02 Februari 2012

Azizan: Saya tak boleh campur tangan isu Kuin

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 2 Jan: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak (gambar) berkata pihaknya tidak boleh campurtangan dalam pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) berhubung penggantungan lima pelajarnya.

Menurutnya, pengurusan Kuin adalah satu badan bebas dan tidak wajar untuknya mempengaruhi sebarang keputusan yang dibuat kolej itu.

"(Pengurusan Kuin) sebagai satu badan bebas, apa keputusan dibuat selagi tak bercanggah dengan prinsip nyata biar mereka putuskan. Saya tak boleh campur tangan. Saya pun tak boleh cakap banyak kerana perkara ini telahpun dibawa ke mahkamah...bukan kami tetapi pelajar tu yang bawa ke mahkamah," katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Kuin turut menegaskan tindakan yang dikenakan terhadap pelajar tersebut bukan mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 kerana Auku adalah bagi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sedangkan Kuin adalah IPT Swasta (IPTS).

"Mereka yang tak faham...tembak tak betul menyebabkan semua orang keliru dan pening kepala. Saya dah beri jawapan (undang-undang) IPTS lain daripada IPTA," katanya.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata beliau telah menerangkan perkara itu kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan telah mengarahkan setiausaha politiknya supaya ke Kuala Lumpur bersama dokumen berkenaan untuk menerangkannya lagi.

Lima pelajar universiti itu digantung pada April lalu kerana memprotes tindakan universiti mengosongkan asrama mereka di kediaman Ar-Razi, di sini.

Bagaimanapun, empat daripada pelajar terbabit sudah dibenarkan menyambung semula pengajian baru-baru ini, manakala seorang lagi masih dalam penggantungan.

Harakah Daily

Tiada ulasan: