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan. Berdasarkan siasatan awal kita menolak kejadian bermotifkan samun, polis juga tidak melihat tanda pergaduhan berlaku di tempat kejadian.

“Polis mengesyaki penjenayah menggunakan senjata api jenis .38 Smith & Wesson dalam kejadian tersebut. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: