02 Februari 2012

Ancaman lori 40 tan

9 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

PASIR GUDANG – Kira-kira 500 penduduk Jalan Bayu Seri Alam, di sini meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kenderaan berat yang berulang-alik menggunakan jalan kawasan perumahan ke kuari berhampiran.

Wakil penduduk, K Manoharan, 55, berkata, tindakan pemandu lori 40 tan yang menjadikan taman perumahan sebagai jalan pintas mengancam keselamatan penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, aktiviti mengangkut pasir, batu dan kargo yang berulang-alik menggunakan jalan taman perumahan mengganggu penduduk terutama pada waktu malam.

“Kami sudah tidak boleh tahan apabila kenderaan berat semakin kerap menjadikan laluan taman perumahan ini sebagai jalan pintas dari awal pagi sehingga lewat tengah malam.

“Waktu tidur kami sering terganggu apabila bunyi bising sebaik lori-lori itu melanggar bonggol di tengah jalan,” katanya kepada media, di sini, kelmarin.

Penduduk lain, Lee Yien Kwei, 48, mendakwa, kebanyakan pemandu lori berkenaan tidak mementingkan keselamatan penduduk apabila sering memecut laju walaupun dalam kawasan taman perumahan dan pernah ada lori terbabas sebaik menuruni kawasan berbukit.

“Kami bimbang dengan keselamatan dan perlu sentiasa berhati-hati apabila keluar simpang kerana berisiko dilanggar lori yang majoritinya dipandu dalam keadaan laju.

“Kami minta hentikan menggunakan jalan taman perumahan ini kerana masih ada Jalan Masai Lama dan Lebuh Raya Pasir Gudang yang boleh dilalui demi keselamatan kami di sini,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Permas, Syed Othman Syed Abdullah berkata, pihaknya menerima aduan mengenai masalah itu daripada 15 penduduk pada minggu lepas.

Menurutnya, perbincangan akan diadakan bersama pihak bertanggungjawab dan pemimpin masyarakat untuk mencari kaedah terbaik bagi mengatasi masalah itu.

“Kita akan membuat surat kepada pihak Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) memohon papan tanda amaran dan pembinaan palang serta menambahkan bonggol untuk mengelakkan kenderaan berat menggunakan jalan itu lagi.

“Bagaimanapun, perbincangan akan dibuat bersama pihak MPJBT dan pemimpin tempatan untuk mendapatkan penyelesaian terbaik dalam isu itu,” katanya.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPJBT, Md Fuzi Ahmad Shahimi ketika dihubungi Sinar Harian, berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa untik menghalang kenderaan berat itu melalui kawasan taman perumahan.

Menurutnya, cadangan pembinaan palang had ketinggian mempunyai pro dan kontranya kerana penduduk bakal berdepan masalah sekiranya kawasan itu menghadapi kecemasan seperti kebakaran.

“Kita hanya berkuasa mengeluarkan saman kepada pemandu kenderaan berat berkenaan, tetapi untuk pembatalan permit kegiatan mengangkut pasir di bawah bidang kuasa pihak bertanggungjawab lain.

“Kita boleh pertimbangkan pembinaan palang had ketinggian, tetapi perlu dilihat secara terperinci kerana menimbulkan masalah kepada pihak bomba sekiranya berlaku kebakaran di kawasan itu,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: